Wednesday, December 9, 2009

Pembukaan Sukan Sea Vientiane meriah

VIENTIANE: Acara pembukaan rasmi temasya Sukan Sea ke-25 berlangsung dalam satu majlis warna-warni yang dipenuhi pertunjukkan kebudayaan negara tuan rumah Laos, di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional, hari ini.

Majlis bermula dengan perarakan masuk atlet dari semua 10 negara peserta dari Asean dan Timor Leste sebelum bendera tuan rumah dan bendera Sukan Sea dinaikkan.

Kontinjen Malaysia dalam perarakan yang disertai oleh 80 atlet dan pegawai diketuai oleh Chef-de-Mission, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz, didahului oleh pembawa Jalur Gemilang, atlet terjun, Yeoh Ken Nee.

Anggota kontinjen Malaysia yang berpakaian warna kuning keemasan, baju Melayu dan bersongkok bagi lelaki dan baju kurung dan berselendang bagi wanita, adalah kontinjen keempat yang memasuki stadium yang mempunyai kapasiti 20,000 tempat duduk dan baru disiapkan pada November.

Sejurus selepas Timbalan Perdana Menteri Laos, Somsavat Lengsavat, berucap bagi merasmikan temasya ke-25 ini, acara dipenuhi dengan pelbagai pertunjukan kebudayaan.

Seramai 4,000 atlet dari negara peserta akan berkampung di Vientiane sehingga acara penutup pada 18 Disember ini bagi merebut 1,305 pingat yang ditawarkan - 383 emas, 383 perak dan 539 gangsa.

Malaysia menghantar 348 atlet dan 121 pegawai ke temasya dwi-tahunan ini yang pertama kali dianjurkan oleh Laos. - Bernama


source: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Mutakhir/20091209205833/Article

No comments: