Wednesday, July 7, 2010

'Kami tiada hubungan lagi'

KUALA LUMPUR: “Saya tak mahu komen lebih-lebih sebab kami sudah tidak ada (hubungan) apa-apa lagi. Tolonglah doakan saya yang baik-baik,” kata dramatis, Nasriah Ngasri berhubung gosip kemunculan orang ketiga menjadi penyebab perceraiannya dengan Abdul Wafi Hassan atau Wafi.
Nasriah atau lebih dikenali sebagai Anne, 26, berkata dia ada mendengar gosip sedemikian tetapi tidak mahu terlalu memikirkannya kerana masalah membabitkan dirinya sudah selesai.

“Saya tidak mahu membesar-besarkan perkara ini biar apapun gosip yang muncul kerana masalah saya selesai. Perkara terpenting dalam hidup saya sekarang anak dan karier saya.

“Saya sendiri mempunyai banyak rancangan demi masa depan anak dan kerjaya,” katanya yang kini sibuk menjalani penggambaran drama Cermin Dua Muka di Perlis sejak awal bulan lalu.

Anne bagaimanapun berharap Wafi dapat menjalankan tanggungjawab sebagai bapa yang baik kepada anak mereka.

“Itu saja harapan saya supaya masa depan anak kami terjamin,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan peserta Akademi Fantasia (AF) musim kelima, Nonny Nadirah Zainuddin atau Noni menafikan dia menjadi punca perceraian Anne dan Wafi.

Noni memberi kenyataan itu selepas ruangan pojok Metro Ahad, Cerita Artis Kita (CAK) melaporkan desas-desus kononnya bekas suami kepada seorang dramatis yang baru saja bercerai menemui cinta barunya dengan seorang bintang program realiti televisyen yang turut dikatakan menjadi punca perceraiannya.

Malah `bintang realiti' yang merujuk kepada Noni dan bekas suami dramatis itu dikatakan pernah dilihat keluar bersama ke sebuah kelab di Bandar Sunway, Petaling Jaya, dalam keadaan mesra sebelum berita perceraian itu dilaporkan media.

Noni menjelaskan pertemuan mereka di kelab berlaku secara tidak sengaja dan bukannya dirancang lebih awal.

“Saya ke kelab itu kerana ingin bertemu abang angkat saya bernama Eric yang bermain keyboard dan membuat persembahan di kelab itu. Malah, kebanyakan anggota kumpulan itu teman lama yang sama-sama menyanyi di kelab sebelum saya menyertai AF lagi.

“Justeru, tujuan saya ke sana tiada langsung kaitan dengan Wafi. Bagaimanapun, terlanjur saya mengenalinya sebelum ini melalui seorang teman yang sama-sama dengan saya ketika di AF dulu, kami duduk bersembang,” jelasnya.




source: http://www.hmetro.com.my/articles/Kamitiadahubunganlagi/Article

1 comment:

eykameow said...

wah blog gossip di sini ehh. ehh , noni tu poyo! nyampah aku :P hahaha *tibe2 emo