Monday, May 31, 2010

Pontianak balai polis

BETONG: Kelibat wanita berpakaian putih dan berambut panjang yang dikaitkan dengan pontianak didakwa sering mengganggu anggota dan pegawai polis bertugas pada waktu malam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baru Betong di sini, sejak sebulan lalu.
Ia berlaku beberapa hari selepas IPD berkenaan berpindah ke lokasi barunya iaitu kira-kira dua kilometer dari Jalan Kuek Huat Wee bersebelahan Stadium Betong, April lalu. Betong terletak kira-kira 150 kilometer dari Kuching.


Sejak itu, satu demi satu kejadian menyeramkan dialami anggota bertugas apabila mereka mendakwa ternampak wanita misteri dalam lokap di IPD baru berkenaan.


Malah, kejadian itu berlarutan beberapa hari selepas itu dengan anggota lain turut mendakwa melihat kelibat lembaga terbabit ‘menyamar’ rakan setugas mereka.


Menurut sumber, lembaga terbabit kelihatan berlegar-legar di IPD itu namun tidak menjawab apabila ditegur.


“Wajahnya sama dengan seorang anggota bertugas di sini. Apabila ditegur untuk diberikan tugas seperti diarahkan pegawai atasan, ‘anggota’ terbabit hanya mendiamkan diri,” katanya.


Beliau berkata, anggota polis berkenaan hanya menyedari jelmaan itu selepas menghubungi rakannya untuk memaklumkan tugas yang perlu diselesaikan.


“Kejadian seumpama itu kerap berlaku sejak IPD berpindah ke sini. Ada anggota polis memberitahu ketika bertugas pada waktu malam, mereka diganggu seorang wanita yang menjelma dengan berpakaian serba putih dan berambut panjang.


“Malah, ia turut dilihat berada di kerusi pegawai atasan dan ada anggota hampir pengsan apabila mereka disergah makhluk halus itu,” katanya.


Dalam kejadian terbaru minggu lalu, seorang anggota penyiasat hampir pengsan dan terpaksa melompat dari tingkap dua bangunan berkenaan selepas melihat lembaga itu berdiri di depannya.


“Ketika itu, saya hendak keluar dan mengunci pintu kaca di pejabat. Tiba-tiba saya nampak seseorang berlari di belakang saya. Saya nampak jelas menerusi pintu kaca dan terus beristighfar.


“Ketika mahu membuka suis lampu berdekatan, tiba-tiba lembaga itu berdiri di depan saya dengan rambut berjuntai ke lantai,” katanya.


Difahamkan, pihak IPD terpaksa mendapatkan khidmat seorang ustaz untuk ‘menangkap’ lembaga terbabit.


Menurutnya, ustaz berkenaan memaklumkan lembaga terbabit ‘tidak tenteram’.


“Kami dimaklumkan, tempat ini pernah menjadi tempat pembunuhan yang menyebabkan lembaga itu melakukan gangguan. Ketika hayatnya, lembaga itu dipercayai dirogol dan dibunuh di sini,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan, Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


Beliau berkata, tiga anggotanya diganggu lembaga itu sejak bulan lalu dengan kali terakhir berlaku minggu lalu.


“Saya akui perkara ini berlaku dan kami sudah berikhtiar untuk memulihkan keadaan. Kami memanggil seorang ustaz dengan harapan ia tidak berulang,” katanya.



source:http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pontianakbalaipolis/Article

Kejutan belakang bilik mayat

MELAKA: Seorang bayi lelaki berusia kira-kira seminggu ditemui ditinggalkan oleh individu tidak bertanggungjawab di belakang Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka (HM), petang kelmarin.
Difahamkan, bayi terbabit ditinggalkan agak lama sebelum ditemui oleh seorang orang awam berusia 40-an kira-kira jam 4.30 petang yang kebetulan melalui kawasan berkenaan untuk melawat ahli keluarganya sebelum dia menghubungi pihak polis.


Sumber berkata, bayi terbabit ditemui dibalut dengan sehelai kain batik dan diletakkan di dalam sebuah beg berwarna merah bertulis ‘Parkson’ yang turut dilapik dengan tilam nipis.


“Bayi terbabit kemudiannya dibawa polis yang bertugas di pondok hospital ke Jabatan Kecemasan untuk pemeriksaan kesihatan. Bayi terbabit sudah tidak mempunyai tali pusat dan selamat serta keadaannya adalah sihat,” katanya.


Sumber berkata, bayi berkenaan kini diletakkan dalam pengawasan pihak hospital bagi memastikan keadaan kesihatannya benar-benar terjamin sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk penjagaan selanjutnya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bayi berkenaan.


Beliau berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan individu yang terbabit meninggalkan bayi berkenaan untuk tindakan.


Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian dalam menjaga kanak-kanak yang berada dalam jagaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.


Salehhudin bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes berkenaan masih dalam siasatan polis.


Ini adalah kes kedua berkaitan bayi yang berlaku dalam bulan ini.


Pada 18 Mei lalu, akhbar ini melaporkan satu pasangan remaja mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tuduhan menyembunyikan kelahiran dan menanam mayat seorang bayi lelaki di tepi sungai di Taman Melaka Baru, Batu Berendam pada 12 Mei lalu.


Ibu bayi itu, seorang pelajar berusia 15 tahun, dari Durian Tunggal, Alor Gajah dan teman lelakinya, Muhammad Safiuddin Mohd Zahari, 19, dari Taman Melaka Baru, di sini, dituduh bersama-sama melakukan kesalahan itu antara jam 12 tengah hari hingga 12.30 tengah hari pada 12 Mei lalu.


>Buang bayi dalam kotak Oleh Salman Hamat salman@hmetro.com.my KULAIJAYA: “Kali pertama melihat wajah bayi di dalam kotak susu itu, saya mahu menyelamatkannya malah sepanjang perjalanan ke hospital, saya tidak putus mendoakan bayi yang masih bertali pusat itu panjang umur dan dapat diselamatkan.


“Bagaimanapun, saya terkilan apabila tepat azan Subuh dilaungkan bilal surau hospital, doktor mengesahkan bayi perempuan malang itu sudah menghembuskan nafas terakhirnya walaupun pelbagai usaha dilakukan pasukan perubatan,” kata Zulkifli Samsi, 40, bapa kepada tiga anak menceritakan detik cemas cubaannya menyelamatkan bayi perempuan yang ditemuinya di dalam kotak susu di sebuah hentian bas depan Sekolah Menengah Munsyi Addullah, di sini, jam 4.50 pagi semalam.


Menurutnya, ketika kejadian, dia secara kebetulan melalui jalan berkenaan untuk minum di gerai berhampiran sementara menunggu azan Subuh sebelum berjemaah di surau berhampiran.


Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila melihat sebuah kereta tiba-tiba berhenti di kawasan berkenaan dalam keadaan tergesa-gesa sebelum memecut laju.


“Dalam keadaan samar-samar, saya dapat melihat kelibat manusia keluar daripada kereta terbabit sambil membawa sesuatu, dengan kelam-kabut dia terus meletakkan objek di hentian bas sebelum memecut laju ke arah Johor Bahru.


“Sifat ingin tahu menyebabkan saya berhenti dan mendapati sebuah kotak ditinggalkan di situ. Saya kemudian mengambil sebatang kayu untuk membuka kotak susu berkenaan sebelum terpandang wajah bayi yang diam membisu di balut menggunakan kain.


“Naluri kebapaan menyebabkan saya tidak berfikir panjang dan terus mengambil kotak berisi bayi itu dan masuk ke dalam kereta menuju ke Hospital Kulai (HK),” katanya.


“Ketika bayi itu dirawat, saya dapat melihat jarinya bergerak sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya ketika dihubungi semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan pihaknya menjalankan siasatan berhubung penemuan bayi itu. “Hasil siasatan awal bayi perempuan itu dipercayai berketurunan Melayu dan kami percaya dia dilahirkan dalam tempoh 24 jam.


“Ketika dirawat tali pusatnya masih lengkap dia hanya dibalut menggunakan kain tanpa baju serta ditinggalkan dalam kotak berkenaan.


“Berikutan itu kami memohon bantuan orang ramai membantu siasatan kes ini serta mengesan ibu dan individu bertanggungjawab melakukan perkara tidak berperikemanusiaan itu,” katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat bayi secara sulit.


Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian Hotline Polis Johor 07-2212999 atau 07-6637222.



source:http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kejutanbelakangbilikmayat/Article

Ugut wanita hamil angkara rasuah seks

MELAKA: Seorang pegawai kanan kerajaan kini disiasat polis berhubung satu laporan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita yang juga seorang pengusaha gerai makanan di sebuah daerah di negeri ini berhubung skandal seksnya.
Menurut sumber, pegawai terbabit meminta habuan seks untuk menolong mangsa memperoleh tapak sebuah rumah kedai bagi tujuan membuka perniagaan gerai berkenaan dan mangsa bersetuju dengan permintaannya itu.


Sumber berkata, pegawai itu dan wanita terbabit kemudiannya bersetuju berjumpa kali pertama di satu tempat sebelum mereka dikatakan melakukan hubungan seks.


Selepas hubungan kali pertama itu, mangsa memperoleh apa yang dikehendakinya sebelum kedua-dua mereka bertemu sekali lagi di satu tempat dan melakukan hubungan seks.


Bagaimanapun, sumber berkata, selepas pertemuan kali kedua itu, mangsa kemudiannya mendapati dirinya tidak datang haid dan dipercayai mengandung anak hasil hubungan dengan pegawai terbabit.


“Perkara itu sampai kepada pengetahuan pegawai kanan kerajaan terbabit menyebabkan dia terkejut dan panik. Dipercayai bimbang rahsia hubungan sulitnya dengan mangsa terbongkar, pegawai berkenaan mendesak wanita itu menggugurkan kandungannya.


“Begitupun, mangsa enggan menuruti permintaan pegawai terbabit biarpun didesak dan diugut beberapa kali,” katanya.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ugutwanitahamilangkararasuahseks/Article

Saya tidak berdaya

MASJID TANAH: “Mereka (mangsa yang lemas) memanggil nama saya berulang kali ketika dalam keadaan tenggelam timbul di permukaan air, namun saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana ombak terlalu kuat untuk menyelamatkan mereka.”
Demikian kata Mohd Nor Mohd Yusof, 44, mangsa yang terselamat dalam kejadian lemas sehingga meragut nyawa ahli keluarganya di pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak, dekat sini, awal pagi semalam, ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian.


Sebelum itu, mereka merancang melakukan aktiviti keluarga di sini sejak dua minggu lalu dan tiba di pantai petang kelmarin bersama sembilan keluarga lain seramai 30 orang pada hujung minggu sebelum kejadian tidak diingini itu berlaku. Mohd Nor, yang masih terkejut dan bersedih berkata, dia sempat menyaksikan detik terakhir sebelum adik ipar dan adiknya, Abu Muthalib Abu Bakar, 42, dan Mohd Norizal Mohd Yusof, 34, tenggelam dipukul ombak kuat sebelum lemas.


Kedua-dua mangsa korban adalah biras.


“Kira-kira jam 7 pagi ketika mandi di pantai selepas solat Subuh, mereka berdua mengajak saya memasang jaring di pinggir pantai dan saya hanya menurut tanpa menjangkakan apa-apa yang bakal berlaku.


“Kemudian mereka berdua pergi ke tengah sedikit, tapi belum pun sempat saya mendekati, saya lihat mereka berdua tenggelam dan hilang di permukaan air.


“Selang beberapa minit kemudian, mereka timbul semula dan menjerit memanggil nama saya minta tolong dalam keadaan terkapai-kapai sebelum hilang terus. Disebabkan ombak terlalu besar ketika itu sukar untuk saya menyelamatkan mereka.


“Saya tak berani nak dekat, lagipun saya turut terperangkap dalam pasir selut dan terus menjerit sekuat hati serta melambai meminta tolong sebelum disedari bot nelayan yang berada tidak jauh dari situ dan mereka datang menyelamatkan saya daripada lemas. “Mereka (Abu Muthalib dan Mohd Norizal) tahu berenang tapi kerana ombak besar dan pasir jerlus menyebabkan mereka gagal mengawal diri sebelum lemas. Cuma saya kesal tidak dapat menyelamatkan mereka,” katanya.


Mangsa, Abu Muthalib beralamat di No 6155, Taman Gunung Emas, Tampin, Negeri Sembilan bekerja di Kilang Honda, Alor Gajah, meninggalkan seorang balu, Salina Osman, 40-an dan empat orang anak, manakala Mohd Norizal yang menetap di No 329, Taman Clonlee (2), Tampin, meninggalkan seorang isteri, Sabariah Osman, 31, dan dua anak.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Abd Rahman Jid, berkata, kejadian kira-kira jam 7.30 pagi dan kedua-dua mangsa yang mati lemas sedang memasang jaring ikan tanpa menyedari air sedang pasang dan ombak kuat. “Kami difahamkan, mangsa bertiga hendak memasang jaring ikan sebelum dua daripada mereka tenggelam ditelan ombak besar ketika sedang menarik jaring ke tengah, manakala seorang lagi berjaya diselamatkan bot nelayan tidak jauh dari tempat kejadian.


“Menurut mangsa yang terselamat, mereka tenggelam secara tiba-tiba sebelum timbul semula di permukaan air dan menjerit meminta tolong dan kemudian hilang terus ke dasar laut semula namun disebabkan ombak terlalu besar ketika itu sukar untuk menyelamatkan mangsa. “Untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku, saya ingin menasihatkan semua pengunjung di pantai ini supaya berhati-hati ketika mandi dengan keadaan ombak besar kerana keadaan sekarang tidak sesuai untuk tujuan itu,” katanya.


Operasi menyelamat dilakukan bersama 17 anggota bomba dan penyelamat, enam anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan tiga anggota Polis Marin dan berjaya mengesan mangsa pertama (Abu Muthalib ) kira-kira jam 9.15 pagi, terdampar di pantai tidak jauh dari tempat kejadian.


Mayat mangsa kedua pula ditemui kira-kira jam 9.55 pagi selepas mangsa pertama ditemui dalam keadaan badannya masih terbelit dengan jaring dalam keadaan terapung kira-kira 50 meter dari pinggir pantai dan dibawa ke Hospital Melaka (HM) untuk bedah siasat.


>Tak sempat bermesra MASJID TANAH: “Ayah beri kunci dan pesan saya supaya pegang kunci itu kerana katanya dia nak ke pantai dengan segera walaupun ibu menegahnya,” kata anak sulung Abu Muthalib, Nadia Husna, 19, selepas bapanya didapati lemas ketika memasang jaring di pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak, dekat sini, awal pagi semalam.


Nadia Husna berkata, beliau lewat tiba bersama suaminya, Azizul Rosli, 23, kira-kira jam 11.00 malam kelmarin dan sempat makan malam dengan arwah bapanya bersama-sama dengan ahli keluarga yang lain dalam percutian singkat mereka ke sini.


“Saya tak sangka kejadian ini menimpa keluarga saya, malah ayah pergi terlebih dulu sebelum sempat kami hendak bermesra bersamanya sebagai satu keluarga di pantai ini. Namun, kami semua reda dengan pemergiannya kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayatidakberdaya/Article

Buru kekasih

PETALING JAYA: Polis mengesan teman lelaki remaja perempuan yang dikaitkan dengan kes penemuan mayat bayi yang ditanam berhampiran Stesen Komuter Padang Jawa, dekat sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata polis sudah mengenal pasti identiti lelaki terbabit yang berusia 30-an dan percaya dia kini bersembunyi di sekitar Lembah Klang.


“Kami mengesan teman lelaki remaja itu yang bekerja sebagai operator sebuah kilang bagi membantu siasatan mengenai kejadian terbabit,” katanya selepas merasmikan pertandingan amal menembak anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Lapang Sasar Subang di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mayat bayi lelaki berkenaan ditemui seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad yang kemudian melaporkan kewujudan sebuah kubur kecil di kawasan terbabit.


Hasil pemeriksaan ke atas kubur itu, polis menemui mayat bayi berkenaan yang dibalut dengan kain lampin dan dipercayai baru dilahirkan.


Ekoran kes itu, pada Jumaat lalu polis mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun dan kakaknya berusia 24 tahun kerana disyaki terbabit menanam bayi berkenaan.


Khalid berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. — Bernama





source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Burukekasih/Article

Wednesday, May 26, 2010

Mengaku khalwat

MELAKA: Seorang suri rumah yang ditangkap berkhalwat di sebuah hotel di Jalan Tun Perak, dekat sini, bersama seorang peniaga bingkai kayu warga Pakistan pada 12 Mei lalu dijatuhi hukuman denda RM1,800 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.
Hakim Syarie Mohd Asri Tahir menjatuhkan hukuman terhadap wanita berusia 39 tahun itu selepas tertuduh mengekalkan pengakuan bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu bersekediaman dengan lelaki bukan mahram hingga mendatangkan syak.


Mengikut pertuduhan, wanita berasal dari Jasin itu dituduh berkurung hingga mendatangkan syak dengan Habib Ur Rahman, 39, di bilik No 133, Hotel Yong An, Jalan Tun Perak, Bachang, dekat sini kira-kira jam 10.55 pagi pada 12 Mei lalu.


Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 24 bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.


Mohd Asri dalam penghakimannya turut menasihati tertuduh dengan menjelaskan sebagai seorang isteri yang masih mempunyai suami sewajarnya menjaga adab dan tatasusila.


Katanya, tertuduh perlu bertaubat kerana perbuatannya yang menderhaka dan curang kepada suaminya bercanggah dengan hukum syarak.


Sebelum ini, ketika didakwa kali pertama pada 13 Mei lalu, tertuduh mengaku bersalah, namun selepas fakta kes dibacakan dan mahkamah bersedia memberikan hukumannya selepas menimbangkan rayuannya serta hujah pendakwa, tertuduh tiba-tiba pengsan di kandang pesalah.


Berikutan itu, hakim menangguhkan semalam untuk memberikan hukumannya.


Sementara itu, pada prosiding semalam tertuduh sekali lagi merayu hukuman ringan atas alasan tidak mampu membayar denda tinggi selain turut mempunyai anak yang masih kecil. Dia yang memakai baju kurung hijau dan bertudung hitam kelihatan tenang memberitahu mahkamah bahawa suaminya berpendapatan rendah, manakala dirinya pula tidak berkerja.


Pegawai Pendakwa Syarie, Che Zam Zam Che Man bagaimanapun berhujah bahawa kesalahan dilakukan tertuduh adalah dosa besar dan salah di sisi syarak serta berlaku di sebuah hotel.


Katanya, sebagai seorang isteri, wanita terbabit tidak sewajarnya melakukan perbuatan terkutuk itu dan perlu mentaati perintah agama.


Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan di kaunter Mahkamah Syariah sambil ditemani ahli keluarganya.


Sementara itu, pada 13 Mei lalu mahkamah sama mendenda Habib Ur Rahman sebanyak RM2,500 atau enam bulan penjara selepas mengaku bersalah berkhalwat dengan wanita terbabit.


Dia yang sudah berkeluarga turut dihukum penjara 24 bulan dan denda RM10,000 pada prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen atas kesalahan cuba memberi rasuah seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam (Jaim), Zulkifli Zainal supaya dilepaskan atas kesalahan berkhalwat itu.




source: http://www.hmetro.com.my/articles/Mengakukhalwat/Article

Malang nenek bogel

SEGAMAT: Dia layak digelar cucu iblis kerana selain suka mengintai neneknya berusia 77 tahun yang mandi bogel, remaja berusia 14 tahun terbabit turut berani mencopet barang kemas dan wang tunai milik warga emas berkenaan dianggarkan bernilai RM2,000.
Remaja lelaki itu sudah lama diberhentikan sekolah berikutan masalah disiplin selain terbabit dalam pelbagai masalah sosial termasuk bergaduh dan membuli.


Namun, kejadian kira-kira jam 8 malam pada 18 Mei lalu, remaja terbabit bertindak di luar batasan apabila menyelinap masuk ke rumah neneknya sebaik menyedari warga emas itu sedang mandi dan tinggal di rumah berseorangan.


Dia yang tinggal berhampiran rumah neneknya di Batu 11 Jementah, dekat sini, mengambil kesempatan mengintai warga emas itu sedang mandi bogel sebelum mengambil pakaian nenek yang digantungkan di pintu bilik air berkenaan.


Suspek yang tahu pakaian itu berisi barang kemas termasuk rantai dan wang tunai, kemudian melarikan barangan terbabit selepas puas melihat aksi bogel warga emas terbabit mandi.


Mangsa tinggal bersendirian di rumah itu selepas kematian suami beberapa tahun lalu hanya menyedari persalinan bersama barangan berharganya hilang sebaik selesai mandi.


Pada awalnya, dia yang tidak mengesyaki cucunya dalang mencuri barangan dan wang tunainya itu melaporkan kejadian kepada polis pada keesokan harinya.


Warga emas itu datang bersendirian ke balai polis di sini bagi membuat laporan memaklumkan pernah beberapa kali rumahnya dipecah masuk, tetapi sebelum itu hanya membabitkan kerugian kecil.


Malah, nenek terbabit memberitahu anggota polis bahawa kecurian sering berlaku setiap kali dia mandi.


Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota yang ditugaskan menyiasat kes berkenaan akhirnya menyelesaikan misteri kehilangan pakaian nenek terbabit dalam masa kurang 24 jam.


“Kami menahan suspek berusia 14 tahun itu di sebuah rumah berhampiran kira-kira jam 6 petang hari kejadian itu dilaporkan.


“Hasil serbuan, polis menemui sejumlah wang tunai iaitu baki duit yang dicuri berjumlah RM150 dan dua telefon bimbit selain seutas rantai dan gelang tangan,” katanya ketika ditemui.


Abdul Majid berkata, siasatan awal mendapati dua telefon bimbit yang dirampas itu disyaki dibeli suspek menggunakan wang yang dicuri daripada neneknya.


Beliau mendedahkan, remaja terbabit cuba mengaitkan kejadian yang dilakukannya seorang diri itu turut dilakukan bersama beberapa rakan lain.


“Namun, selepas soal siasat, kami mendapati semua cerita itu helah belaka, malah suspek kemudian mengaku mengadakan cerita kerana sering dibuli rakan,” katanya.







source: http://www.hmetro.com.my/articles/Malangnenekbogel/Article

Ratah tubuh anak lumpuh

KUALA TERENGGANU: Dia dikenali penduduk kampung sebagai seorang yang warak apabila menjadikan masjid dan surau sebagai rumah kedua kerana kerap mengunjungi rumah Allah itu bagi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam.
Namun, segala perilaku itu hanya topeng semata-mata apabila lelaki terbabit berkelakuan tidak ubah seperti binatang selepas menjadikan anak gadisnya berusia 15 tahun sebagai tempat memuaskan nafsu gilanya.


Perbuatannya terbongkar, menyebabkan bapa berusia lingkungan 50-an itu hidup sebagai pelarian sejak diburu polis, selain anaknya sendiri kerana tidak menyangka perbuatan biadab lelaki berkenaan yang selama ini dianggap benteng keluarga.


Difahamkan, perbuatan haruan makan anak lelaki terbabit dipercayai dilakukannya sejak beberapa tahun lalu memeranjatkan penduduk kampung apabila gadis yang lumpuh dan bisu sejak lahir itu didakwa mengandung.


Lelaki terbabit dikatakan mengambil kesempatan melakukan perbuatan terkutuk itu setiap kali sebelum memandikan mangsa di bilik air rumahnya.


Bagaimanapun, penderitaan gadis malang sepanjang menjadi ‘hidangan’ bapa sendiri terbongkar selepas doktor mengesahkan dia mengandung ketika mendapatkan rawatan kerana demam panas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, awal bulan ini.


Menurut sumber, perbuatan terkutuk lelaki itu yang bekerja sebagai buruh binaan menimbulkan kemarahan anak lelakinya kerana tidak menyangka bapa diharapkan menjaga keselamatan bertindak sebagai gunting dalam lipatan apabila tergamak ‘meratah’ daging anak sendiri.


Sumber berkata, kerana terlalu marah dengan perbuatan bapa terbabit, anak lelakinya yang juga bekas anggota tentera membaling pasu bunga ke arah bapa berkenaan ketika pasangan anak-beranak itu bergaduh dalam rumah.


Katanya, balingan pasu bunga itu mengenai bahagian belakang bapa terbabit menyebabkan lelaki terbabit yang bimbang dengan amukan anak lelakinya melarikan diri sebelum dia dipercayai bersembunyi di kampung berhampiran.


Sumber berkenaan berkata, ibu mangsa berusia lingkungan 40-an yang dimaklumkan mengenai keadaan anaknya enggan membuat laporan polis dengan alasan mahu menjaga nama baik suami dan ahli keluarganya, namun atas desakan anak lelakinya, dia nekad membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu.


Difahamkan, doktor yang membuat pemeriksaan lanjut mengesyaki remaja terbabit mengandung di luar rahim dan bercadang melakukan pembedahan. Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zuhaimi Omar berkata, hasil pemeriksaan lanjut mengesahkan mangsa tidak mengandung.


“Mangsa menerima bantuan bulanan kategori orang kurang upaya (OKU) dirawat di HSNZ dan kami cuba mendapatkan perintah mahkamah bagi membolehkan mangsa diletakkan di bawah penjagaan JKM di Pusat Taman Sinar Harapan di Bukit Besar, di sini,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Ishak berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Katanya, polis memburu bapa mangsa yang menghilangkan diri selepas berlaku pergaduhan antara dia dan ahli keluarganya di kediamannya, kelmarin.




source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ratahtubuhanaklumpuh/Article

Saturday, May 22, 2010

Ketagih ganti isteri

KUALA TERENGGANU: Dia bukan saja kemaruk berpoligami hingga memiliki 27 anak hasil 11 perkahwinan, malah turut mengamalkan amalan jijik dengan memaksa isteri minum air kencingnya supaya menuruti segala perintahnya, selain amalan menjadikan anak dara sebagai koleksi terbaru teman hidupnya.
Lebih mengejutkan, lelaki berusia 52 tahun yang didakwa memiliki ilmu memikat wanita itu turut bersikap pelik apabila kerap bertukar isteri ketiga dan keempat seperti menukar baju, malah ada antara mereka hanya seminggu bergelar isteri sebelum diceraikan.


Poligami pelik lelaki itu dibongkar bekas isteri keempat lelaki terbabit yang berpisah pada 2005 lalu selepas bergelar isteri tiga tahun.


“Saya berpisah dengannya hanya kerana kesalahan kecil, tetapi tidak pernah menyesal sebaliknya bersyukur kerana bagaikan terlepas mulut buaya.


“Saya akui sejak bersamanya tiga tahun, zahir dan batin saya terseksa selain didera kerana kesalahan kecil,” katanya yang hanya ingin dikenali sebagai Su berusia 27 tahun.


Dia berkata, selama bersama lelaki terbabit, dia bagaikan dipukau kerana tidak berdaya melawan, menegah atau menegur perlakuan dan perangai bekas suaminya termasuk membawa balik wanita lain ke rumah. Katanya, keadaan itu bukan hanya dia mengalaminya, malah tiga madunya turut berdepan keadaan sama.


“Lebih baik bergelar janda daripada terseksa hidup bersama dia,” katanya.


Su yang kini hidup bahagia bersama suami baru mendakwa selain memiliki ilmu memikat wanita, lelaki terbabit mengamalkan amalan jijik apabila memaksa wanita dikahwininya meminum air kencingnya.


“Dia meminta saya melakukan seks oral dan pada masa sama memaksa saya menelan air kencingnya. Selepas berbuat demikian saya seperti dipukau serta apa saja dilakukannya tanpa sebarang bantahan walaupun ada kalanya timbul perasaan marah dan tidak puas hati dengan setiap perbuatannya,” katanya.

Mengimbau kembali pertemuannya dengan lelaki terbabit, Su berkata, dia mula jatuh cinta dan sukar melupakan lelaki terbabit selepas dihembus asap rokok ketika berkunjung ke rumah keluarganya di Kuala Berang pada 2003.


“Ibu bapa saya sudah lama mengenali dia dan setiap kali berkunjung ke rumah, dia melahirkan hasrat untuk melamar saya, namun saya menolak kerana tidak pernah menyintainya yang ketika itu memiliki tiga isteri.


“Walaupun tahu saya tidak sukakannya, namun dia tetap berusaha dan tidak putus asa memujuk dengan apa cara termasuk menggunakan ilmu memikat wanita menggunakan asap rokok,” katanya.


Menurut Su, dia masih ingat apabila lelaki terbabit mengarahkan dia duduk berlawanan angin ketika bersembang di beranda rumah sebelum menghembuskan asap rokok ke arahnya sambil membaca mantera dipercayai ayat memikat wanita.


Katanya, walaupun dia tidak menyimpan perasaan terhadap lelaki yang layak dipanggil ayah itu, namun dia tidak berdaya menolak setiap arahan lelaki terbabit dan menurut apa saja bagaikan dirinya dipukau.


“Selepas terkena hembusan rokok lelaki terbabit, saya menjadi resah dan tidak senang duduk seolah-olah angau apabila tidak dapat melupakan lelaki terbabit sebelum bersetuju menerima lamarannya tiga hari kemudian,” katanya.


Dia berkata, selepas bergelar isteri lelaki terbabit, kehidupannya berubah apatah lagi tinggal berhampiran tiga madunya di sebuah kampung di pinggir bandar raya ini.


Katanya, selepas tiga hari bergelar isteri, dia terkejut dan mengesyaki lelaki terbabit mengamalkan ilmu salah apabila memaksa dia menelan air kencing ketika melakukan seks.


Menurutnya, selain amalan itu, tindakan lelaki terbabit mengadakan hubungan kelamin hanya di rumah isteri ketiga juga dirasakan pelik, malah lebih membingungkan dirinya apabila semua isteri dikehendaki berkumpul di rumah berkenaan sebelum melakukan seks.


“Ketika berkumpul, dia akan memilih seorang isteri yang dia suka untuk melakukan persetubuhan dan bukan mengikut giliran,” katanya.


Menurut Su, selepas berkahwin baru dan memiliki dua anak, dia mengakui kehidupannya kini jauh lebih aman dan bahagia bersama suami yang mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga selain menyayanginya sepenuh hati.





source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ketagihgantiisteri/Article

Ketagih ganti isteri

KUALA TERENGGANU: Dia bukan saja kemaruk berpoligami hingga memiliki 27 anak hasil 11 perkahwinan, malah turut mengamalkan amalan jijik dengan memaksa isteri minum air kencingnya supaya menuruti segala perintahnya, selain amalan menjadikan anak dara sebagai koleksi terbaru teman hidupnya.
Lebih mengejutkan, lelaki berusia 52 tahun yang didakwa memiliki ilmu memikat wanita itu turut bersikap pelik apabila kerap bertukar isteri ketiga dan keempat seperti menukar baju, malah ada antara mereka hanya seminggu bergelar isteri sebelum diceraikan.


Poligami pelik lelaki itu dibongkar bekas isteri keempat lelaki terbabit yang berpisah pada 2005 lalu selepas bergelar isteri tiga tahun.


“Saya berpisah dengannya hanya kerana kesalahan kecil, tetapi tidak pernah menyesal sebaliknya bersyukur kerana bagaikan terlepas mulut buaya.


“Saya akui sejak bersamanya tiga tahun, zahir dan batin saya terseksa selain didera kerana kesalahan kecil,” katanya yang hanya ingin dikenali sebagai Su berusia 27 tahun.


Dia berkata, selama bersama lelaki terbabit, dia bagaikan dipukau kerana tidak berdaya melawan, menegah atau menegur perlakuan dan perangai bekas suaminya termasuk membawa balik wanita lain ke rumah. Katanya, keadaan itu bukan hanya dia mengalaminya, malah tiga madunya turut berdepan keadaan sama.


“Lebih baik bergelar janda daripada terseksa hidup bersama dia,” katanya.


Su yang kini hidup bahagia bersama suami baru mendakwa selain memiliki ilmu memikat wanita, lelaki terbabit mengamalkan amalan jijik apabila memaksa wanita dikahwininya meminum air kencingnya.


“Dia meminta saya melakukan seks oral dan pada masa sama memaksa saya menelan air kencingnya. Selepas berbuat demikian saya seperti dipukau serta apa saja dilakukannya tanpa sebarang bantahan walaupun ada kalanya timbul perasaan marah dan tidak puas hati dengan setiap perbuatannya,” katanya.

Mengimbau kembali pertemuannya dengan lelaki terbabit, Su berkata, dia mula jatuh cinta dan sukar melupakan lelaki terbabit selepas dihembus asap rokok ketika berkunjung ke rumah keluarganya di Kuala Berang pada 2003.


“Ibu bapa saya sudah lama mengenali dia dan setiap kali berkunjung ke rumah, dia melahirkan hasrat untuk melamar saya, namun saya menolak kerana tidak pernah menyintainya yang ketika itu memiliki tiga isteri.


“Walaupun tahu saya tidak sukakannya, namun dia tetap berusaha dan tidak putus asa memujuk dengan apa cara termasuk menggunakan ilmu memikat wanita menggunakan asap rokok,” katanya.


Menurut Su, dia masih ingat apabila lelaki terbabit mengarahkan dia duduk berlawanan angin ketika bersembang di beranda rumah sebelum menghembuskan asap rokok ke arahnya sambil membaca mantera dipercayai ayat memikat wanita.


Katanya, walaupun dia tidak menyimpan perasaan terhadap lelaki yang layak dipanggil ayah itu, namun dia tidak berdaya menolak setiap arahan lelaki terbabit dan menurut apa saja bagaikan dirinya dipukau.


“Selepas terkena hembusan rokok lelaki terbabit, saya menjadi resah dan tidak senang duduk seolah-olah angau apabila tidak dapat melupakan lelaki terbabit sebelum bersetuju menerima lamarannya tiga hari kemudian,” katanya.


Dia berkata, selepas bergelar isteri lelaki terbabit, kehidupannya berubah apatah lagi tinggal berhampiran tiga madunya di sebuah kampung di pinggir bandar raya ini.


Katanya, selepas tiga hari bergelar isteri, dia terkejut dan mengesyaki lelaki terbabit mengamalkan ilmu salah apabila memaksa dia menelan air kencing ketika melakukan seks.


Menurutnya, selain amalan itu, tindakan lelaki terbabit mengadakan hubungan kelamin hanya di rumah isteri ketiga juga dirasakan pelik, malah lebih membingungkan dirinya apabila semua isteri dikehendaki berkumpul di rumah berkenaan sebelum melakukan seks.


“Ketika berkumpul, dia akan memilih seorang isteri yang dia suka untuk melakukan persetubuhan dan bukan mengikut giliran,” katanya.


Menurut Su, selepas berkahwin baru dan memiliki dua anak, dia mengakui kehidupannya kini jauh lebih aman dan bahagia bersama suami yang mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga selain menyayanginya sepenuh hati.





source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ketagihgantiisteri/Article

'Cikgu bagi penampar'

ALOR SETAR: Hanya kerana berebut buku dengan rakan sekelas, seorang murid tahun tiga sebuah sekolah rendah di Mergong di sini mendakwa menerima ‘penampar Jepun’ daripada guru muziknya sehingga tulang hidungnya retak dan berdarah, Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, hidung Muhammad Naim Sofwan Rosly mengalami pendarahan sehingga Rabu, selain mukanya turut bengkak terutama di kening kirinya.


Mangsa yang berusia sembilan tahun juga mendakwa pernafasannya tersekat akibat tamparan kuat itu.


Ketika ditemui selepas mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, Muhammad Naim Sofwan atau nama manjanya ‘Boboy’ berkata, kejadian berlaku secara tiba-tiba kira-kira jam 12.30 tengah hari, Selasa lalu.


Anak ketiga daripada lima beradik itu mengaku berebut buku dengan seorang rakannya yang sepatutnya dihantar kepada guru berkenaan yang naik minyak lalu menamparnya dua kali.


Berikutan sakit dan pening, Muhammad Naim yang mendakwa sakit serta pening, diberi amaran oleh guru berkenaan supaya tidak memberitahu ibu bapanya mengenai kejadian itu dan setibanya di rumah, dia terus tidur sehingga petang.


Sementara itu, datuk mangsa, Ismail Din, 55, berkata, dia mendapati Boboy masih tidur apabila dia sampai dari Kelantan kira-kira jam 7.30 malam di Rumah Pangsa Seberang Terus di sini.


Katanya, ketika mengejutkan cucunya itu, dia ternampak tompokan darah pada baju sekolah cucunya dan selepas dipujuk, Boboy memberitahu apa yang berlaku.


“Ketika itu abang sulungnya yang berada di tahun enam sekolah sama, Mohd Naim Sofwan, memberitahu dia dipanggil guru berkenaan ke kelas adiknya ketika Boboy ke tandas untuk mencuci darah.

“Guru lelaki berkenaan memberitahu Naim bahawa adiknya buas dan meminta kejadian yang berlaku itu tidak diceritakan kepada sesiapa,” katanya.


Menurutnya, berikutan tidak puas hati, dia membawa Boboy ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira jam 8.30 malam kelmarin untuk membuat laporan sebelum dirujuk ke HSB pada malam sama.


Sementara itu, Ismail berjumpa dengan guru besar sekolah cucunya yang kemudian segera melawat Boboy di rumah, pagi kelmarin.


“Guru Besar memaklumkan dia tidak tahu mengenai kejadian itu dan berjanji untuk menyiasat,” katanya.


Menurutnya, Boboy sekali lagi dihantar ke HSB kelmarin, selepas hidungnya berdarah dan ujian sinar X menunjukkan berlaku keretakan.


Sementara itu, jurucakap IPD Kota Setar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa dan pegawai penyiasat akan mengambil keterangan pihak terbabit Ahad ini.


Dalam pada itu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar mengarahkan siasatan segera dilakukan berhubung kejadian membabitkan murid sebuah sekolah kebangsaan di Mergong itu.




source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cikgubagipenampar/Article

Misi tergendala: Remaja lari ke Lombok ditahan imigresen

JAKARTA: Selepas melepasi kesukaran membawa keluar remaja Iban berasal Sarawak, Steffanie Liana anak Langka dari Pulau Lombok ke Jakarta, misi menyelamatnya oleh Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno sekali lagi berhadapan rintangan di sini.
Pengerusi biro, Datuk Muhammad Khairun Aseh, berkata gadis 15 tahun itu terpaksa ditahan untuk tempoh tertentu di Pusat Detensi (tahanan) Derektorat Keimigrasian Indonesia di Jakarta.


Menurutnya, biro terpaksa akur undang-undang imigresen di negara itu lebih-lebih lagi Steffanie atau nama Islam, Liana melakukan kesalahan berat memasuki negara itu secara haram.


“Rintangan ini sebenarnya harus diambil iktibar semua pihak terutama gadis di negara kita.


“Saya berbincang secara diplomasi dengan imigresen Indonesia. Tetapi, mereka menegaskan undang-undang dan kedaulatan negara bukan satu perkara mainan yang boleh diambil ringan.


“Lebih-lebih lagi kes seumpamanya kerap berlaku. Bagaimanapun masih ada ruang berdiplomasi dan biro akan kembali ke Jakarta Isnin ini dalam usaha membawa pulang Liana ke pangkuan keluarga,” katanya ketika ditemui di pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, di sini, semalam.


Terdahulu, beliau bersama wakil kedutaan membawa gadis terbabit ke pejabat imigresen kira-kira jam 9 pagi.


Menurutnya, dia dapat melihat riak Liana yang terkejut dan takut melihat lokap dipenuhi pelbagai warga asing di pejabat imigresen itu.


Bagaimanapun, katanya, Liana diletakkan di ruang rehat di pusat terbabit atas dasar kemanusiaan serta semangat setiakawan antara Malaysia dan Indonesia. Gadis Iban kini hamil lima bulan sebelum ini dilaporkan memasuki Lombok secara haram 27 Mac lalu mengikuti lelaki Lombok, Tohri Jadi Jaya, 22, sebelum dikesan polis antarabangsa, minggu lalu.




source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Misitergendala_RemajalarikeLombokditahanimigresen/Article

Cuba sembelih ibu saudara

BAGAN SERAI: Cubaan seorang lelaki menyembelih ibu saudaranya menggunakan pisau pemotong daging, dipatahkan selepas polis menembak lengan kanan lelaki berkenaan selepas usaha memujuknya selama 45 minit buntu meskipun dia bertindak lebih agresif.
Tembakan itu dilepaskan anggota polis selepas usaha memujuk suspek supaya menyerah diri dan melepaskan mangsa menemui kegagalan.


Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam di sebuah rumah di Jalan Siakap itu, lelaki berusia 28 tahun ditembak di lengan kanannya selepas cuba mencederakan ibu saudaranya.


Mangsa, K Tanalatchimy, 55, sebelum itu mengalami mimpi ngeri apabila lengan kirinya dikelar suspek, ditetak di tangan kanan dan kepala serta muka mangsa dicederakan sebelum suspek memegang rambut mangsa dengan mengheretnya ke serata rumah.


Ketua Polis Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan, berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.30 tengah hari dan sepasukan enam pegawai diketuai Ketua Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Superintendan Zaidi A Rahman bergegas ke premis berkenaan.


“Ketika polis sampai, tangan kiri suspek dilihat memegang rambut mangsa dalam keadaan duduk manakala tangan kanannya memegang parang.


“Ahli keluarga dan orang ramai berada di luar rumah membantu polis memujuk suspek menyerah diri dan melepaskan mangsa, tetapi dia menjadi lebih agresif sehingga mengeluarkan kata-kata mencabar polis, ‘kalau mahu tembak, tembaklah’,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.


Mat Fauzi berkata, polis terus berusaha memujuk suspek berulang kali, tetapi tidak dihiraukan dan apabila suspek bertambah agresif dengan cuba menetak leher mangsa kira-kira jam 1.15 petang, polis menembak lengan kanannya menyebabkan pisau itu terlepas dari genggaman.


Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar sebelum ahli keluarganya memindahkannya ke hospital swasta, Hospital Columbia Asia di Taiping untuk menerima rawatan.

Katanya, suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 477 Kanun Keseksaan kerana memadamkan wasiat keluarga dibawa ke Hospital Parit Buntar sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.


“Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan,” katanya.




source: http://www.hmetro.com.my/articles/Cubasembelihibusaudara1/Article

Remaja lari rumah dirogol kekasih

KUALA LUMPUR: Pengorbanan cinta seorang gadis berusia 15 tahun yang sanggup menempuh perjalanan dari utara tanah air hingga ke ibu kota untuk menemui kekasih hati bertukar menjadi satu mimpi ngeri buat dirinya apabila dia dijadikan mangsa pemuas nafsu teman lelakinya itu.

Malah, perbuatan keji terbabit turut dirakam teman lelakinya itu sebelum dia mengugut akan mengedarkan gambar bogel berkenaan membuatkan mangsa mula gelisah.


Bagaimanapun, mangsa yang tidak keruan itu akhirnya cuba melarikan diri sebelum ditemui anggota polis yang kebetulan membuat rondaan di kawasan Ulu Klang, Ampang sebelum pemeriksaan mendapati dia pernah dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya di Perlis sejak tiga bulan lalu.


Menurut sumber, selepas siasatan dilakukan, gadis berkenaan mendakwa sepanjang tempoh dia menghilangkan diri itu, dia sebenarnya mengikut teman lelakinya itu.

“Gadis berkenaan turut memberitahu yang sepanjang tempoh itu, dia menjadi mangsa pemuas nafsu lelaki berkenaan dan akhirnya mula menyesali perbuatan itu.

“Difahamkan, dia akhirnya mula jemu hidup bergelumang dengan maksiat sebelum mengambil tindakan nekad melarikan diri,” katanya.


Menurut sumber terbabit, gadis itu turut bimbang apabila cubaan dia melarikan diri daripada kekasihnya itu disusuli dengan satu ugutan lelaki berkenaan yang mahu mengedarkan gambar bogel dan juga aksi ghairah mereka berdua di ranjang.


“Hasil siasatan awal, remaja perempuan terbabit mengakui yang dia sebenarnya melakukan seks dengan teman lelakinya puluhan kali sepanjang mereka tinggal bersama di sebuah rumah di Balakong, Kajang.


“Remaja terbabit turut mendakwa, dia sebenarnya sudah jemu dengan kehidupan sebegitu, namun tidak tahu bagaimana untuk keluar daripada kongkongan teman lelakinya itu,” katanya.

Beliau berkata, selain takut melarikan diri daripada teman lelakinya, dia juga bimbang kerana lelaki berkenaan mengugut akan menyebarkan rakaman aksi ghairah mereka yang dirakam melalui telefon bimbit.


“Dia kemudian mula kehilangan arah dan fikirannya mula bercelaru sebelum nekad melarikan diri dan ditemui di tepi jalan di kawasan Ulu Klang, kelmarin.


“Mangsa akhirnya dibawa menjalani pemeriksaan dan dia turut membuat satu laporan berhubung kejadian itu,” katanya.


Sumber terbabit berkata, susulan daripada laporan yang dibuat, polis menahan seorang lelaki berusia awal 20-an bagi membantu siasatan.

“Lelaki terbabit yang juga anak kepada seorang anggota polis ditahan di rumahnya di Ampang sejurus mangsa membuat laporan,” katanya.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Remajalarirumahdirogolkekasih/Article

Tuesday, May 18, 2010

Jerat kasih denda khalwat

MUAR: Dua wanita yang tidak mampu membayar denda RM3,000 setiap seorang selepas didapati bersalah oleh mahkamah syariah kerana berkhalwat, lega apabila muncul seorang lelaki budiman sanggup menghulurkan wang tanpa menyedari ia ibarat jerat percintaan apabila mereka terpaksa menjadi ‘isteri sanggup’ semata-mata kerana mahu mengelak dihumban ke penjara.
Begitu nasib wanita yang dibiarkan sendirian menanggung denda mahkamah, sedangkan pasangan khalwat mereka yang sebelum ini seronok memadu asmara ketika dicekup pihak berkuasa agama hanya mementingkan diri sendiri.

Kisah pelik tetapi benar ini menimpa dua wanita yang kini bermadu iaitu Azah dan Ani (bukan nama sebenar) yang masing-masing berusia 25 dan 32 tahun apabila terpaksa menjadi isteri kedua dan ketiga seorang usahawan berusia 55 tahun itu.

Azah, 32, berkata dia mendirikan rumah tangga dengan lelaki berusia 55 itu dua tahun lalu.

“Sebelum itu saya ditangkap berkhalwat dengan pasangan di sebuah rumah di Segamat dan akibatnya, kami didakwa di mahkamah sebelum didenda selepas didapati bersalah.

“Mulanya, saya ingat teman lelaki jujur, tetapi tanggapan saya meleset apabila dia yang disangka sanggup sehidup semati bertindak di luar batas dan hanya membayar denda untuk dirinya.

“Saya terkejut dengan tindakannya (teman lelaki) kerana sebelum perbicaraan dia berjanji akan bertanggungjawab membayar denda yang dikenakan di mahkamah,” katanya.

Azah berkata, dia kaget dengan tindakan teman lelakinya yang sanggup membiarkan dirinya terkontang-kanting mencari duit untuk membayar denda atau menghadapi risiko dipenjara dua tahun.

“Saya hanya mampu menangis di luar mahkamah selepas hukuman dijatuhkan. Saya terpaksa meminta penangguhan kepada mahkamah untuk berusaha menjelaskan denda itu,” katanya.

Suri rumah berkenaan berkata, sehari selepas itu, dia didatangi seorang usahawan yang menyatakan kesanggupan untuk membantu melunaskan bayaran denda.

“Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, saya segera menyatakan persetujuan, namun tidak lama kemudian baru niat lelaki itu terserlah apabila saya terpaksa memenuhi satu syarat sebelum dia bersetuju membayar denda terbabit. Syaratnya ialah berkahwin dengannya.

“Takut dengan hukuman penjara, saya bersetuju dengan perjanjian berkenaan dan terpaksa mengahwini lelaki itu kira-kira sebulan kemudian,” katanya.

Azah berkata, walaupun terpaksa, dia mengaku hidup bahagia dengan suami dalam keadaan serba mencukupi walaupun bergelar isteri kedua.

Menurutnya, setahun kemudian, dia dikejutkan dengan khabar angin suaminya berkahwin satu lagi dengan seorang gadis berusia 20-an menerusi taktik jerat kasih yang sama.

Isteri ketiga yang hanya dikenali sebagai Ani, kini berusia 25 tahun, berkata dia bermadu dengan Azah selepas terpaksa berkahwin dengan suami, juga melalui taktik ‘isteri sanggup’.

Seperti Azah, Ani juga ditangkap berkhalwat dengan pasangannya, namun tidak mampu menjelaskan denda dikenakan mahkamah.

Bagi mengelakkan kejadian itu diketahui keluarga, dia terpaksa memberikan persetujuan terhadap syarat yang dikenakan lelaki yang menawarkan bantuan kepadanya sebelum mengadakan upacara akad nikah sebulan selepas itu.

“Kami (Ani dan Azah) bahagia dengan suami walaupun terpaksa berkongsi kasih dan melalui perjanjian yang pelik pada awalnya,” katanya ketika ditemui di rumah Azah di Sungai Abong di sini.

Namun, di sebalik kebahagiaan dua madu ini, pada masa sama kedua-dua wanita terbabit melahirkan kerisauan terhadap sikap suaminya yang seakan-akan ghairah mencari isteri melalui perjanjian pelik terbabit.

Kedua-dua suri rumah sepenuh masa itu yang masing-masing dihadiahkan sebuah kereta bimbang muncul pula madu keempat melalui kaedah jerat percintaan seperti yang dialami mereka sebelum ini.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jeratkasihdendakhalwat/Article

Kejutan buat Fasha

KUALA TERENGGANU: Riuh-rendah jadinya lokasi penggambaran drama bersiri terbitan Zeel Productions berjudul Duyung Aridinata di Pulau Lang Tengah, Terengganu, apabila mereka tiba-tiba dikejutkan kehadiran sebuah helikopter, tengah hari semalam.
Lebih mengejutkan semua pelakon dan kru penerbitan drama bersiri yang menjalani penggambaran di pulau itu sejak 4 Mei lalu apabila sekumpulan VIP yang singgah di pulau itu disertai bekas suami pelakon drama popular, Nora Danish iaitu Toh Muda Rizal Ashram Ramli bertujuan membuat ‘surprise’ kepada seorang pelakon utama drama bersiri itu, Nur Fasha Sandha Hassan.

Fasha yang sebelum ini sering dikaitkan dengan Rizal bagaimanapun mendakwa tidak mengetahui langsung perancangan jejaka berstatus duda yang juga ahli perniagaan berjaya itu untuk datang memberikan kejutan kepadanya.

Helikopter yang membawa Rizal dan beberapa temannya mendarat di kawasan lapang kira-kira 50 meter dari chalet tempat semua pelakon menginap dan menjalani penggambaran kira-kira jam 1 tengah hari.

Wartawan Harian Metro yang berkunjung ke set penggambaran itu untuk membuat liputan di sebalik tabir, bagaimanapun hampa kerana tidak berpeluang melihat kejadian itu, sebaliknya hanya sempat melihat kelibat helikopter peribadi yang berselisih di tengah lautan menuju Pulau Lang Tengah.

Fasha ketika dihubungi untuk mengulas kejadian itu hanya menyatakan Rizal dan beberapa teman mempunyai perancangan untuk membuat kejutan di lokasi penggambaran selepas mendapatkan tahu dirinya terbabit pembikinan drama bersiri berkenaan di pulau peranginan itu.

Bagaimanapun, katanya kehadiran Rizal di set penggambaran tidak disangka dan melangkaui imaginasinya.

“Benar Rizal datang menaiki helikopter untuk memberi kejutan kepada saya. Saya terkejut dengan kehadirannya hari ini (semalam). Saya tergamam melihat kelibatnya yang tiba-tiba muncul menaiki helikopter peribadi dari Kuala Lumpur.

“Tujuan Rizal hanya untuk memberikan kejutan kepada saya dan tidak bermaksud apa-apa. Kebetulan Rizal datang waktu makan tengah hari, jadi saya dan krew penerbitan yang lain sempat menjamu selera bersama ketika waktu rehat,” katanya yang masih terkejut.

Pelakon lain yang turut menyaksikan kehadiran Rizal dengan helikopter termasuk Zachery Francis, Shakila, Zain Saidin, pengarah drama, Adam Hamid serta penerbit yang juga Pengarah Urusan Zeel Productions Sdn Bhd, Fadzil Teh.

Fasha ketika ditanya mengenai hubungannya dengan Rizal, bagaimanapun cuba mengelak untuk bercerita panjang kerana gusar penjelasannya akan disalah tafsir.

Malah, pelakon filem Berlari Ke Langit dan Anak Halal itu menafikan segala spekulasi yang membabitkan dirinya kononnya dilamun cinta.

Fasha enggan mengulas lanjut mengenai persoalan kejutan yang dilakukan itu, sebaliknya hanya menyifatkan Rizal yang berusia 34 tahun sebagai teman yang sentiasa menyokong kerja seninya selain menjadi pendengar setia.

“Saya akui ramai pihak akan mula membuat spekulasi terhadap isu ini, namun saya tidak mahu memberi sebarang kenyataan berhubung perkara ini kerana lebih penting ialah tanggungjawab saya kepada drama yang masih berbaki tiga hari selepas 15 hari saya berkampung di sini.

“Saya perlu fokus untuk habiskan kerja saya dan kehadiran Rizal adalah semata-mata untuk melawat saya di sini dan itu tidak langsung menjejaskan prestasi saya di lokasi penggambaran.

“Apa yang boleh saya simpulkan hubungan kami masih di fasa mengenali antara satu sama lain. Terlalu awal untuk saya berbicara soal jodoh kerana 2010 adalah zaman kebangkitan saya. Jadi, mustahil untuk saya memusnahkan misi itu hanya kerana isu seperti ini,” katanya.



source: http://www.hmetro.com.my/articles/KejutanbuatFasha/Article

Ziana beralih kepada Mohd

SEBELUM ini, penyanyi dangdut Mas Idayu pernah membuat kejutan apabila menghentikan protegenya, Mohd Shabini Ibrahim, 25, (Shaq) daripada membuat persembahan pada konsert pengenalan Mentor 4.
Mas dikatakan bertindak demikian kerana tidak mahu Syak menyeksa dirinya dan meneruskan persembahan dalam keadaan sakit tekak sekali gus mempengaruhi nyanyian secara keseluruhan.


Nampaknya drama Mentor musim baru tidak terhenti setakat itu saja apabila giliran Ziana Zain pula membuat kejutan dengan menggugurkan Ketty Natalia Rasul, 23, sebagai protegenya.


Pengumuman itu dibuat penyanyi Madah Berhelah ini menerusi siaran langsung Mentor 4 membabitkan kumpulan B yang dipancarkan dari Dewan Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ahad jam 9 malam kelmarin. Ziana berkata, dia terpaksa mengambil keputusan itu kerana Thalia baginya belum bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menempuh cabaran sebagai penyanyi.


"Dia tidak menarik diri sebaliknya saya yang mengambil keputusan ini. Bagaimanapun, ia bukan keputusan saya seorang, tetapi hasil perbincangan bersama Thalia sendiri termasuk pihak produksi.


"Thalia bagi saya peserta punya rupa dan bakat cuma dia belum bersedia mental serta fizikal selain sering menghadapi masalah kesihatan.


"Ramai anggap bidang nyanyian ini mudah tapi tidak sebenarnya. Penyanyi bukan sekadar menyanyi ia adalah satu pekerjaan yang harus dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab. "Saya melihat Thalia belum ada persediaan ke arah itu. Mungkin dia masih budak dan disebabkan itu kurang fokus terhadap kerjaya ini," jelas Ziana.


Ziana sempat ditanya bagaimana reaksi Thalia mendengar hal itu dan penyanyi bernada tinggi ini mengakui bekas protegenya itu amat terkejut.


"Memang dia terkejut tapi saya terpaksa mengambil keputusan ini untuk kebaikan Thalia termasuk semua pihak. Saya mendoakan yang terbaik buat Thalia dan berharap ini bukanlah pengakhiran karier nyanyiannya. "Dengan pakej yang di miliki Thalia, mana tahu dia akan menerima tawaran daripada syarikat rakaman. Mungkin juga dua tiga tahun akan datang selepas dia mengutip segala pengalaman menjadikan dirinya lebih matang sekali gus sebagai penyanyi yang berjaya," katanya.

Kekosongan Thalia kini digantikan Mohd Izwan Mohd Nor (Mohd), 22, yang sebelum ini menghadiri uji bakat Mentor untuk menjadi protege Mas Idayu. Mohd juga tiga peserta terbaik pilihan Mas Idayu.


"Walaupun perlu mencari pengganti dalam tempoh 48 jam, saya berpuas hati dengan kualiti bakat yang ada pada Mohd. Dia ada karisma tersendiri apabila berada di atas pentas.


"Suaranya bagus dan paling penting saya nampak dia seorang yang ada keinginan dalam bidang ini. Ciri-ciri ini perlu untuk menjadi protege.


"Misalnya dalam persembahan malam ini, walaupun masih dalam keadaan terkejut diserap masuk ke Mentor, dia tetap berjaya memberikan aksi persembahan yang mantap.


"Saya sangat berpuas hati malah berpendapat untuk persembahan seperti itu bagi peserta yang dipilih pada saat-saat akhir, sesuatu yang sudah cukup membanggakan," katanya.


Menyingkap persembahan konsert pertama bagi kumpulan B, Mohd beraksi solo menerusi lagu Sampai Syurga yang dipopularkan Faizal Tahir manakala Senja Nan Merah secara duet bersama Ziana. Sementara itu, Adi Hamiz Johar, 23, (Adi) protege Dayang Nurfaizah menyampaikan lagu dipopularkan oleh Aizat, Lagu Kita sebelum menyampai berduet dengan Dayang menerusi lagu Meri Jaan dan Nakal.


Sementara Haimie Napsun, 19, (Ayim), protege Mus May pula membawakan lagu Making Love Out of Nothing At All termasuk berduet dengan mentornya melalui lagu Dari Kacama & Dalam Kembara.


Sebelum konsert itu berlabuh, Ayim akhirnya diumumkan sebagai peserta yang mendapat undian tertinggi daripada juri profesional, Aidit Alfian dan Ad Samad dengan perolehan 38 markah sekali gus mendahului Mohd dengan 30 markah serta Adi (32).



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ZianaberalihkepadaMohd/Article

Mael XPDC kena RM500

TANGKAK: Akibat mengajar anak, vokalis kumpulan rock XPDC, Mael atau nama sebenarnya, Syed Ismail Syed Ibrahim didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah mencederakan anak perempuannya berusia 16 tahun di rumah isterinya di Tanjung Agas, 9 Mei lalu.
Mael, 42, yang lebih dikenali sebagai Mael XPDC, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Salina Omar.


Dia didakwa dengan sengaja melakukan cedera kepada anaknya di sebuah rumah di Jalan Ahmad, Tanjung Agas, pada jam 7.30 malam sebelum dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadhil Mat Satris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Muhammad Fadhil dalam hujahnya, berkata pengadu dalam kes itu adalah isteri tertuduh sendiri yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Mati, Isnin lalu dengan mendakwa tertuduh memukul anak perempuannya di bahagian tangan dan kaki dengan menggunakan sebatang rotan serta tangan.


Susulan daripada laporan itu, pasukan polis menahan Mael di rumahnya di Jalan Kim Kee, Muar, kira-kira jam 2 pagi Jumaat lalu.


Mael dalam rayuannya, meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia perlu menanggung lima anak.


Terdahulu di mahkamah sama, Mael turut mengaku bersalah terhadap satu lagi pertuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis ‘Tetrahydrocannabinol’ kepada diri sendiri ketika ditahan di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, kira-kira jam 12 tengah hari Jumaat lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau dikenakan penjara sehingga dua tahun dan pengawasan mengikut Seksyen 38B dan dibaca bersama Seksyen 6 Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) sehingga tiga tahun.

Bagi kesalahan itu mahkamah menetapkan 21 Jun untuk sebutan semula kes berikutan belum menerima laporan ujian dadah dan dibebas dengan jaminan RM2,500.




source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/MaelXPDCkenaRM500/Article

Adegan seks ustazah di asrama pelajar

KUALA LUMPUR - Menjijikkan apabila seorang ustazah sebuah sekolah agama di sini yang lengkap berjubah, bertudung dan bersarung tangan tergamak melakukan hubungan seks di dalam bilik asrama pelajar dengan seorang warden.

Perbuatan terkutuk ustazah itu dan pasangannya terbongkar selepas rakaman video yang diambil ketika mereka melakukan hubungan seks tersebar secara meluas hingga diolah dalam empat siri yang berbeza tetapi melibatkan 'pelakon' yang sama.

Berdasarkan kepada percakapan mereka, rakaman itu dibuat kononnya untuk mengabadikan kenangan cinta mereka sejak enam bulan lalu.

Kosmo! mendapati dalam video seks pertama selama tujuh minit yang disebarkan itu, ustazah berkenaan pada mulanya seperti takut-takut apabila pasangannya cuba merakamkan aksi mereka menggunakan telefon bimbit.



source: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0518&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Sunday, May 16, 2010

Bagaikan sesat dalam gelanggang sendiri

KRONOLOGI diarinya tidak cukup dicoret atas selembar kertas. Perit getir perjuangannya tidak mampu digambar imaginasi kerana ia jauh lebih dramatik. Namun segala dugaan dan halangan yang cuba membunuh semangatnya jelas menjadi kekuatan untuk terus berdiri.
Entah bagaimana bibirnya pantas menyusun bicara, lenggok katanya kemas meskipun ia membongkar seribu satu kisah silamnya saat membina nama. Julung kalinya berkongsi cerita, ternyata Noor Hasliyah Abu Hasan puas selepas meluahkan segala-galanya.


Kelibatnya kini sering menyentuh perhatian media, sekali gus memberi tempias publisiti buatnya. Sapaan komersial buatnya sebagai Alyah sudah kuat dan gah sehebat semangatnya.


“Perjalanan saya terlalu jauh dan panjang untuk diceritakan. Namun jika dilihat secara mendalam, apa yang saya lalui sepanjang 10 tahun ini adalah sebuah penerokaan yang dahsyat. Pelik juga bila fikirkan nasib diri, masakan tidak, cubalah pintu keluar mana sekalipun, saya bagaikan sesat dalam gelanggang sendiri.


“Bayangkanlah, saya curi-curi menyanyi selama ini kerana arwah ayah tidak menggalakkan saya menjadi penyanyi. “Justeru, saya tinggalkan kampung halaman untuk tinggal bersama kakak di Kuala Lumpur supaya pergerakan saya lebih bebas dalam mengintai peluang menyanyi.


“Saya bekerja di sebuah kedai kamera di Terminal 3, Subang ketika itu. Selepas menyandang juara Bintang HMI, saya ditawarkan untuk merakam album, namun terbengkalai begitu saja. Lantaran itu saya bekerja di Baskin Robbins, Wangsa Maju untuk menampung hidup.


“Saya terus menghubungi semua syarikat rakaman lain yang berminat untuk bekerjasama dengan saya hingga satu daripadanya menerima saya.


“Namun rezeki masih tidak menyebelahi saya. Lagu saya tidak dirangka dengan betul hingga ia ketinggalan jauh tanpa promosi dan publisiti. Kesannya, saya kembali bekerja di sebuah kedai cenderahati di Eastern Mall,” katanya.


Penyanyi yang berani tampil dengan imej tersendiri ini tidak pernah rasa malu untuk kembali bekerja meskipun status selebriti mula melekat padanya ketika itu. Jelasnya, status itu tidak membawa makna jika perutnya kebuluran.

Dia mencuba nasib dalam One In A Million (OIAM) dan Gang Starz. Namun itu bukan rezekinya. Kemudian Cat Farish mengajak menyertai Fabulous Cats tetapi masalah kesihatannya membantutkan hasrat.


“Rasa bagai hendak menjerit pun ada sebab apa saja yang saya usahakan masih tidak menampakkan hasil,” katanya.


Episod putus tunang menambah lagi sendu di hati. Bagaimanapun, Alyah akur jodohnya tiada dengan duda anak satu, Tengku Irvan Bahran.


Satu frasa yang merentas fikiran saat melihat kesungguhan gadis ini, Alyah seorang yang tabah dan sentiasa mengejar apa yang diimpikan. Putus asa atau berundur tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya.


“Biarlah apa yang orang nak kata, yang penting saya kenal diri saya dan saya percaya akan apa yang saya lakukan. Jujurnya, segala halangan selama ini adalah pengalaman indah yang mematangkan saya,” katanya.


Terpacul juga persoalan, ada mungkin kepayahan dirinya menongkah segala halangan disebabkan tanpa restu daripada arwah ayahnya, bingkas wanita yang juga ibu kepada dua anak angkatnya, Muhammad Alif, 4, dan Naziatul Afikah, setahun tiga bulan, mencelah: “Ayah mana tidak sayangkan anaknya. Walaupun dia tidak pernah menunjukkan ekspresi menyokong, jauh di sanubarinya pasti dia berbangga dengan kesungguhan saya. Saya percaya arwah seorang yang memahami dan hanya melihat saya dari jauh.” Rezeki buatnya mula menyinar saat bertemu komposer terkenal, Ajai dua tahun lalu. Laluan buatnya makin mudah apabila lagu Tak Mungkin Kerna Sayang melambungkan namanya kembali.


Merenung keseluruhan plot penceritaan gadis ini jelas menggambarkan dirinya yang sentiasa ingin maju dan enggan menyerah kalah dalam mengukuhkan kerjaya seninya.



source: http://www.hmetro.com.my/articles/Bagaikansesatdalamgelanggangsendiri/Article

Remaja diseret 100 meter

NIBONG TEBAL: Seorang remaja maut dalam keadaan ngeri apabila tubuhnya digilis sebelum diseret sebuah lori lebih 100 meter selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya di Jambatan Sungai Kerian, dekat sini, malam kelmarin.

Ooh Jun Liang, 18, dari Taman Tangling Jaya, Simpang Ampat, dekat sini, yang baru 30 minit keluar dari rumahnya, mati serta-merta di tempat kejadian selepas kepalanya hancur dan sebahagian badannya bertaburan di jalan raya akibat digilis tayar lori.


Bapa mangsa, Ooh Teck Wong, 57, berkata anaknya keluar dari rumah jam 8 malam untuk pergi bekerja di sebuah pusat snuker di Taman Fajar, dekat sini, berikutan waktu bekerjanya bermula jam 9 malam sehingga lewat malam.


“Anak saya baru bekerja dua minggu di Taman Fajar dan membawa bekal makanan yang dimasak ibunya.


“Saya terkejut dan sedih selepas menerima panggilan bahawa anak saya maut dalam kemalangan jalan raya kerana dia baru saja keluar dari rumah tidak sampai 30 minit,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik dan Bilik Mayat HSB, di sini, kelmarin.

Menurutnya, anak sulung daripada tiga beradik itu bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Ampat adalah seorang yang rajin dan motosikal yang digunakan itu dibelinya sendiri.


Ooh yang bekerja sebagai peniaga buah-buahan berkata, anak sulungnya adalah satu-satunya harapan bagi mereka sekeluarga.


Sementara itu, Ketua Polis Seberang Perai Selatan, Superintendan Safieen Mamat, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa cuba memotong dari arah kiri dan gagal dikawal apabila motosikalnya bergesel dengan lori terbabit.


Katanya, mangsa kemudian terjatuh dan diseret kira-kira 100 meter oleh lori berkenaan dan mati di tempat kejadian.


“Pemandu lori kilang beras di Nibong Tebal itu kemudian dibawa rakannya ke balai polis sejurus selepas kejadian untuk membuat laporan.


“Kemalangan ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya sambil meminta orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah SPS di talian 04-5932222 bagi membantu siasatan.




source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Remajadiseret100meter/myMA/myArticle

Berhibur 24 jam

KUALA LUMPUR: Sebilangan gadis yang gemar berhibur dari satu pusat hiburan ke pusat hiburan lain selama 24 jam pada hujung minggu sanggup menyerahkan maruah mereka semata-mata untuk mendapatkan keseronokan dengan meneguk minuman keras dan mengambil pil khayal atau lebih popular dengan gelaran pil lendir oleh pengunjung kelab malam.

Dengan menggoyang kepala tanpa henti diiringi muzik bingit, mereka ternyata tidak mempedulikan ajaran agama yang melarang perbuatan maksiat.


Wartawan Metro Ahad berjaya menjejaki tiga kaki kelab malam yang mengakui pernah berhibur lebih 24 jam dengan bantuan pil lendir. Ikuti pengakuan mereka: ZARINA, 27: “HIBURAN 24 jam bukan asing bagi saya kerana sudah melaluinya sejak tujuh tahun lalu. Dadah jenis pil juga sudah sebati. Saya sememangnya menggemari hiburan namun kerana tidak mahu mengeluarkan belanja sendiri, saya hanya menanti pelawaan daripada rakan lelaki.


Pengambilan dadah adalah perkara biasa. Biasanya, saya menerima pelawaan daripada rakan meskipun kenalan yang hanya dikenali dari kelab malam yang dikunjungi.


Saya juga sering diberi pil dan syabu sebelum minum minuman keras. Semua itu bertujuan memberi tenaga supaya kami boleh berparti daripada malam hingga ke malam esoknya tanpa penat.

Malah, tidak kurang juga yang mengajak saya melakukan hubungan seks, lebih-lebih lagi ketika masing-masing dalam keadaan ‘high’. Dalam keadaan di bawah pengaruh dadah dan arak, semua itu menjadi perkara biasa.


Bagaimanapun, hubungan seks yang dilakukan bersama pasangan menjadi perkara terakhir dilakukan. Bagi saya, berparti dan menari adalah agenda utama sebelum mengadakan hubungan seks.


Biasanya, saya akan mengunjungi sebuah kelab malam di sekitar ibu kota. Selepas ditutup pada jam 3 pagi, saya menuju pusat hiburan di sekitar Sunway yang beroperasi sehingga 8 pagi.


Tidak cukup dengan itu, saya dan pasangan serta rakan lain akan menyambung keseronokan itu di bilik hotel. Ia seolah-olah pesta buat kami sebelum masing-masing kepenatan.” NABILA, 29: “KESERONOKAN tidak hanya setakat di ibu kota, malah saya turut mencari hiburan di luar negara. Di sana, saya bukan setakat berhibur di pusat hiburan tetapi turut bebas berpesta di tepi pantai hingga keesokan hari.


Pesta yang dianjurkan di luar negara lebih meriah, malah keseronokan yang dicapai lebih memuaskan daripada pusat hiburan di sini.


Di luar negara, kami dapat berhibur di kelab malam dan berpesta di pantai tanpa perlu rasa takut. Dalam masa sama, keadaan di sana seakan-akan membuat kami bebas melakukan apa saja, termasuk mengambil dadah ketika menari.


Jika di sini, saya hanya mengunjungi beberapa pusat hiburan yang dibuka hingga lewat pagi. Sukar untuk mencari premis yang dibuka 24 jam. Walaupun ada, saya tidak berani mengambil risiko.

Ada masanya, saya juga berpindah dari satu pusat hiburan ke pusat hiburan lain. Ini kerana saya ingin menyambung keseronokan itu apabila premis lain ditutup awal.


Saya pernah tidur dua hari berturut-turut akibat kepenatan selepas menghabiskan tenaga di pusat hiburan lebih 24 jam. Tubuh berasa sakit tetapi tetap melakukannya lagi apabila ada peluang kerana ketagih dengan keseronokan berhibur.


Bagaimanapun, ia cerita dulu. Kini saya tidak lagi terbabit dengan gejala sosial dan menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya,” katanya yang berasal dari Selayang, Kuala Lumpur.” KHAIRI, 26: “SAYA mula menjejak kaki ke pusat hiburan sejak berumur 20 tahun ketika mula berjauhan dengan keluarga di Johor Bahru kerana menyambung pelajaran di ibu kota. Saya kini menjadi jemu dengan berhibur di satu tempat saja.


Sebab itu saya mula mencari pusat hiburan yang dibuka hingga keesokan hari. Untuk mendapatkan tenaga, saya berjinak-jinak dengan dadah jenis pil seperti Ecstacy dan Eramin 5.


Setiap kali ada kelapangan, saya akan berhibur di satu pusat hiburan sebelum bertukar ke tempat lain hingga mencecah lima tempat dalam tempoh 24 jam.


Selain berhibur, saya mencari keseronokan seks dengan mana-mana wanita yang ditemui di pusat hiburan. Saya akui, dadah dan air kencing syaitan adalah umpan terbaik untuk mendapatkan nikmat seks.


Sebahagian besar wanita tidak mahu mengeluarkan wang saku sendiri untuk membeli arak atau pil khayal terbabit, sebaliknya menanti pelawaan lelaki.


Saya sering menggunakan umpan itu, malah tidak kurang juga segelintir wanita yang datang mengenalkan diri kepada saya apabila melihat pelbagai minuman keras terhidang di atas meja,” katanya.


Tidak cukup dengan itu, ada juga yang meminta pil khayal untuk meningkatkan lagi keseronokan. Namun, selepas berada dalam keadaan ‘high’, mereka menawarkan tubuh sebagai ganjaran.


Dadah terbabit tidak sukar diperoleh kerana ramai menjualnya di dalam pusat hiburan. Bagi kaki kelab malam, mereka mengenali siapa penjual di kelab itu. Jadi, tidak sukar untuk memperolehnya walaupun kadangkala ia dijual dengan harga mahal.


Kerana itu saya gemar ‘melompat’ dari satu pusat hiburan ke pusat hiburan lain walaupun ia mengambil masa seharian kerana selain berhibur, dapat juga memuaskan nafsu.” >Trend remaja buru keseronokan membimbangkan KUALA LUMPUR: Ghairah menikmati keseronokan di pusat hiburan melebihi 24 jam dan sanggup menggadai maruah diri untuk mendapatkan pil khayal adalah sesuatu yang sungguh menggerunkan.


Gejala tidak sihat ini menjadi petanda betapa remaja hari ini kian lemas dengan aktiviti yang tidak bermoral.


Perunding motivasi, Profesor Madya Md Izuddin Ali, berkata mungkin setakat ini ia hanya terjadi di bandar besar, tetapi tidak mustahil boleh berjangkit ke kawasan pinggiran jika tidak dibendung segera.


“Ada remaja pernah memaklumkan kepada saya, mereka terbabit dalam kegiatan tidak bermoral di pusat hiburan dan mahu mengubah tabiat buruk terbabit.


“Kerana itu saya katakan pola mencari keseronokan di pusat hiburan kini di tahap membimbangkan kerana ada yang tidak setakat minum minuman keras, malah mengambil bahan terlarang lain,” katanya.


Menurut beliau, ada pula yang sanggup menggadai tubuh untuk berseronok dan ia sebenarnya bukan saja mendatangkan keburukan ketika itu, malah untuk masa depan individu berkaitan.


Katanya, remaja atau pengunjung yang sanggup berhibur melebihi 24 jam di pusat hiburan sepatutnya bermuhasabah diri memikirkan apa sebenarnya yang mereka cari dalam hidup.


“Kita boleh tuding jari pada pemilik pusat hiburan kerana menyediakan pelbagai hiburan melampau, tetapi dalam masa sama kita juga perlu salahkan diri sendiri jika terbuai dengan keseronokan sementara di sana.


“Setiap individu perlu memikirkan masa depan dan tidak mensia-siakannya dengan merosakkan diri sendiri. Jika sudah berhibur 24 jam, bagaimana dengan komitmen kerja, pelajaran dan sebagainya,” katanya.


Beliau turut menasihatkan ibu bapa atau keluarga supaya jangan mudah melepaskan anak masing-masing hingga ada yang tidak pulang ke rumah dengan alasan mereka sudah dewasa atau tahu apa yang dilakukan.


Ini kerana ibu bapa serta keluarga punya peranan penting dalam membentuk, mengawal atau membuat keputusan apa yang baik untuk anak.


“Jangan beri kebebasan penuh pada anak remaja. Jika tidak dikawal, mereka mungkin menyalahgunakannya. Sentiasa kawal atau awasi yang mereka lakukan.


“Selain itu, remaja perlu ada jati diri yang kuat. Dalami agama dan dekatkan diri dengan perkara kebaikan kerana jika kita hanyut, sukar untuk kembali ke pangkal jalan,” katanya.


Pihak berkuasa juga digesa menggandakan usaha membanteras kegiatan pusat hiburan haram kerana jika dibiarkan, tidak mustahil lebih ramai lagi remaja yang bakal binasa.


Sementara itu, Pensyarah Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Profesor Madya Dr Sapora Sipon, berkata dalam teori psikologi, prinsip keseronokan dalam tubuh manusia menyebabkan seseorang itu mahukan perasaan terbabit pada bila-bila masa.


“Tidak mustahil bagi mana-mana individu untuk melakukannya hingga melampaui tempoh 24 jam kerana prinsip keseronokan terbabit menguasai dirinya.


“Kerana itu mereka sanggup melakukan apa saja hatta menggadai maruah diri sendiri. Mungkin ada yang sedar perkara itu salah tetapi tetap tidak kisah asalkan keseronokan yang dihajati tercapai,” katanya.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Berhibur24jam/myMA/myArticle

Ibu dakwa rangka ditemui milik anak

MACHANG: “Saya yakin rangka yang ditemui itu adalah anak saya berdasarkan kad pengenalan diri yang ditemui bersamanya,” dakwa Nik Zah Kundur, 49, ibu kepada Ahmad Hafizudin Suhaimi, 27, yang dilaporkan hilang sejak 19 November lalu.

Berikutan penemuan itu, Nik Zah bersama suaminya yang hanya ingin dikenali sebagai Suhaimi bergegas ke tempat kejadian untuk mengetahui status rangka berkenaan berikutan kehilangan anaknya kira-kira enam bulan lalu.


Nik Zah berkata, meskipun rangka itu disyaki milik anaknya, namun dia menyerahkan kepada polis untuk melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas rangka terbabit.


Dia yang masih terkejut dengan penemuan berkenaan bagaimanapun enggan mengulas berhubung perkara itu berikutan tidak mahu mengganggu siasatan polis.


Seorang penduduk kampung yang enggan namanya disiarkan berkata, sebelum penemuan rangka terbabit, anak lelakinya mencari seekor anak kucing peliharaan mereka di luar pagar rumah.

Katanya, ketika mencari haiwan peliharaan itu, anaknya terdengar bunyi suara kucing dari arah parit sedalam satu meter.


“Ketika turun hendak mengambilnya, anak saya terkejut apabila menemui rangka, tulang dan tengkorak manusia di dalam parit berkenaan, menyebabkan dia bergegas naik sebelum terus memaklumkan kepada saya.


“Terkejut dengan berita itu, saya terus bergegas ke kawasan berkenaan bagi meninjau keadaan sebenar sebelum menghubungi polis berhubung penemuan itu,” katanya yang turut enggan mengulas lanjut perkara itu.


Akhbar pada 14 Januari lalu melaporkan, Ahmad Hafizudin yang juga penyelia projek dikatakan keluar menaiki keretanya pada 19 November lalu dengan membawa sejumlah wang RM22,000 untuk bayaran kepada pekerja.


Dia dikatakan pergi ke tapak projek di Labok, Machang, kira-kira jam 1 tengah hari, namun dilaporkan hilang oleh keluarganya sebelum seorang penduduk kampung menemui kereta miliknya jenis Proton Wira di kawasan semak berhampiran Kampung Bukit Belah pada 16 Disember lalu.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim, ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak boleh mengulas lanjut berhubung perkara itu sehingga keputusan DNA daripada Jabatan Patalogi diketahui.


“Rangka, tengkorak dan tulang-tulang memang ditemui dalam parit berkenaan namun belum dapat disahkan mayat ditemui itu adakah milik lelaki yang dilaporkan hilang oleh satu keluarga baru-baru ini.

“Rangka manusia itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk tindakan,” katanya.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibudakwarangkaditemuimilikanak/myMA/myArticle

Aksi panas pengkid, lesbian

KUALA LUMPUR: Hanya selepas dua minggu akhbar ini membongkar pesta ‘jilat dan lekat’ khusus untuk pengkid dan lesbian, satu lagi pesta dengan pelbagai aksi yang lebih panas dikesan diraikan golongan berkenaan di sebuah pusat hiburan di sini, awal pagi semalam.
Menjijikkan apabila penganjur bukan saja membenarkan pelbagai aksi bebas seperti bercumbuan, berpeluk dan menari dengan aksi ghairah, tetapi turut mengadakan pertandingan ‘drag king’ khusus untuk pengkid.


Golongan wanita yang berperwatakan lelaki itu tanpa segan silu menari di atas pentas dan menari dengan gaya berahi bertujuan memperlihatkan mereka juga mampu menari seperti lelaki dan tidak kurang juga yang cuba menggoda pengunjung yang melihat mereka.


Pada 2 Mei lalu, akhbar ini melaporkan mengenai penganjuran pesta pengkid dan lesbian yang menyediakan permainan ‘jilat dan lekat’ di sebuah pusat hiburan.


Pelbagai aksi berahi disajikan golongan berkenaan yang tanpa segan silu menjilat pasangan masing-masing di tengkuk, dada serta bawah pusat sambil melentok-lentok seksi.


Wartawan Metro Ahad menghadiri pesta awal pagi semalam selepas mendapat aduan orang ramai dan mendapati promosi mengenainya dibuat secara terbuka menggunakan laman sosial Facebook di Internet.


Namun berbeza dengan pesta sebelum ini, pintu masuk pusat hiburan itu dikawal ketat.


Hanya lesbian dan pengkid serta individu yang membuat tempahan untuk menyertainya dibenarkan masuk.


Pesta terbabit bermula kira-kira jam 10 malam kelmarin dan acara kemuncaknya ialah aksi peragaan dan tarian pengkid yang dimulakan kira-kira jam 12.30 malam hingga 1.30 pagi.

Apabila pengkid yang mengambil bahagian mula ligat menari dengan pelbagai aksi menjijikkan, kira-kira 150 hingga 200 pengunjung turut memberi sorakan gemuruh.


Begitupun, usaha wartawan untuk merakam aksi panas berkenaan menemui jalan buntu apabila pihak penganjur mengambil langkah berhati-hati serta mengarahkan lampu disuramkan.


Tinjauan wartawan juga mendapati beberapa katil dihiasi cadar berwarna merah ditempatkan di ruang tertentu.


Beberapa pasangan dilihat mengambil kesempatan bercumbu-cumbuan dan melakukan aksi ghairah di atas katil itu diiringi muzik.


Menariknya, kali ini pesta itu mendapat khidmat ‘minah saleh’ selaku pengacaranya. Malah, tidak kurang juga segelintir pasangan lesbian dari negara luar didapati berhibur yang rata-ratanya dihadiri remaja Melayu.


Bagaimanapun, kemeriahan pesta itu terganggu seketika apabila sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi melakukan pemeriksaan mengejut.


Menurut sumber, polis bertindak atas aduan orang ramai yang marah menerima jemputan daripada e-mel dan laman sosial.


“Orang ramai mungkin jelik dengan jemputan yang diterima mereka menerusi laman web sosial dan e-mel. Namun kami hanya melakukan pemantauan dan melihat kesalahan daripada segi undang-undang.


“Kami juga tidak mempunyai kuasa untuk menangkap atau menyekat golongan ini berpesta. “Mungkin lebih baik masyarakat membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi membanteras gejala songsang berkenaan,” katanya.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Aksipanaspengkid_lesbian/Article

Thursday, May 13, 2010

Piala Thomas: Malaysia mara ke separuh akhir

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Denmark 3-2 pada
perlawanan suku akhir Kejohanan Piala Thomas di Stadium Putra malam ini.
Lee Chong Wei mn Peter Hoeg Gade 21-17, 21-17.


Koo Kien Keat/Tan Boon Heong mn Carsten Mogensen/Mathias Boe 21-17, 21-19.


Wong Choong Hann tewas kepada Jan O Jorgensen 20-22, 21-16, 18-21. Mohd Zakry Abdul Latif/Hoon Thien How tewas kepada Lars Paaske/Jonas Rasmussen 26-24, 12-21, 19-21.


Hafiz Hashim mn Joachim Persson (DEN) 21-12, 21-10



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PialaThomas_Malaysiamarakeseparuhakhir/Article

Wednesday, May 12, 2010

Bayi PLKN

PAPAR: Tangisan bayi pada awal pagi yang mengundang ketakutan di kalangan pelatih kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Ovai di sini, terjawab apabila menemui bayi lelaki yang baru dilahirkan rakan mereka di dalam tandas pusat berkenaan, awal pagi semalam.
Bayi yang masih berdarah dan bertali pusat itu ditemui sekumpulan pelatih yang menyiasat arah tangisan berkenaan sebelum mengesan bunyi itu datang dari bilik air.


Sebaik memasuki tandas, kumpulan pelatih berkenaan terkejut melihat rakan mereka dalam keadaan tidak bermaya memegang bayi sebelum menghubungi pihak pengurusan memaklumkan perkara itu.


Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Nik Zaidi Nik Zakaria mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.


“Pelatih berasal dari Keningau berusia 18 tahun itu melahirkan bayi di dalam tandas kem berkenaan sebelum ditemui pelatih lain yang curiga mendengar bunyi tangisan bayi di kawasan berkenaan.


“Ibu muda bersama bayinya itu dibawa ke Hospital Papar untuk pemeriksaan lanjut dan kini dilaporkan stabil,” katanya.


Katanya, bayi lelaki cukup sifat seberat 2.63 kilogram itu juga stabil dan sedang dirawat di hospital sama.


“Siasatan awal polis mendapati pelatih itu pernah menjalin hubungan rapat dengan lelaki dipercayai kekasih yang menetap di kampungnya di Keningau.


“Ketika mendaftarkan diri di pusat latihan itu pada Mac lalu, pelatih berkenaan dipercayai sudah berbadan dua,” katanya.

Katanya, pelatih itu bijak menyembunyikan kehamilannya sehingga tidak disedari jurulatih dan rakan pelatih lain.


“Semua jurulatih mengaku tidak menyedari mengenai perkara itu sepanjang dua bulan pelatih berkenaan menjalani latihan di kem itu.


“Polis kini sedang mengesan seorang lelaki berusia 20 tahun yang boleh membantu siasatan,” katanya.


Sementara itu, Nik Zaidi turut mengingatkan pihak pengurusan PLKN melakukan pemeriksaan lebih teliti terhadap pelatihnya.


“Saya mencadangkan pihak kem PLKN melakukan ujian kehamilan ke atas semua pelatih yang bakal memasuki pusat ini pada masa akan datang.


“Langkah ini bertujuan mengelak kes seperti ini berulang selain perkara tidak diingini berlaku,” katanya.


Katanya, pihak bertanggungjawab perlu menjadi kejadian itu sebagai pengajaran dan iktibar.


"Apa akan terjadi dan bertanggungjawab jika pelatih bersalin ketika sedang mengadakan latihan lasak seperti memanjat dan sebagainya.


"Kita tidak mahu berlaku sesuatu buruk berlaku yang boleh menyebabkan nyawa pelatih dan bayi dikandungnya terancam," katanya.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BayiPLKN/Article

Tuesday, May 11, 2010

Iklan pasangan songsang

KUALA LUMPUR: Jijik dan menakutkan apabila semakin ramai gay atau golongan homoseksual remaja tempatan tidak segan silu mengiklankan diri masing-masing bagi memperoleh ‘nikmat seks gila’ dengan menyalahgunakan laman web sosial terutama Facebook.
Difahamkan golongan songsang terbabit seolah-olah mendapat ruang kebebasan untuk mencari pasangan melalui beberapa alamat termasuk Persatuan Gay Malaysia Kebangsaan, Malaysian Gay dan Gay African In Malaysia. Berdasarkan siasatan, beberapa lelaki homoseksual di kalangan remaja dan lelaki tempatan tidak segan meletakkan nombor telefon bimbit dengan harapan ada individu sejenis lain berminat menghubungi mereka, sekali gus menjalin hubungan cinta terlarang.


Selain mengiklankan percuma nombor telefon menerusi laman Facebook, kebanyakan pelawat laman web berkenaan turut meletakkan wajah masing-masing bagi menarik perhatian ‘pasangan’ lain.


Pada masa sama pelbagai kata-kata berahi dan permintaan tidak senonoh turut dimasukkan ke dalam profil diri dalam laman web berkenaan, antaranya ‘saya mahu yang tua sahaja’, ‘siapa mahukan bonxxx sila hubungi 019******’, ‘saya mahukan hubungan serius...sila hubungi 013*****’ dan ‘Ingin lihat anu saya’.


Laman web sosial berkenaan yang mempunyai pautan laman web lain mendapat sambutan menggalakkan terutama di kalangan remaja tempatan. Tinjauan lanjut turut mendapati pelbagai tajuk khas menjadi perbincangan pengunjung laman web berkenaan antaranya pesta seks malam, kumpulan gay KL, pelancongan gay ke Pulau Redang, gay universiti dan pelbagai isu lain yang menjadi topik hangat gay dari seluruh pelusuk negara.


Lebih mengejutkan apabila pihak bertanggungjawab turut menghasilkan logo khas kumpulan Gay Malaysia terbabit dengan menyalahgunakan lambang jata negara yang disertakan pelbagai warna menyamai bendera.


Bagi membuktikan sama ada laman web terbabit disalah guna untuk tujuan mencari pasangan seks sejenis, wartawan Harian Metro menyamar ‘peminat kaum sejenis’ sebelum menghubungi beberapa pengunjung tetap laman web terbabit, semalam.


Wartawan menghantar SMS kepada nombor telefon pemilik dikenali sebagai Hans dengan bertanya sama ada dia berminat untuk membuat temujanji sebelum disusuli aktiviti seks.


Umpan SMS itu mendapat maklum balas segera apabila gay terbabit membalas dan bertanya umur serta lokasi wartawan.

Tanpa segan silu dia menghubungi wartawan sambil memberitahu kebosanan dan mencari rakan yang dapat dijadikan tempat bermanja.


Agak memeranjatkan apabila Hans terus mengajak wartawan melancong ke Pulau Redang sambil mendakwa semua perbelanjaan akan ditanggungnya.


Mengulas perkara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan Malaysia (Sidim), Mohamed Hanafiah Abdul Malek, meminta golongan bernafsu songsang itu supaya bertaubat segera kerana apa yang dilakukan mereka itu lebih teruk daripada haiwan.


“Kita manusia ciptaan Allah, malah haiwan pun tidak melakukan hubungan sejenis, kenapa mahu jadi lebih teruk daripada binatang?” katanya yang dihubungi, semalam.


Beliau berkata, keberanian mereka membuat pengakuan di Internet itu bukan perkara baru, malah jumlah lelaki yang meminati kaum sejenis terbabit ramai.


“Banyak sebab golongan ini boleh wujud, malah di Sidim kami merawat puluhan pelatih untuk kembali ke jalan yang benar selepas terjebak kegiatan homoseksual,” katanya.


“Saya menyeru mereka supaya bertaubat kerana apa yang dilakukan mereka itu dosa besar,” katanya.




source: http://www.hmetro.com.my/articles/Iklanpasangansongsang/Article

Sabit lekat di kepala

KUALA LUMPUR: Mengerikan apabila kepala seorang buruh hampir terbelah dua selepas sebilah sabit tajam ‘melekat’ di belakang tempurungnya sejurus ditetak seorang lelaki yang menyerangnya dari belakang.
Lelaki itu dipercayai bertindak ganas kerana tidak puas hati teguran mangsa supaya jangan duduk di atas bangku konkrit yang baru dibina berikutan bimbang ia runtuh akibat simen belum kering sepenuhnya.


Namun, teguran itu bertukar tragedi berdarah apabila mangsa ditetak di kepala manakala rakannya hampir putus jari selepas diserang hendap suspek yang bersenjatakan sabit. Mangsa, Abdul Rahman Surni, 49, berkata ketika kejadian jam 2.15 petang semalam, dia bersama seorang rakan membina bangku daripada simen di taman permainan kanak-kanak berhampiran Lorong Raja Muda Musa, Kampung Baru di sini.


Menurutnya, sebaik menyiapkan bangku berkenaan, seorang lelaki tidak dikenali muncul dan cuba duduk di atas bangku konkrit yang masih basah.


“Saya terkejut dengan tindakan lelaki terbabit sebelum menegurnya supaya tidak duduk di bangku itu kerana dibimbangi ia akan roboh.


“Nasihat saya itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan lelaki terbabit yang naik angin dan meluahkan kata-kata kesat,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, lelaki berbadan kurus berusia 20-an itu kemudian pergi dari situ dalam keadaan tidak puas hati.


“Namun, saya tidak menyangka dia datang semula beberapa minit kemudian dengan membawa sabit. Lelaki itu terus menyerang rakan saya dengan melibas sabit berkenaan.


“Rakan saya terpaksa menggunakan tangan untuk menahan tetakan terbabit hingga menyebabkan jari hantunya terkoyak. Sejurus selepas itu, suspek melarikan diri,” katanya.

Berikutan itu, dia yang ketakutan segera mengemaskan perkakas kerjanya untuk meninggalkan kawasan berkenaan.


“Namun, ketika saya tergesa-gesa meninggalkan lokasi kejadian, dia tiba-tiba muncul dari arah belakang lalu menetak sabit dibawanya sekuat hati ke arah kepala saya.


“Kejadian itu menyebabkan darah memancut keluar dari kepala sehingga membasahi muka saya. Saya ketika itu amat takut dan hanya mampu menjerit meminta tolong rang ramai berikutan bimbang dibunuh suspek yang mengamuk,” katanya.


Menurutnya, jeritan itu menyebabkan lelaki terbabit terkejut sebelum lari meninggalkannya.


“Saya tak pasti apa yang berlaku, tapi orang awam yang berada berhampiran menghubungi polis sebelum polis bergegas ke tempat kejadian.


“Saya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum diberikan rawatan kecemasan dan menerima 15 jahitan di kepala. Rakan saya pula menerima lima jahitan di tangan,” katanya yang sudah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.


Menurutnya, dia yang tinggal di Paya Jaras, Sungai Buloh, dekat sini, terpaksa berehat beberapa hari untuk memulihkan kecederaan.


Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang tukang masak terkejut apabila dua penjenayah tiba-tiba menyergah dan mengheretnya ke dalam belukar berhampiran sebelum merompak.


Difahamkan, serangan mengejut itu menyebabkan muka mangsa bengkak manakala matanya berdarah akibat ditumbuk suspek dipercayai geng samun tempatan. Mangsa yang kerugian wang tunai RM250, MyKad dan pelbagai barang berharga lain membuat laporan di balai polis berhampiran.


Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 10.25 malam kelmarin, mangsa berjalan bersendirian berhampiran lorong di Jalan Davis di sini, selepas habis bekerja. Menurutnya, dua lelaki tidak dikenali mendakap dan memegang tangan mangsa yang ketika itu terpinga-pinga.


“Suspek mengheret mangsa ke dalam semak berhampiran sebelum menumbuk dan memukulnya. Mangsa cuba mempertahankan diri, namun tidak berdaya selepas ditumbuk bertubi-tubi di muka.


“Seorang daripada suspek meraba tubuh mangsa sebelum merampas dompet,” katanya.


Menurutnya, suspek kemudian melarikan diri meninggalkan mangsa berseorangan.


“Mangsa yang berusia 46 tahun keluar dari semak sebelum terserempak kereta peronda polis yang melalui kawasan terbabit,” katanya.


Difahamkan, serangan mengejut itu menyebabkan muka mangsa bengkak manakala matanya berdarah akibat ditumbuk suspek dipercayai geng samun tempatan.


Mangsa yang kerugian wang tunai RM250, MyKad dan pelbagai barang berharga lain membuat laporan di balai polis berhampiran.


source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sabitlekatdikepala/Article

Anak saya mangsa korban pemujaan, bukan mati lemas

GEORGETOWN: “Anak saya dikorbankan untuk upacara pemujaan bukannya mati lemas,” dakwa bapa kepada mangsa dipercayai dibunuh dengan kejam di Kuala Kangsar, Perak, Manzor Hussain Shah Wilayah Shah, 61.
Beliau berkata, arwah anaknya, Shah Farin Manzor Hussain Shah, 23, dipercayai mangsa korban untuk upacara pemujaan yang bertentangan dengan syariat Islam.


Menurutnya, dia mahu menuntut keadilan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kematian anak lelakinya yang juga anak keempat daripada lima beradik itu kerana wujud percanggahan maklumat mengenai punca kematian arwah.


“Pada 8 April lalu, arwah ke Kampung Batang Kulim, Kuala Kangsar bersama rakannya menghadiri majlis tahlil di rumah gurunya, pengamal perubatan tradisional. “Pada mulanya, saya tidak mengesyaki apa-apa tetapi ketika arwah di sana, anak saya, Shah Rizak, 20, yang tinggal di Batu Maung menerima panggilan daripada rakan arwah memaklumkan Shah Farin hilang di hutan ketika bersiap menghadiri kenduri,” katanya pada sidang media di Pengkalan Nelayan Sungai Pinang.


Katanya, Shah Farin mengajak dua rakannya ke kawasan hutan, tetapi rakannya menolak dan arwah seorang diri ke hutan tidak pulang ke rumah dan disyaki hilang. Manzor berkata, isterinya dimaklumkan Shah Farin mati lemas dan untuk mengetahui perkara sebenar, mereka sekeluarga ke Kuala Kangsar pada 9 April lalu.


Katanya, rakan arwah anaknya ketika ditemui menceritakan mengenai kejadian berkenaan yang bercanggah antara satu sama lain.


“Usaha mencari Shah Farin dimulakan pada 10 April dengan bantuan sepasukan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela), polis, pasukan bomba dan penyelamat dan Unit Anjing Pengesan Polis (K9) serta beberapa ahli keluarga sebelum arwah ditemui dalam sungai,” katanya.




source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anaksayamangsakorbanpemujaan_bukanmatilemas/Article

Koperal nafi sebab kematian

SHAH ALAM: Selepas dua minggu, anggota polis berpangkat koperal yang terbabit dengan kematian remaja, Aminulrasyid Amzah, 15, kerana terkena tembakan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menyebabkan kematian remaja itu.
Tertuduh, Jenain Subi, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Hakim M Gunalan.


Mengikut pertuduhan, tertuduh yang memakai kemeja- T berwarna kuning dan oren serta berseluar jeans didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid dengan niat hendak menyebabkan kematian dan melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh.


Kejadian berlaku di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara jam 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April lalu.


Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, manakala tertuduh diwakili Salim Bashir. Terdahulu, Mohd Dasuki menawarkan jaminan RM35,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh. Bagaimanapun dibantah Salim dengan alasan jumlah ikat jamin perlulah berpatutan dan mengikut budi bicara mahkamah. “Tertuduh mempunyai pendapatan RM3,000 manakala isterinya seorang guru berpendapatan RM1,800. Saya mohon mahkamah mengambil kira keadaan tertuduh mempunyai tiga anak masih kecil,” kata Salim. Menurutnya, keluarga Jenain mampu membayar wang jaminan RM6,000 hingga RM7,000 saja dan berhujah tiada peluang bagi tertuduh untuk melarikan diri daripada kes ini.


“Jika jaminan tidak dapat dibayar, tertuduh ditahan reman sehingga hari perbicaraan. Keadaan ini menyukarkan semua pihak termasuk keluarganya. Mohon mahkamah memberikan jaminan rendah,” katanya.


Jenain menyertai pasukan polis pada 1985 sebelum ini pernah bertugas di mahkamah dan ketika kejadian, dia bertugas sebagai anggota polis peronda di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.


Tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan penjamin dan menetapkan 10 Jun ini sebutan kes dan tertuduh membayar jaminan itu. Turut berada di mahkamah ialah isteri tertuduh yang kelihatan sedih apabila berjumpa suaminya. Bagaimanapun, keluarga Allahyarham Aminulrasyid tidak kelihatan di mahkamah.




source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Koperalnafisebabkematian/Article