Friday, January 8, 2010

Setiausaha Agung PKR letak jawatan

KUALA LUMPUR: Datuk Salehuddin Hashim mengesahkan beliau mele takkan jawatan sebagai Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkuat kuasa akhir bulan ini, bagi memberi tumpuan penuh kepada bidang perniagaan.

Salahuddin berkata, peletakan jawatannya itu tidak mempunyai kaitan dengan kepimpinan atau perjuangan parti, sebaliknya menegaskan dirinya masih ahli parti dan tidak akan menyertai mana-mana parti buat masa ini.

Beliau menghantar surat peletakan jawatan itu secara pos dan e-mel kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Timbalan Presiden, Dr Syed Hussin Ali di ibu pejabat parti pada jam 5 petang semalam.

"Saya sahkan saya sudah letak jawatan kerana saya ada tugasan perniagaan di Amerika Syarikat dalam bidang pengurusan gas dan minyak selama dua tahun.

"Buat masa ini saya masih bercuti panjang dari tugasan," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, lewat petang tadi.

Salehuddin, 58, lulusan undang-undang menyertai PKR sejak 2004 dan memegang jawatan itu pada April 2007. Sementara itu, Dr Syed Husin ketika dihubungi berkata, beliau tidak menerima sebarang surat atau makluman dari Salehuddin berhubung perkara itu.

"Tak ada setakat ini, belum terima lagi, setakat hari ini dia masih lagi setiausaha agung parti," katanya.



source: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Mutakhir/20100108001633/Article

No comments: