Sunday, April 18, 2010

4 penjuru

KUALA KUBU BHARU: Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dua calon Bebas.

Ketua Penerangan MIC, P Kamalanathan akan ditentang bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim (PKR), bekas Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor, VS Chandran dan peniaga, Johan Mohd Diah, masing-masing calon Bebas.Bagaimanapun penyokong yang bersesak-sesak ke pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor di sini, semalam, menyebabkan beberapa pemimpin parti komponen, petugas media dan pengawal pengiring menteri cedera ringan terkena kawat berduri yang diletakkan pihak berkuasa untuk mengawal orang ramai.

Antara yang cedera dalam kejadian jam 9.25 pagi ialah Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Speaker Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak, Datuk R Ganeson.

Mereka diberikan rawatan oleh pegawai perubatan dari sebuah ambulans yang ditempatkan di perkarangan pusat penamaan calon.

Sementara itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Nor Hisham Ahmad Dahlan mengesahkan nama calon yang bertanding pada jam 11.15 pagi. Keempat-empat calon menyerahkan borang pencalonan selepas pusat penamaan dibuka pada jam 9 pagi dan tiada bantahan ketika tempoh bantahan selama satu jam tamat.
Norhisham mengumumkan Zaid menyerahkan borang pada jam 9.06 pagi, diikuti Kamalanathan 9.30 pagi, Chandran empat minit kemudian dan Johan pada jam 9.36 pagi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai perarakan calon BN dari Pejabat Umno Hulu Selangor. Pemimpin parti komponen lain yang turut hadir ialah Samy Vellu; Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Timbalan Pengerusi BN Selangor dan Pengarah Jentera Pilihan Raya kecil Hulu Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan ribuan penyokong.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lalu.

Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Zainal menang dengan majoriti 198 undi menewaskan penyandang ketika itu, Datuk G Palanivel yang kini Timbalan Presiden MIC.

Parlimen Hulu Selangor yang bersaiz besar sedikit daripada Melaka itu terbahagi kepada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Hulu Bernam (N05), Kuala Kubu Bharu (N06) dan Batang Kali (N07), yang ketiga-tiganya dikuasai BN.

Beribu-ribu penyokong daripada BN dan pembangkang tiba di pekan kecil Kuala Kubu Bharu sejak awal pagi menyebabkan kesesakan lalu lintas beberapa kilometer menuju ke pusat penamaan.

Turut tercedera dalam kejadian bersesak-sesak itu ialah pengawal pengiring Muhyiddin yang cuba melindungi beliau daripada diasak penyokong BN yang tidak menyedari kewujudan sekatan berkenaan.

Perarakan calon PKR diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang.

credit: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/4penjuru/Article/

No comments: