Wednesday, April 21, 2010

Anak saudara setan

KUANTAN: Kelu lidah seorang suri rumah apabila anak saudaranya sendiri tergamak mengacukan sebilah pisau di leher sebelum merampas rantai lehernya dalam kejadian di Bandar Indera Mahkota di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, mangsa berusia 39 tahun yang tinggal seorang diri di rumahnya didatangi lelaki berusia 40 tahun terbabit yang dikatakan mahu meminjam wang daripada ibu saudaranya itu.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha berkata, mangsa yang tidak mengesyaki niat buruk anak saudaranya itu mengizinkan lelaki berkenaan masuk ke rumahnya.


Menurutnya, ketika bersembang di ruang tamu, wanita itu meminta lelaki terbabit duduk di situ sebentar sementara dia ke dapur.


Bagaimanapun, katanya, ketika wanita terbabit berjalan menuju ke ruang tamu dari dapur, dia ditahan lelaki terbabit sambil mengacukan sebilah pisau di lehernya.


Zulkifli berkata, mangsa yang tergamam tindakan lelaki itu merayu dilepaskan dan tidak dicederakan.


“Melihat ibu saudaranya makin ketakutan, lelaki terbabit memintanya menyerahkan rantai leher bernilai RM2,500 sebelum mangsa terpaksa akur arahannya.


“Lelaki itu melarikan diri bersama barang kemas yang dirampasnya sebelum mangsa menceritakan kejadian itu kepada suami dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan,” katanya.


Katanya, berdasarkan keterangan mangsa, lelaki terbabit yang juga penagih dadah sebelum ini pernah menyatakan hasrat meminjam wang daripadanya tetapi mangsa tidak melayannya.

Menurutnya, polis sedang mengesan lelaki sembilan anak itu yang kini menghilangkan diri.


source: http://www.hmetro.com.my/articles/Anaksaudarasetan/Article

No comments: