Thursday, July 22, 2010

Rumah imam dibakar

KUALA LUMPUR: Rumah imam dan dua ahli jawatankuasa (AJK) Surau At-Taufiqiah di Flat 16 tingkat di Sungai Besi di sini, dibakar awal pagi semalam, dipercayai perbuatan khianat individu yang kurang senang dengan tindakan mereka aktif melakukan usaha membanteras maksiat di kawasan itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, individu terbabit dipercayai membakar kawasan luar rumah imam berkenaan di tingkat bawah sebelum membakar rumah dua lagi AJK surau berkenaan di tingkat satu dan sembilan.

Kejadian itu menyebabkan seluruh flat berkenaan terputus bekalan air berikutan paip PVC utama di tingkat sembilan yang menyambung bekalan ke rumah penghuni turut dibakar sehingga menyebabkan limpahan air .

Imam berkenaan, Besar Omar, 60, berkata dia menyedari kebakaran itu kira-kira jam 5.30 pagi selepas keluar rumah untuk ke surau bagi mengimamkan solat Subuh.

“Sebaik keluar rumah, saya lihat jiran sibuk memadamkan ampaian kain di depan rumah saya yang terbakar. Ketika itu baru saya tahu ampaian rumah saya dibakar dan selepas memeriksa, saya dapati baju keluarga saya disidai di ampaian mempunyai kesan terbakar.

“Saya tak risau dengan kebakaran itu, tapi apa yang saya kesalkan sikap individu terutama remaja di kawasan flat ini yang makin tidak berakhlak sehingga sanggup membakar rumah penghuni di sini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Besar yang juga pesara tentera berkata, dalam beberapa ceramah agamanya di surau sebelum ini, dia menegur remaja di flat itu kerana sikap mereka kurang berakhlak.

“Sebelum ini pun ada kes vandalisme apabila pihak tidak bertanggungjawab membuang sesuatu ke atas bumbung surau,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Abu Huzaifah Mohd Radzi, 26, yang tinggal di tingkat satu flat berkenaan berkenaan berkata, dia menyedari kebakaran di rumahnya selepas terhidu bau asap yang memenuhi ruang rumahnya sebelum melihat ampaian di hadapan dijilat api.

“Saya terjaga dari tidur apabila terhidu bau asap sebelum mendapati kepulannya menyelubungi seluruh rumah. Selepas memeriksa kawasan rumah, saya dapati ampaian di depan rumah dijilat api. Saya dan anggota keluarga bertungkus-lumus memadamkan api dan syukur usaha kami berhasil,” katanya.

Abu Huzaifah berkata, dia percaya individu terbabit membakar baju yang digantung pada ampaian berdekatan pintu depan rumah dengan harapan api akan menyambar pintu serta tingkap rumah.

“Saya juga percaya perbuatan khianat ini dilakukan mereka yang marah atau berdendam dengan AJK surau berikutan usaha kami melakukan operasi mencegah maksiat dari semasa ke semasa,” katanya.

Dia yang juga seorang peniaga mendakwa ada saksi melihat kelibat seorang lelaki berbaju cerah menunggu di atas motosikal dalam keadaan mencurigakan ketika kebakaran sebelum melarikan diri apabila kehadirannya disedari penghuni flat itu.

Menurut Abu Huzaifah, selepas selesai memadam api di ampaian rumahnya, dia terdengar bunyi limpahan air dari paip di tingkat atas dan dimaklumkan limpahan itu datang dari tingkat sembilan.

“Saya berlari ke tingkat sembilan dan mendapati ampaian rumah rakan saya yang juga AJK surau turut dibakar dan air memenuhi depan rumahnya selepas paip plastik utama berhampiran ampaian disambar api,” katanya.

Katanya, dia bersama penghuni lain memadam kebakaran itu dan mereka terpaksa menutup bekalan air bagi mengelak air melimpah.

Abu Huzaifah melaporkan kejadian berkenaan di Balai Polis Sungai Besi.

Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

“Polis menyiasat kebakaran itu berdasarkan maklumat mangsa dan orang ramai di tempat kejadian. Setakat ini, motif kebakaran masih dalam siasatan.

“Saksi diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan bencana dengan menggunakan api.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rumahimamdibakar/Article

'Hartawan ketum'

JERLUN: Seorang lelaki warga emas layak digelar ‘hartawan ketum’ kerana kehidupan mewahnya walaupun pernah empat kali ditahan kerana mengedar dan memproses air ketum di Kampung Tandop Kedabu, di sini, sejak lima tahun lalu.

Sejak berkecimpung perniagaan haram itu, lelaki berusia 65 tahun, mampu hidup senang termasuk membina rumah ‘mewah’ dan membeli kereta selain menyara ahli keluarga.

Ketika disiasat anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, lelaki itu memberi pelbagai alasan bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari, warga emas itu bersama anak lelaki dan anak saudaranya tidak pernah serik walaupun rumah mereka pernah diserbu empat kali kerana menjual dan memproses air ketum di kampung berkenaan.

Dia begitu licik kerana menyimpan air ketum di seberang sungai kira-kira 50 meter dari rumahnya bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Ketua JSJN Kedah, Superintendan Baharom Othman berkata, operasi diketuai Cif Inspektor Shahran Termizi membabitkan 15 anggota itu menyerbu dua rumah di kampung berkenaan yang juga milik pasangan adik-beradik.

“Warga emas berusia 65 tahun ditahan bersama anak lelaki, 20-an serta anak saudara lelaki, 20, di dua rumah berasingan.

“Ketika serbuan, tiga lelaki berusia 20 hingga 30-an dipercayai pelanggan berada di dua rumah berkenaan yang terletak selang sebuah.

“Warga emas berusia 65 tahun ditahan bersama anak lelaki, 20-an serta anak saudara lelaki, 20, di dua rumah berasingan.

“Ketika serbuan, tiga lelaki berusia 20 hingga 30-an dipercayai pelanggan berada di dua rumah berkenaan yang terletak selang sebuah.

“Warga emas dan anaknya sedang melayan pelanggan dengan menjual air ketum yang diletakkan atas meja manakala anak saudaranya serta dua pelanggan sedang membungkus air ketum untuk diedarkan di kawasan berhampiran,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, kedua-dua rumah berkenaan pernah diserbu empat kali kerana disyaki mengedar dan memproses air ketum kepada penduduk berhampiran.

“Dalam operasi itu, polis merampas 350 bungkus air ketum siap diproses, lima kilogram daun ketum, dua tong gas, dua dapur masak dan dua periuk besar bernilai lebih RM10,000.

“Kita sudah membuat empat kali serbuan di kedua-dua rumah itu sepanjang tahun ini dan kali terakhir pada Mei lalu,” katanya.

“Semua mereka kemudian dibawa ke IPK dan akan menjalani ujian air kencing. Mereka disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum empat tahun dan denda maksimum RM10,000,” katanya.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hartawanketum/Article

Murid darjah satu dakwa dicabul guru

KANGAR: Seorang murid perempuan mendakwa dicabul gurunya dalam sebuah bilik di sebuah sekolah rendah di Guar Sanji semalam menyebabkan beliau kini trauma untuk ke sekolah.
Murid darjah satu itu mendakwa kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 pagi semalam apabila guru lelaki berusia lebih 50 tahun itu memanggilnya memasuki bengkel kemahiran hidup sekolah itu dan mencium pipi kirinya.


Murid berusia tujuh tahun itu yang ditemui di rumahnya berkata, guru itu melakukan perbuatan itu di sebalik pintu bengkel berkenaan dan mengarahkannya supaya tidak memberitahu perkara itu kepada orang lain.


Bagaimanapun pelajar itu yang takut dengan kejadian itu memaklumkan kepada bapanya yang kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Arau malam tadi sebelum pelajar itu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah untuk pemeriksaan.


Katanya, sebelum kejadian itu, guru berkenaan mengarahkan seorang murid lelaki memanggilnya untuk bertemu guru itu dan ketika di bilik berkenaan, hanya guru itu berada di dalamnya.


Murid itu kini trauma untuk ke sekolah dan mahu bapanya menukarkannya ke sekolah yang lain.


Bapa pelajar itu berkata, dia terpaksa berfikir panjang sebelum membuat laporan polis.


"Ini kerana guru itu amat dikenalinya malah pernah menjadi gurunya ketika menuntut di Sekolah Menengah Syed Ahmad, Tambun Tulang kira-kira 25 tahun lalu," katanya.


Bapa murid itu yang berusia 41 tahun, berkata laporan itu dibuat kerana bimbang kejadian lebih buruk menimpa anaknya.


Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.


-Bernama




source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Muriddarjahsatudakwadicabulguru/Article

Wednesday, July 7, 2010

'Kami tiada hubungan lagi'

KUALA LUMPUR: “Saya tak mahu komen lebih-lebih sebab kami sudah tidak ada (hubungan) apa-apa lagi. Tolonglah doakan saya yang baik-baik,” kata dramatis, Nasriah Ngasri berhubung gosip kemunculan orang ketiga menjadi penyebab perceraiannya dengan Abdul Wafi Hassan atau Wafi.
Nasriah atau lebih dikenali sebagai Anne, 26, berkata dia ada mendengar gosip sedemikian tetapi tidak mahu terlalu memikirkannya kerana masalah membabitkan dirinya sudah selesai.

“Saya tidak mahu membesar-besarkan perkara ini biar apapun gosip yang muncul kerana masalah saya selesai. Perkara terpenting dalam hidup saya sekarang anak dan karier saya.

“Saya sendiri mempunyai banyak rancangan demi masa depan anak dan kerjaya,” katanya yang kini sibuk menjalani penggambaran drama Cermin Dua Muka di Perlis sejak awal bulan lalu.

Anne bagaimanapun berharap Wafi dapat menjalankan tanggungjawab sebagai bapa yang baik kepada anak mereka.

“Itu saja harapan saya supaya masa depan anak kami terjamin,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan peserta Akademi Fantasia (AF) musim kelima, Nonny Nadirah Zainuddin atau Noni menafikan dia menjadi punca perceraian Anne dan Wafi.

Noni memberi kenyataan itu selepas ruangan pojok Metro Ahad, Cerita Artis Kita (CAK) melaporkan desas-desus kononnya bekas suami kepada seorang dramatis yang baru saja bercerai menemui cinta barunya dengan seorang bintang program realiti televisyen yang turut dikatakan menjadi punca perceraiannya.

Malah `bintang realiti' yang merujuk kepada Noni dan bekas suami dramatis itu dikatakan pernah dilihat keluar bersama ke sebuah kelab di Bandar Sunway, Petaling Jaya, dalam keadaan mesra sebelum berita perceraian itu dilaporkan media.

Noni menjelaskan pertemuan mereka di kelab berlaku secara tidak sengaja dan bukannya dirancang lebih awal.

“Saya ke kelab itu kerana ingin bertemu abang angkat saya bernama Eric yang bermain keyboard dan membuat persembahan di kelab itu. Malah, kebanyakan anggota kumpulan itu teman lama yang sama-sama menyanyi di kelab sebelum saya menyertai AF lagi.

“Justeru, tujuan saya ke sana tiada langsung kaitan dengan Wafi. Bagaimanapun, terlanjur saya mengenalinya sebelum ini melalui seorang teman yang sama-sama dengan saya ketika di AF dulu, kami duduk bersembang,” jelasnya.




source: http://www.hmetro.com.my/articles/Kamitiadahubunganlagi/Article

Tidak sesal jadi janda muda

DIA tidak pernah menyesal menjadi janda pada usia muda. Farina Jamhari yang digilap melalui Akademi Fantasia 8 (AF8) berkata, lapan tahun bergelar ibu tunggal adalah tempoh yang mematangkan dirinya untuk menjadi lebih kuat.

"Saya berkahwin pada usia 18 tahun. Bekas suami saya (Awang Hasni, 31, kakitangan Petronas) ada pertalian saudara dengan keluarga saya. Ketika umur saya 20 tahun, kami bercerai.

"Saya dan bekas suami sepakat untuk bercerai ketika usia anak sulung kami, tiga bulan. Kami bercerai kerana tiada persefahaman lagi dan saya tidak menyesal dengan apa yang ditakdirkan itu. Mungkin kerana kami berkahwin pada usia yang terlalu muda," katanya.

Kata Farina, 28, selepas bercerai, anaknya, Hasya Yasmin, 8, tinggal dengan ibunya di Sarawak.

"Demi masa depan karier seni, saya putuskan untuk menetap di Kuala Lumpur bersendirian. Sekalipun berjauhan, hubungan saya dan anak perempuan tetap rapat dan kami sering berhubung melalui telefon setiap hari. Hubungan saya dan bekas suami juga masih baik kerana kami bercerai secara baik," katanya.

Sampai hari ini, kata Farina, 28, yang berasal dari Bintulu, Sarawak, ini masih belum terbuka hati lagi untuk berkahwin semula.

"Saya memang ada kawan lelaki tapi hubungan itu tidak lebih daripada kawan saja. Justeru, apabila keluar gosip saya ada hubungan dengan bakal juruterbang yang dikenali sebagai U, saya rasa terkejut kerana kami hanya berkawan baik dan bukan kekasih.

"U yang hubungi saya kerana kawan-kawannya beritahu gambar simpanan peribadi kami dipaparkan di dalam akhbar. Kami pun tidak tahu bagaimana gambar kami makan di kedai mamak itu boleh tersebar. Saya hairan gambar itu yang tersebar dan bukan gambar saya dengan kawan-kawan lelaki lain," katanya.

Kata Farina, dia mula berkawan dengan U pada Disember tahun lalu.
"Kami sudah berkawan baik selama tujuh bulan dan ia tiada membabitkan soal hati. Kali terakhir, kami berjumpa ialah sebelum saya masuk AF8. Saya berharap gosip ini dihentikan segera kerana saya simpati pada U kerana dirinya dikaitkan dengan saya pula," katanya.

Buat masa ini, kata Farina, dia ingin fokus pada karier nyanyian yang diminatinya itu.

"Maklumlah, saya mulakan karier nyanyian pada waktu lewat iaitu ketika usia 28 tahun. Mungkin ramai orang yang tidak tahu, saya terpaksa menunggu selama enam tahun untuk masuk AF8. Sebelum ini, saya pernah buat uji bakat ketika AF2 dan hanya sekadar menjadi pelajar 'KIV' saja.

"Sekarang apabila dapat peluang menjadi artis di bawah pengurusan Best Malaysia Entertainment (BME), saya tidak akan lepaskan peluang mengejar impian saya menjadi penyanyi yang berjaya," katanya.

Pada sesi fotografi Rap bersama Farina yang diatur BME, baru-baru ini, Farina akui status ibu tunggal bukan penghalang buatnya mendapat tempat di persada muzik tanah air. Akuinya lagi, dia juga akan bekerja keras membina namanya kerana tidak mahu dilabel sebagai 'artis mi segera'.

Bagaimanapun kata Farina, ramai tidak tahu dia sudah keluar dari pengurusan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB), sejak dua bulan lalu.

"Pihak AESB sudah keluarkan lima dari 12 artis yang bernaung di bawah pengurusan mereka dan saya salah seorang daripadanya. Selepas keluar dari AESB, pengurusan BME menawarkan saya bernaung dengan mereka.

"Sebenarnya, saya sudah kenal lama dengan Syuib Ismail yang juga pemilik syarikat BME ini ketika dia menjadi pengurus Bob AF lagi, Saya terus terima tawaran BME untuk mengikat kontrak setahun dengan mereka. Bukan saja Syuib, saya juga sudah kenal Bob kerana kami sering masuk pertandingan lagu asli ketika di Sarawak dulu kerana kami sama-sama berasal dari Sarawak," katanya.

Tambah Farina yang mengagumi penyanyi Dayang Nurfaizah dan Hetty Koes Endang, dia hanya mahu memandang ke depan.

"Saya berharap selepas ini pihak yang ingin mengundang saya menyanyi boleh berhubung terus dengan pengurusan BME kerana mereka yang menguruskan agenda seni saya sekarang," katanya.

Ketika ditemui, Farina memberitahu dia sibuk mempromosikan singlenya yang rancak bersama KRU, Hujung Minggu ciptaan Edry Halim.

"Lagu ini rancak dan 'catchy' seperti lagu dendangan Amy Mastura. Single kedua saya pula dijangka siap selepas raya nanti.

"Saya akan keluar dengan lagu raya dulu dan untuk single kedua pula kami masih cari lagu yang bagus lagi. Konsep single ini masih pop lagi. Antara komposer yang saya ingin bekerjasama untuk single seterusnya ialah Sharon Paul dan Rudy Mohd.

"Secara peribadi, saya ingin lari daripada imej AF8 dan kini saya Farina yang baru. Pihak BME juga tidak membelakangkan saya kerana mereka akan berbincang mengenai konsep dan lagu itu dengan saya terlebih dulu sebelum ia dijadikan single saya. Selepas single, barulah pihak mereka merancang untuk buat album penuh saya pula," katanya.

Sekalipun sudah keluar dari AESB, Farina tetap meluangkan masanya untuk menjayakan program Astro, Kalau Berani dan Gempak Selebriti Astro.

"Persembahan terbaru saya ialah di Laman Santai di Istana Budaya nanti," katanya.

Mengenai bidang lakonan pula, kata Farina, dia ingin dikenali dengan bersandarkan bakat nyanyiannya terlebih dulu.

"Sebelum ini, saya pernah pergi uji bakat drama Kau dan Aku untuk musim kedua dan ia sekadar suka-suka," katanya.

PROFIL

Nama sebenar: Zafarina Jamhari
Tarikh lahir: 7 Oktober 1982
Umur: 28 tahun
Asal: Bintulu, Sarawak
Kerjaya: Penyanyi
Status: Ibu tunggal
Anak: Hasya Yasmin, 8 tahun
Single popular: Hujung Minggu
Album: Album kompilasi AF8
Pencapaian: Finalis AF8 (tersingkir pada minggu kelapan)



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tidaksesaljadijandamuda/Article

Friday, July 2, 2010

Seorang anak setiap malam

KOTA KINABALU: Pada pandangan luaran, dia dianggap seorang bapa bertanggungjawab kerana membesarkan sendiri tiga anak gadisnya sejak berpisah dengan bekas isteri, kira-kira lima tahun lalu.
Namun, perbuatan jijik duda berusia 40-an itu terbongkar kelmarin apabila seorang daripada anak perempuannya mendedahkan episod hitam yang ditanggungnya bersama dua kakak sejak lebih enam bulan lalu kerana terpaksa menjadi pemuas nafsu bapa kandung sendiri.

Lebih mengaibkan, tiga beradik berusia 11, 13 dan 14 tahun itu dirogol bapa mereka secara bergilir-gilir, seorang demi seorang pada satu malam.

Ketiga-tiga mangsa yang bersekolah di daerah ini bimbang mengadu perbuatan kejam bapa mereka kepada orang luar terutama pihak berkuasa kerana khuatir lelaki itu bertindak lebih kejam.

Bagaimanapun, tembelang bapa durjana itu terbongkar apabila anak bongsunya secara tidak sengaja menceritakan kejadian dialaminya kepada ibu saudaranya yang tinggal berhampiran rumah mereka, kelmarin.

Ibu saudara mangsa yang terkejut dengan pengakuan itu melaporkannya kepada ibu kandung mereka di Sandakan yang segera menghubungi anak sulungnya berusia 18 tahun yang bekerja di bandar raya ini supaya mengambil kedua-dua adiknya sebelum membuat laporan di Balai Polis Kota Marudu, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Deputi Superintendan Mohd Isa Yusof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan berkata, siasatan sedang dijalankan.

“Ketiga-tiga mangsa hadir ditemani kakak, ibu dan ibu saudara mereka ketika membuat laporan di balai polis.

“Bagaimanapun, polis yang berkunjung ke rumah suspek sebaik menerima laporan hampa apabila mendapati lelaki berkenaan tiada di rumah dan dipercayai sudah melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, tiga beradik itu mendakwa sering dirogol bapa mereka ketika nyenyak tidur dalam bilik sebelum ditarik ke biliknya seorang demi seorang bagi memuaskan nafsunya.

“Anak suspek berusia 14 tahun turut mengaku pertama kali dirogol pada Januari lalu dan kejadian terakhir pada awal bulan lalu.

“Mangsa yang berusia 13 tahun pula mendakwa dirogol pada pertengahan Mei hingga Jun lalu, manakala adik bongsu mereka berusia 11 tahun mengalami nasib sama bermula awal Jun lalu,” katanya.

Menurut Mohd Isa, berdasarkan siasatan, ketiga-tiga mangsa dipercayai merahsiakan kejadian itu daripada pengetahuan orang lain berikutan bimbang tindakan balas lelaki berkenaan.

“Berikutan itu, suspek mula melakukan sesuka hati termasuk merogol anak kandungnya seorang demi seorang apabila tiba waktu malam kerana hanya mereka saja tinggal di rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa sudah dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk pemeriksaan kesihatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.




source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Seoranganaksetiapmalam/Article

Monday, May 31, 2010

Pontianak balai polis

BETONG: Kelibat wanita berpakaian putih dan berambut panjang yang dikaitkan dengan pontianak didakwa sering mengganggu anggota dan pegawai polis bertugas pada waktu malam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baru Betong di sini, sejak sebulan lalu.
Ia berlaku beberapa hari selepas IPD berkenaan berpindah ke lokasi barunya iaitu kira-kira dua kilometer dari Jalan Kuek Huat Wee bersebelahan Stadium Betong, April lalu. Betong terletak kira-kira 150 kilometer dari Kuching.


Sejak itu, satu demi satu kejadian menyeramkan dialami anggota bertugas apabila mereka mendakwa ternampak wanita misteri dalam lokap di IPD baru berkenaan.


Malah, kejadian itu berlarutan beberapa hari selepas itu dengan anggota lain turut mendakwa melihat kelibat lembaga terbabit ‘menyamar’ rakan setugas mereka.


Menurut sumber, lembaga terbabit kelihatan berlegar-legar di IPD itu namun tidak menjawab apabila ditegur.


“Wajahnya sama dengan seorang anggota bertugas di sini. Apabila ditegur untuk diberikan tugas seperti diarahkan pegawai atasan, ‘anggota’ terbabit hanya mendiamkan diri,” katanya.


Beliau berkata, anggota polis berkenaan hanya menyedari jelmaan itu selepas menghubungi rakannya untuk memaklumkan tugas yang perlu diselesaikan.


“Kejadian seumpama itu kerap berlaku sejak IPD berpindah ke sini. Ada anggota polis memberitahu ketika bertugas pada waktu malam, mereka diganggu seorang wanita yang menjelma dengan berpakaian serba putih dan berambut panjang.


“Malah, ia turut dilihat berada di kerusi pegawai atasan dan ada anggota hampir pengsan apabila mereka disergah makhluk halus itu,” katanya.


Dalam kejadian terbaru minggu lalu, seorang anggota penyiasat hampir pengsan dan terpaksa melompat dari tingkap dua bangunan berkenaan selepas melihat lembaga itu berdiri di depannya.


“Ketika itu, saya hendak keluar dan mengunci pintu kaca di pejabat. Tiba-tiba saya nampak seseorang berlari di belakang saya. Saya nampak jelas menerusi pintu kaca dan terus beristighfar.


“Ketika mahu membuka suis lampu berdekatan, tiba-tiba lembaga itu berdiri di depan saya dengan rambut berjuntai ke lantai,” katanya.


Difahamkan, pihak IPD terpaksa mendapatkan khidmat seorang ustaz untuk ‘menangkap’ lembaga terbabit.


Menurutnya, ustaz berkenaan memaklumkan lembaga terbabit ‘tidak tenteram’.


“Kami dimaklumkan, tempat ini pernah menjadi tempat pembunuhan yang menyebabkan lembaga itu melakukan gangguan. Ketika hayatnya, lembaga itu dipercayai dirogol dan dibunuh di sini,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan, Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


Beliau berkata, tiga anggotanya diganggu lembaga itu sejak bulan lalu dengan kali terakhir berlaku minggu lalu.


“Saya akui perkara ini berlaku dan kami sudah berikhtiar untuk memulihkan keadaan. Kami memanggil seorang ustaz dengan harapan ia tidak berulang,” katanya.



source:http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pontianakbalaipolis/Article