Friday, January 29, 2010

Avatar cipta rekod

LOS ANGELES: Epik fiksyen sains terbaru, Avatar, mencatat rekod baru dunia dengan muncul sebagai filem paling menguntungkan apabila memungut kira-kira RM6.32 bilion di seluruh dunia dan menenggelamkan Titanic di tempat kedua.

Penerbit Avatar, 20th Century Fox, berkata sehingga Isnin lalu filem itu secara rasmi memintas Titanic dengan muncul sebagai produksi paling laris di dunia. Diarah James Cameron, filem 3-D itu memperoleh RM54.4 juta lebih tinggi berbanding Titanic - juga diarahkan Cameron. Menurut penerbit filem itu, setakat ini Avatar mencatat jualan tiket bernilai RM6.321 bilion berbanding pungutan keseluruhan Titanic, RM6.266 bilion. “Kami sangat gembira apabila berjuta-juta penduduk dunia menyambut baik Avatar. “Tema melindungi alam sekitar, menghormati kehidupan dan berjuang untuk keamanan planet terbukti berjaya menyatukan penonton di seluruh dunia,” kata syarikat penerbit filem itu dalam kenyataan dikeluarkan di Los Angeles, semalam. Penganalisis filem, Jeff Bock, berkata kini secara rasmi Avatar mengungguli sejarah perfileman dengan data dikeluarkan 20th Century Fox itu. “Seperti kapal sebenar, orang ramai menyangka rekod Titanic tidak mampu ditenggelamkan, tetapi terbukti ia mampu dijadikan kenyataan. “Serahkan kepada kapten kapal itu, James Cameron, untuk menenggelamkan kapal diciptanya dan muncul semula dalam dunia baru,” katanya. Filem menelan kos RM1.7 bilion itu dianggap pencapaian terbaru dunia perfileman kerana menampilkan kamera berteknologi tinggi dan menghasilkan kesan tiga dimensi (3-D). Teknologi itu turut mendapat sentuhan daripada Cameron. Sementara itu, pengarah kelahiran Kanada itu berkata, Avatar tidak semestinya dilihat hanya bersifat politik seperti diyakini sesetengah pihak. “Sebaliknya, filem itu menceritakan bagaimana manusia perlu menguruskan alam semula jadi,” katanya.


source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Avatarciptarekod/Article

No comments: