Saturday, January 30, 2010

Kenapa jadi begini?

SUKAR bagi seorang lelaki menitiskan air mata kerana nilainya terlalu tinggi buat mereka. Namun pada pagi Isnin lalu, wakil media di Hotel Palace Of The Golden Horses di Seri Kembangan, dapat menyaksikan deraian air mata lelaki Fahrin Ahmad.

Entah kenapa dia perlu menangis. Tercabar benar rasanya kejantanan Fahrin. Mungkin sudah terlalu lama dia membendung amarah terhadap wanita yang pernah dicintai bernama Linda Onn tetapi kesabaran itu tidak mampu lagi dikawal hingga terpaksa membuat keputusan berat menyaman wanita itu.

Sejak hubungan 'teman tapi mesra' bersama wanita itu putus di tengah jalan lebih setahun setengah yang lalu, Linda masih memperkatakan mengenai keburukan Fahrin, antaranya kaki pukul, panas baran, tidak tahu menghormati orang lain terutamanya wanita. Dakwa Linda lagi, pantang keegoan Fahrin dicuit, lekas saja dia naik tangan.

Bagi Fahrin pula, dia tidak menyangka pengakhiran episod cinta mereka tamat dalam keadaan begini hingga ahli keluarga yang tiada kena mengena diseret sama. Hatinya bertambah bengkak apabila ibu yang sedang terlantar sakit di hospital didatangi orang-orang yang mahukan kepastian benarkah sikap anak bujangnya sebegitu.

“Apa perasaan awak apabila keluar berjumpa orang, mereka seolah-olah mempunyai satu persepsi terhadap anda. Saya kaki pukul, saya panas baran. Saya tidak macam itu (menangis) ... Apa pula perasaan awak apabila adik beradik hingga emak yang sedang sakit turut disoal, mak cik betul ke anak mak cik kaki pukul?

“Apabila nama saya dikaitkan dengan kisah sebegini, tentu pihak yang melantik saya sebagai duta juga ragu-ragu dengan saya. Mereka mesti akan tertanya-tanya apakah duta yang diambil berperangai begini.

“Saya sedih kerana saya bukan macam itu. Pada peringkat awal, perkara ini terlalu remeh. Saya kesal kerana kisah percintaan tidak seharusnya berakhir begini.

"Sebelum ini saya berdiam diri, bukan bermakna saya salah, saya kalah. Bagi saya, saya tidak perlu bertindak tegas (seperti menyamannya) kerana ia hanya akan membuang masa saja. Bagaimanapun mereka mengambil kesempatan di atas sikap berdiam diri saya hingga saya terpaksa mengambil tindakan supaya imej serta nama baik saya tidak terus diburukkan," katanya yang diwakili Peguam Syarie, Tengku Naufal Tengku Mansor dari Tengku Naufal & Co.

Keputusan untuk mengambil tindakan terhadap wanita yang pernah dicintai satu ketika dulu bukan diambil dalam jangka masa singkat. Berbulan-bulan jejaka berasal dari Johor ini memikirkan akibatnya serta mengumpul bukti.

Namun apabila reputasi, nama baik serta integriti semakin terjejas, lebih-lebih lagi dalam kenyataan yang dibuat Linda menerusi akhbar Sinar Harian bertarikh 19 Januari diikuti dalam akhbar bahasa Inggeris, The Star menyusul keesokannya umpama mencurahkan lagi minyak ke dalam api.

Bukan sekadar kerjaya, Fahrin juga bimbang tohmahan tidak benar itu akan mempengaruhi persahabatannya dengan wanita lain selepas ini.

"Jika ada orang yang nak bermenantukan saya, mereka akan berfikir dulu untuk menerima saya kerana label kaki pukul yang diberikan.

"Sebenarnya saya berat hati nak buat semua ini tapi saya dah banyak bersabar. Saya sudah beri isyarat tetapi mereka berterusan mengata saya. Saya rasa ini saja jalan untuk menunjukkan ketegasan saya, apa yang mereka nyatakan selama ini amat kukuh untuk diambil tindakan.

"Kenapalah episod cinta saya berakhir begini? Saya sentiasa ambil yang baik-baik dari mereka, bagi saya kalau tidak ada jodoh tak apalah. Saya sikit pun tidak pernah memburukkan mereka kerana saya tahu sebagai selebriti, khabar angin atau tidak peminat akan berkata. Apabila saya dan Scha putus, orang akan kata sayalah punca kepada masalah ini kerana dua kali percintaan saya gagal. Lebih-lebih lagi selama ini saya banyak berdiam diri. Saya kecewa yang teramat dengan mereka, sampai hati mereka buat begini kepada saya. Tak mengapalah saya serahkan kepada qada dan qadar Allah," katanya.

Bbagaimanapun, tindakan undang-undang ke atas Linda boleh ditarik sekiranya wanita berkenaan membuat permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari yang berakhir Jumaat ini. Jika Linda tidak tampil memohon maaf, writ saman akan dikeluarkan ke atasnya.

Fahrin memohon empat tuntutan ke atas wanita itu iaitu Linda perlu membuat permohonan maaf secara terbuka, penarikan daripada siaran, aku janji daripada Linda supaya tidak terus membuat tohmahan dan menuntut ganti rugi.


source: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Hip/20100127064117/Article/

No comments: