Monday, April 19, 2010

Beraksi dengan band

HARI ini, jenama Faizal Tahir semakin kuat untuk menakluk persada seni suara. Bergerak dengan penuh keyakinan, Faizal berjaya membentuk personaliti yang hebat dan sentiasa mempertingkatkan repetoirenya.

Namun lumrah manusia, mereka sukar dipuaskan. Faizal cuba mencari kelainan dan ingin menampilkan kolaborasi dirinya dengan pemuzik pula. Ia bagi membangkitkan mood nyanyian yang lebih beremosi dan dramatik.

Kata Faizal, untuk 2010 ini, memang menjadi matlamatnya untuk tampil membuat persembahan bersama sekumpulan pemuzik yang memahami aliran muziknya di pentas.

"Dalam Facebook (fb), saya juga mula perkenalkan mereka sebagai orang penting dalam persembahan bahkan wajah mereka juga menghiasi kulit album terbaru saya, Adrenalin yang akan dipasarkan Mei nanti.

"Beraksi dengan band bukan saja lebih memberi kepuasan dalam persembahan, tetapi mendidik masyarakat bahawa penghasilan muzik bukan kerja main-main.

"Ramai pihak yang terbabit dengan rakaman lagu bagi seseorang artis itu sebelum sesebuah produk lengkap dihasilkan. Mesej saya mudah, tanpa pemuzik sesuatu lagu itu tidak akan menjadi hebat," katanya seolah-olah memberi gambaran 'tidak suka makan sorang'.

Kurang sebulan, Faizal bakal melancarkan Adrenalin dan memilih Hard Rock Cafe, Pulau Pinang sebagai lokasi pelancaran. Seiring dengan kemunculan album itu, Faizal merancang mengadakan persembahan jelajah di seluruh Malaysia dan akan beraksi bersama pemuzik iringan seperti mana diharapkan.

"Sejak beberapa tahun lalu, ramai artis tempatan tidak berkesempatan membuat road tour disebabkan kemurungan industri.

"Justeru, saya sangat berterima kasih kepada bos saya, Ahmad Izham Omar, kerana dia menerima pakai dan meluluskan permintaan saya mengadakan road tour sempena mempromosikan Adrenalin.

"Saya kira promosi road tour perlu diwujudkan semula untuk mendekati peminat. Pentingnya aktiviti ini kerana saya tidak mahu dikenali sebagai artis yang muncul dengan album hanya untuk dapatkan dinner show semata-mata.

"Saya masih diberi peluang membuat album kerana adanya sambutan daripada peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya saya selama ini. Justeru, persembahan jelajah ini adalah tanda apresiasi terhadap mereka," jelasnya.

Diberi jolokan penyanyi lelaki terhangat masa kini, nama Faizal sememangnya menjadi rebutan ramai penganjur yang mengharapkan kemunculannya di majlis-majlis mereka.

Terbaru, Faizal akan bergandingan dengan ratu rock Malaysia, Ella menerusi Konsert Jelajah 2 Zaman NR. Konsert anjuran MISB Resources Sdn Bhd itu yang diadakan bersempena penjenamaan semula Nona Roguy (NR) turut bertujuan mempromosikan rangkaian produk NR serta penghargaan kepada pelanggan setia.

Konsert pertama akan diadakan di Auto-City, Juru, Seberang Perai Pulau Pinang pada 1 Mei ini, diikuti Danga City Mall, Johor Bahru (8 Mei), Besra Mall, Kemaman, Terengganu (28 Mei) dan Kota Kinabalu, Sabah (5 Jun).

Hanya dengan membeli Pakej Edisi Terhad Konsert 2 Zaman berharga RM100, mereka akan diberikan pas percuma menonton konsert itu.

Faizal mengakui teruja dapat berkongsi pentas dengan penyanyi rock wanita yang baginya, tiada galang ganti. Katanya, walaupun sering berkongsi pentas, ini adalah gandingan paling besarnya dengan Ella.

"Penghargaan buat saya apabila diletakkan diatas satu pentas yang sama. Bayangkan saya membesar mendengar lagu-lagu Ella dan sekarang diberi peluang berkongsi pentas dengannya," katanya.

Faizal juga menyatakan kekagumannya terhadap pencapaian Ella dalam industri.

"Memang tidak dinafikan Datuk Siti Nurhaliza artis paling hebat masa kini tapi tidak adil kalau kita melupakan orang-orang lama yang lebih dulu berjasa kepada industri seperti Ramli Sarip, Search, Hattan dan Ella yang bertahan hampir lebih dua dekad.

"Tanpa perlu menang anugerah setiap tahun, kemampuan Ella bertahan selama tempoh itu saya kira satu pencapaian sangat besar," katanya.

Mengenai ketewasannya di tangan Aizat untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009) yang berlangsung 4 April lalu, kata Faizal ia bukan sesuatu yang mengejutkan.

"Dalam temubual bagi mempromosikan ABPBH2009 sebelum ini, saya ada mengatakan sampai bila-bila pun saya tidak akan menang kategori itu.

"Terus-terang dalam menjalani kehidupan saya sebagai artis dan pemuzik, saya tidak pernah memikirkan soal populariti. Bagi saya, dapat menghasilkan produk berkualiti sudah cukup mendatangkan kepuasan," katanya.

PROFIL
Nama: Ahmad Faizal Mohd Tahir
Tarikh Lahir: 6 Oktober 1978
Umur: 32 tahun
Tempat Lahir: Kuala Lumpur
Zodiak: Scorpio
Tinggi: 170 sentimeter
Berat: 65 kilogram
Hobi: Bermain alat muzik , menyanyi
Personaliti: Aktif, suka berkawan
Album: "The Best of One in a Million - Top 3" (2007) dan Aku.Muzik.Kamu (November 2007).
Kerjaya: Penyanyi dan Penulis lagu
Pendidikan: Diploma Sebaran Am Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.


source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Beraksidenganband/Article

No comments: