Monday, April 19, 2010

Tenungan RM200,000

KUALA LUMPUR: “Selepas merenung anak matanya buat pertama kali, saya seolah-olah lupa diri dan sanggup melakukan apa saja untuk dia,” kata seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa pukau seorang guru sekolah rendah sehingga menyebabkan dia hampir muflis dan kerugian RM200,000 dalam tempoh kurang setahun.

Wanita berusia 31 tahun itu ‘pulih’ daripada kesan pukau selepas mendapatkan rawatan beberapa kali daripada seorang ustaz di Gombak yang mendakwa dia bukan mangsa pertama lelaki itu.


“Ustaz itu kata saya bukan orang pertama yang datang berubat dengannya, malah ada tiga wanita pernah datang membawa gambar lelaki sama,” katanya kepada Harian Metro.


Menceritakan detik perkenalan dengan suspek, mangsa memberitahu dia bertemu dengan lelaki berkenaan yang mendakwa guru berusia 30-an itu di sebuah stesen minyak di Setiawangsa, Mei tahun lalu.


“Dia datang dan menegur saya secara tiba-tiba dan meminta kad perniagaan, katanya nak berkenalan, lepas kejadian itu dia sering menghubungi saya menerusi SMS dan kami berjanji keluar makan selepas dua minggu berkenalan,” katanya.


Menurut mangsa, suspek membawanya ke sebuah restoran di Bangsar dan menghadiahkan minyak wangi dan aromaterapi kononnya sebagai hadiah perkenalan.


“Suspek yang lemah-lembut dan sopan-santun meminta saya memandang tepat ke anak matanya setiap kali berbicara,” katanya.


Sebulan selepas pertemuan itu, suspek menghubungi mangsa dan mendakwa wang Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) RM30,000 yang dipegangnya dirompak.


Mangsa yang bersimpati dengan kejadian itu meminjamkan RM2,500. Wanita yang bekerja sebagai penolong pegawai teknologi maklumat itu turut diperdaya sehingga bersetuju untuk membuat pinjaman bank bagi membeli sebuah Proton Perdana bernilai RM55,000 untuk suspek .


“Saya betul-betul tidak sedar setiap perbuatan saya ketika bersama dengannya, dia seolah-olah mengawal setiap perbuatan dan tingkah laku saya termasuk memegang kad ATM dan buku bank,” katanya.


Mangsa turut diminta membuat pinjaman RM60,000 kononnya untuk membiayai kos guaman suspek yang berdepan tuduhan rasuah.


Tanpa diketahui mangsa, suspek sebenarnya menggunakan duit itu untuk membiayai kehidupannya yang mewah termasuk memiliki beberapa kereta.


Selepas lebih 10 bulan menjadi mangsa, dia akhirnya menceritakan segala-galanya kepada seorang rakan yang segera membawanya berubat dengan seorang ustaz di Gombak.


Sebaik ‘pulih’, mangsa membuat tiga laporan di Balai Polis Dang Wangi, Setiawangsa dan Batu Caves.


“Saya harap polis dapat mengambil tindakan segera terhadap suspek kerana saya khuatir orang lain menjadi mangsa,” katanya.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TenunganRM200_000/Article

Jenayah seks meningkat 50 peratus

KUALA LUMPUR: Jumlah kes jenayah keganasan seks, termasuk liwat dan sumbang mahram yang dilaporkan meningkat hampir 50 peratus dalam tempoh lima tahun bermula 2005.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pada tahun lalu sejumlah 4,238 kes jenayah keganasan seks termasuk rogol, liwat dan sumbang mahram dilaporkan berbanding 2,427 kes yang dicatat pada 2005.

Pada 2006 pula, sejumlah 2,943 kes jenayah berkenaan dilaporkan diikuti 3,689 (2007) dan 3,986 (2008), katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh)
mengenai pecahan bilangan laporan polis berkenaan kes jenayah yang berkaitan
dengan jenayah seks sejak 2005 hingga 2009.

Hishammuddin berkata berdasarkan statistik jumlah tangkapan bagi kes
keganasan seks bagi tempoh yang sama ialah 1,504 pada 2005, 1,837 (2006), 2,649
(2007), 2,656 (2008) dan 2,701 (2009). - Bernama


source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jenayahseksmeningkat50peratus/Article

Beraksi dengan band

HARI ini, jenama Faizal Tahir semakin kuat untuk menakluk persada seni suara. Bergerak dengan penuh keyakinan, Faizal berjaya membentuk personaliti yang hebat dan sentiasa mempertingkatkan repetoirenya.

Namun lumrah manusia, mereka sukar dipuaskan. Faizal cuba mencari kelainan dan ingin menampilkan kolaborasi dirinya dengan pemuzik pula. Ia bagi membangkitkan mood nyanyian yang lebih beremosi dan dramatik.

Kata Faizal, untuk 2010 ini, memang menjadi matlamatnya untuk tampil membuat persembahan bersama sekumpulan pemuzik yang memahami aliran muziknya di pentas.

"Dalam Facebook (fb), saya juga mula perkenalkan mereka sebagai orang penting dalam persembahan bahkan wajah mereka juga menghiasi kulit album terbaru saya, Adrenalin yang akan dipasarkan Mei nanti.

"Beraksi dengan band bukan saja lebih memberi kepuasan dalam persembahan, tetapi mendidik masyarakat bahawa penghasilan muzik bukan kerja main-main.

"Ramai pihak yang terbabit dengan rakaman lagu bagi seseorang artis itu sebelum sesebuah produk lengkap dihasilkan. Mesej saya mudah, tanpa pemuzik sesuatu lagu itu tidak akan menjadi hebat," katanya seolah-olah memberi gambaran 'tidak suka makan sorang'.

Kurang sebulan, Faizal bakal melancarkan Adrenalin dan memilih Hard Rock Cafe, Pulau Pinang sebagai lokasi pelancaran. Seiring dengan kemunculan album itu, Faizal merancang mengadakan persembahan jelajah di seluruh Malaysia dan akan beraksi bersama pemuzik iringan seperti mana diharapkan.

"Sejak beberapa tahun lalu, ramai artis tempatan tidak berkesempatan membuat road tour disebabkan kemurungan industri.

"Justeru, saya sangat berterima kasih kepada bos saya, Ahmad Izham Omar, kerana dia menerima pakai dan meluluskan permintaan saya mengadakan road tour sempena mempromosikan Adrenalin.

"Saya kira promosi road tour perlu diwujudkan semula untuk mendekati peminat. Pentingnya aktiviti ini kerana saya tidak mahu dikenali sebagai artis yang muncul dengan album hanya untuk dapatkan dinner show semata-mata.

"Saya masih diberi peluang membuat album kerana adanya sambutan daripada peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya saya selama ini. Justeru, persembahan jelajah ini adalah tanda apresiasi terhadap mereka," jelasnya.

Diberi jolokan penyanyi lelaki terhangat masa kini, nama Faizal sememangnya menjadi rebutan ramai penganjur yang mengharapkan kemunculannya di majlis-majlis mereka.

Terbaru, Faizal akan bergandingan dengan ratu rock Malaysia, Ella menerusi Konsert Jelajah 2 Zaman NR. Konsert anjuran MISB Resources Sdn Bhd itu yang diadakan bersempena penjenamaan semula Nona Roguy (NR) turut bertujuan mempromosikan rangkaian produk NR serta penghargaan kepada pelanggan setia.

Konsert pertama akan diadakan di Auto-City, Juru, Seberang Perai Pulau Pinang pada 1 Mei ini, diikuti Danga City Mall, Johor Bahru (8 Mei), Besra Mall, Kemaman, Terengganu (28 Mei) dan Kota Kinabalu, Sabah (5 Jun).

Hanya dengan membeli Pakej Edisi Terhad Konsert 2 Zaman berharga RM100, mereka akan diberikan pas percuma menonton konsert itu.

Faizal mengakui teruja dapat berkongsi pentas dengan penyanyi rock wanita yang baginya, tiada galang ganti. Katanya, walaupun sering berkongsi pentas, ini adalah gandingan paling besarnya dengan Ella.

"Penghargaan buat saya apabila diletakkan diatas satu pentas yang sama. Bayangkan saya membesar mendengar lagu-lagu Ella dan sekarang diberi peluang berkongsi pentas dengannya," katanya.

Faizal juga menyatakan kekagumannya terhadap pencapaian Ella dalam industri.

"Memang tidak dinafikan Datuk Siti Nurhaliza artis paling hebat masa kini tapi tidak adil kalau kita melupakan orang-orang lama yang lebih dulu berjasa kepada industri seperti Ramli Sarip, Search, Hattan dan Ella yang bertahan hampir lebih dua dekad.

"Tanpa perlu menang anugerah setiap tahun, kemampuan Ella bertahan selama tempoh itu saya kira satu pencapaian sangat besar," katanya.

Mengenai ketewasannya di tangan Aizat untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009) yang berlangsung 4 April lalu, kata Faizal ia bukan sesuatu yang mengejutkan.

"Dalam temubual bagi mempromosikan ABPBH2009 sebelum ini, saya ada mengatakan sampai bila-bila pun saya tidak akan menang kategori itu.

"Terus-terang dalam menjalani kehidupan saya sebagai artis dan pemuzik, saya tidak pernah memikirkan soal populariti. Bagi saya, dapat menghasilkan produk berkualiti sudah cukup mendatangkan kepuasan," katanya.

PROFIL
Nama: Ahmad Faizal Mohd Tahir
Tarikh Lahir: 6 Oktober 1978
Umur: 32 tahun
Tempat Lahir: Kuala Lumpur
Zodiak: Scorpio
Tinggi: 170 sentimeter
Berat: 65 kilogram
Hobi: Bermain alat muzik , menyanyi
Personaliti: Aktif, suka berkawan
Album: "The Best of One in a Million - Top 3" (2007) dan Aku.Muzik.Kamu (November 2007).
Kerjaya: Penyanyi dan Penulis lagu
Pendidikan: Diploma Sebaran Am Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.


source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Beraksidenganband/Article

Sunday, April 18, 2010

‘Kelembapan’ selamatkan nyawa pelajar China

JIEGU, China - Rakan sebilik gemar memanggilnya ‘budak pemalas’ kerana dia cuba tidur sebelum kelas bermula. Namun, ‘kelembapan’ Song Yuhuan, 18, untuk bangun dari katil menyelamatkan nyawanya ketika gempa bumi berlaku di bandar itu.

Pelajar perempuan lain yang bergegas dari bilik asrama mereka dihempap dinding runtuh dalam gempa bumi berkenaan yang memusnahkan bandarnya dan mengakibatkan 1,484 kematian.

Yuhuan terperangkap dalam kejadian yang berlaku pada pagi Rabu lalu itu apabila kaki dan tangannya terhimpit di bawah runtuhan dinding di bilik tingkat tiga.

Di sebalik panik, dia merasa lebih tenang apabila pelajar lain di sekelilingnya menjerit.

“Jangan menjerit. Saya akan keluar dahulu dan akan membantu anda,” katanya kepada mangsa lain.

Selepas keadaan berlanjutan dalam beberapa minit kemudian, dia berjaya melepaskan diri dari runtuhan itu.

Namun, tiga daripada tujuh rakan biliknya terkorban manakala empat yang lain masih hilang.

Sumber rasmi melaporkan, sekurang-kurangnya 103 pelajar di Sekolah Vokasional Minoriti yang terletak di bahagian Tibet terpencil China barat itu terbunuh termasuk lebih daripada 40 rakan sekelas Yuhuan. - AP


credit: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_03.htm

Scholes buat United terus bernafas

LONDON: Pemain veteran, Paul Scholes, menghidupkan peluang Manchester United untuk memburu gelaran Liga Perdana Inggeris apabila menjaringkan gol tunggal pada waktu kecederaan bagi menundukkan Manchester City 1-0, malam tadi.

Ketika masa kecederaan selama tiga minit berbaki 18 saat, Scholes menanduk masuk hantaran Patrice Evra untuk mengecewakan ribuan penyokong City di Eastlands.

Kemenangan itu menyaksikan United yang kini di tangga kedua liga, merapatkan jurang kepada hanya satu mata di belakang pendahulu Chelsea tetapi Blues berpeluang melebarkan semula jarak jika mengatasi Spurs dalam perlawanan dua jam selepas itu.

Kekalahan itu menjejaskan peluang City untuk memburu tiket automatik ke saingan Liga Juara-Juara pada musim depan dan kini berharap Spurs gagal mengutip sebarang mata di White Hart Lane.

Bagi Scholes yang menandatangani kontrak setahun lagi dengan United kelmarin, jaringan itu adalah yang ke-149 buatnya untuk Red Davils dan menjadi cara terbaik memastikan impian United meraih piala domestik terus menyala.

Selepas kemunculannya sewaktu menentang Bayern Munich 10 hari lalu, kehadiran Wayne Rooney dalam kesebelasan utama Alex Ferguson, mengejutkan meskipun hanya berlatih sehari selepas mengalami kecederaan buku lali.

Begitupun, calon pemenang anugerah pemain terbaik England itu kelihatan kaku dan gagal melakukan hantaran kepada Ryan Giggs dan tidak banyak mencipta gerakan bahaya.
Peluang terbaik pemain yang mengumpul 34 gol itu selepas memperdaya Kolo Toure menerusi gerak menarik, gagal disempurnakan pada babak kedua. – Agensi

credit: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/ScholesbuatUnitedterusbernafas/Article

Achik Spin meninggal kemalangan

SEREMBAN: Bekas vokalis kumpulan Spin, Achik atau Murad Md Shari, 28, maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya terbabas lalu merempuh tiang papan tanda sebelum terbakar di Kilometer 13, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) di Mantin, dekat sini petang semalam.

Kemalangan kira-kira jam 6 petang itu menyebabkan penyanyi yang pernah membintangi beberapa filem dan drama mati di tempat kejadian dan kereta Toyota Estimanya hangus. Mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

Kejadian berlaku ketika Achik bersama sepupunya, Salihin Md Salleh, 29, yang duduk di tempat penumpang depan dalam perjalanan pulang ke Seremban 2 selepas selesai menjalani rakaman program Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

etika ditemui di tempat kejadian, Salihin yang masih dalam keadaan terkejut memberitahu dia tertidur sepanjang perjalanan dan tidak tahu bagaimana kemalangan berlaku.

“Apabila sedar, saya berada di tepi lebuh raya dan dalam kesakitan,” katanya yang patah tangan kiri dan kaki kanan sebelum dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan.

Katanya, mereka bertolak dari pejabat perniagaan buku dan produk kesihatan milik Achik di Muar, Johor, kira-kira jam 7 pagi semalam ke Angkasapuri dan bertolak pulang ke rumah penyanyi itu di Seremban 2, kira-kira jam 4 petang.

Seorang saksi kejadian berkata, dia tiba di tempat kemalangan ketika kenderaan itu belum terbakar, manakala Achik dan Salihin masih berada di tempat duduk masing-masing, tetapi penyanyi itu dipercayai sudah meninggal dunia.
“Saya bersama beberapa orang lain menarik kedua-dua mangsa keluar dari kenderaan ke tempat selamat. Tidak lama kemudian kenderaan itu mula terbakar dan api semakin marak," katanya.

Sepasukan anggota bomba tiba di tempat kejadian kira-kira jam 7.10 malam dan berjaya memadamkan kebakaran tidak lama kemudian.

Acik yang berasal dari Felda Sendayan, dekat sini menyerlah dalam bidang seni ketika bersama Kumpulan Spin melalui album Roda Roda Rindu.

Lagu Paling Comel dinyanyikannya bersama Nana atau Siti Nordiana Mohd Alias mendapat sambutan hangat peminat sehingga melonjakkan nama Achik dalam bidang muzik. Allahyarham juga pernah dinobatkan Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia Ke-17 menerusi filem Diari Romeo pada 2004.

Achik yang mengahwini HM Rosezaitul Suriani Wati Maarof, 29, pada 2005 kehilangan anak sulung, Puteri Rania pada 29 Mac 2007 ketika berusia dua bulan disebabkan masalah usus dalam perut.

Sementara itu, Rosezaitul atau Tasha yang dihubungi Berita Minggu, tidak mampu berkata-kata kerana masih terkejut mendengar berita sedih itu, sebaliknya panggilan dijawab seorang gadis yang mendakwa sepupunya, Nurul Fazarin Roseli, 25, memaklumkan mereka dalam perjalanan ke HTJS. “Maaf... Tasha tak mahu bercakap dengan sesiapa, dia masih terkejut bila menerima berita kematian Achik. Kami dalam perjalanan ke hospital kerana baru saja dimaklumkan bahawa jenazah akan dihantar ke sana,” katanya.

Sebelum kemalangan, Achik bersama Nana baru saja menjayakan persembahan bersama RTM yang disiarkan secara langsung menerusi TV2, iaitu program hiburan Gah 1. Mereka sempat mendendangkan lagu baru, Cari Ketenangan dan Achik sendiri menyanyikan lagu solo barunya, Engkau Yang Ku Cinta.

Usaha mendapatkan komen Nana mengenai kejadian itu tidak berhasil apabila dia tidak membalas kiriman SMS mahupun menjawab panggilan telefon.

credit: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/20100418020847/Article/

4 penjuru

KUALA KUBU BHARU: Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dua calon Bebas.

Ketua Penerangan MIC, P Kamalanathan akan ditentang bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim (PKR), bekas Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor, VS Chandran dan peniaga, Johan Mohd Diah, masing-masing calon Bebas.Bagaimanapun penyokong yang bersesak-sesak ke pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor di sini, semalam, menyebabkan beberapa pemimpin parti komponen, petugas media dan pengawal pengiring menteri cedera ringan terkena kawat berduri yang diletakkan pihak berkuasa untuk mengawal orang ramai.

Antara yang cedera dalam kejadian jam 9.25 pagi ialah Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Speaker Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak, Datuk R Ganeson.

Mereka diberikan rawatan oleh pegawai perubatan dari sebuah ambulans yang ditempatkan di perkarangan pusat penamaan calon.

Sementara itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Nor Hisham Ahmad Dahlan mengesahkan nama calon yang bertanding pada jam 11.15 pagi. Keempat-empat calon menyerahkan borang pencalonan selepas pusat penamaan dibuka pada jam 9 pagi dan tiada bantahan ketika tempoh bantahan selama satu jam tamat.
Norhisham mengumumkan Zaid menyerahkan borang pada jam 9.06 pagi, diikuti Kamalanathan 9.30 pagi, Chandran empat minit kemudian dan Johan pada jam 9.36 pagi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai perarakan calon BN dari Pejabat Umno Hulu Selangor. Pemimpin parti komponen lain yang turut hadir ialah Samy Vellu; Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Timbalan Pengerusi BN Selangor dan Pengarah Jentera Pilihan Raya kecil Hulu Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan ribuan penyokong.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lalu.

Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Zainal menang dengan majoriti 198 undi menewaskan penyandang ketika itu, Datuk G Palanivel yang kini Timbalan Presiden MIC.

Parlimen Hulu Selangor yang bersaiz besar sedikit daripada Melaka itu terbahagi kepada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Hulu Bernam (N05), Kuala Kubu Bharu (N06) dan Batang Kali (N07), yang ketiga-tiganya dikuasai BN.

Beribu-ribu penyokong daripada BN dan pembangkang tiba di pekan kecil Kuala Kubu Bharu sejak awal pagi menyebabkan kesesakan lalu lintas beberapa kilometer menuju ke pusat penamaan.

Turut tercedera dalam kejadian bersesak-sesak itu ialah pengawal pengiring Muhyiddin yang cuba melindungi beliau daripada diasak penyokong BN yang tidak menyedari kewujudan sekatan berkenaan.

Perarakan calon PKR diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang.

credit: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/4penjuru/Article/