Tuesday, April 20, 2010

Ceria sebelum maut

"RIAK wajahnya memang gembira sakan dan kemesraan pun nampak lain. Kalau sebelum ini, dia hanya berbual tetapi ketika sesi latihan bermula, Achik dilihat gembira tak terhingga. Arwah bukan saja berbual tetapi ada kalanya menyanyi dan berlawak.

"Melihatkan reaksi dirinya, timbul juga tanda tanya mengapa Achik gembira sangat hari itu (Sabtu lalu). Bahkan, kelakuan peliknya turut diakui Pengurus Promosi FMC, Amy yang ada sama ketika itu dan kami semua tak tahu apa punca sebenarnya.

"Malah, sewaktu membuat promo untuk Gah 1, saya meminta arwah dan Nana bercakap dalam dialek Negeri Sembilan. Ini kerana, saya melihat Achik bergurau dan menyanyi tak henti-henti dalam bahasa Negeri Sembilan, jadi elok juga dibuat promo.

"Justeru, terkejut juga saya apabila mendapat panggilan telefon memaklumkan Achik kemalangan dan maut. Memang tak sangka keceriaan dan kegembiraan berlebihan arwah dua jam sebelum kejadian adalah kenangan akhir yang ditinggalkan," kata Penerbit Gah 1, Serena Mohd Salleh.

Menurut Sarena, ia kerjasama kali ketiganya bersama arwah. Kali pertama, Achik diundang bersama Nana ketika program diadakan di Kuala Lipis, Pahang. Manakala, kali kedua ketika Ramadan lalu dan ketika itu Achik muncul secara solo.

Gah 1 yang dulunya dikenali sebagai Hits 1, disiarkan secara langsung dari Angkasapuri menerusi TV2 pada Sabtu, jam 4 petang. Dalam program carta lagu popular terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu, Achik dan Nana menjadi tamu undangan menyampaikan lagu duet mereka, Cari Ketenangan ciptaan Ajai.

Achik atau nama sebenar, Abdillah Murad Md Shari, maut dalam kemalangan di Kilometer 14.7 Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd (Lekas), jam 6.15 petang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Seremban 2, Negeri Sembilan selepas selesai program itu.

Achik meninggalkan balu, HM Rosezaitul Suraini Wati Maarof, 29, atau Tasha dan dua anak perempuan, Putri Nursafiyaa, 2 dan Putri Nursumayya, 11 bulan.

Bagi pemain gitar kumpulan Spin, Wan Mohd Zuhairi Wan Mohd Zain atau Ayie, perubahan sikap pelik Achik sudah ditunjukkan arwah kira-kira sebulan lalu.
Kata pemuda berusia 27 tahun ini, arwah menghubunginya banyak kali.

"Lebih 10 kali arwah hubungi saya setiap hari. Maklumlah, waktu bekerja saya memang sibuk dan tak dapatlah hendak menjawab panggilannya. Tetapi, selagi saya tak jawab, dia akan telefon sehingga dapat dan hanya mahu bertanya khabar.

"Malah, arwah juga mahu bertemu dengan saya. Saya yang bertugas di Jabatan Penerangan sekarang amat sibuk untuk kempen pilihan raya Hulu Selangor tidak lama lagi. Jadi, susahlah untuk berjumpa dan arwah tetap hubungi saya.

"Petang sebelum kemalangan yang menimpanya, Achik menghubungi saya pada jam 5.15 petang. Dia tanya saya sibuk dan kalau ada masa lapang, dia mahu berjumpa. Namun, saya kata padanya sekarang memang tak boleh dan tiada masa.

"Kalau mahu jumpa, selepas kempen pilihan raya Hulu Selangor selesai. Apapun, saya terkejut apabila sejam kemudian, satu panggilan diterima memaklumkan Achik maut dalam nahas kereta. Susah saya nak percaya kerana baru sangat kami berbual," katanya.

Ayie berkata, tiga minggu lalu dia bertemu Achik. Malah, ujarnya dia bertanya kepada Achik kenapa selalu telefon, ada hal penting untuk dibincangkan.

Bagaimanapun, Achik hanya tunduk berdiam diri dan tak memberikan sebarang jawapan.

Menurutnya, memang pelik tingkah laku Achik ketika itu. Namun, Ayie beranggapan mungkin tiada apa-apa sebenarnya. Apapun, Tuhan lebih menyayanginya apabila Achik meninggalkan keluarga dan rakannya dalam sekelip mata.

Achik menyertai Spin yang ditubuhkan pada 1998 di bawah syarikat rakaman Fantasia Music City (FMC) dan menghasilkan empat album, Roda-roda Rindu, Litar Asmara, Spin 3 - Demi dan Keranamu.

Achik juga dikenali bersama pasangan duetnya, Siti Nordiana Alias atau Nana dan popular dengan lagu Paling Comel daripada album Istimewa Untukmu pada 2003 diikuti album Benang Emas (2005).

Selain lagu duet terbaru dengan Nana, Cari Ketenangan, Achik juga muncul dengan single terbaru bersama Spin, Engkau Yang Ku Cinta.

Komposer lagu Mengusung Rindu yang menaikkan nama Spin dalam album pertama mereka, Roda-Roda Rindu, Eddie Hamid pula berkata, dia terkejut mendapat berita mengenai kematian Achik. Ini kerana, arwah selalu juga berhubung dengannya.

"Walaupun kami sudah lama tak bekerjasama tetapi Achik tak pernah lupa kepada saya. Arwah selalu hubungi saya bertanya khabar dan kami berbual banyak perkara. Bagi saya, Achik ialah orang yang baik, mesra, ikut kata dan tak melawan.

"Sepanjang bekerja bersama, dia memberi komitmen yang baik dan tak membantah.
Apa saja yang disuruh, dia buat. Kalau OK pada saya sebagai komposer, OK jugalah dia. Jadi, saya macam tak percaya dia meninggal dunia pada usia masih muda," katanya.

Eddie berkata, terlalu cepat dia pergi namun, itulah suratan takdirnya.
Menurut Eddie, dia mendapat tahu mengenai kematian Achik pada jam 8 malam Sabtu lalu.

Jelasnya, ketika itu dia sibuk di studio menjalani penggambaran untuk muka depan kulit albumnya.


source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ceriasebelummaut/Article

No comments: