Friday, April 30, 2010

Ada tak kena dengan Agnes

KITA sudah biasa melihat persembahan Anita Sarawak, Jamal Abdillah, Anuar Zain dan Datuk Siti Nurhaliza di pentas Minggu Setiausaha setiap April yang begitu menghargai dan dekat dengan setiausaha dan bos yang datang.
Namun berbeza dengan persembahan Agnes Monica, 23, yang dibawakan Hotel Quality City Centre di Dewan Maltrade, Jalan Duta, kelmarin. Ia tidak sama seperti persembahan artis lain kerana penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Tak Ada Logika itu memulakan interaksi awalnya dengan minta penonton menjerit mengikut nada suaranya.


Cara Agnes itu dilihat agak janggal dan seperti tidak kena. Malah, persembahannya lebih mirip seperti menyanyi di konsert dan khusus untuk satu peringkat usia saja iaitu golongan remaja.


Sedangkan mereka yang menghadiri majlis untuk sambutan Minggu Setiausaha itu terdiri daripada pelbagai peringkat usia daripada yang baru bekerja, sudah lama menghambakan diri pada syarikat dan juga mereka yang hampir bersara. Mood Agnes lebih sesuai untuk mereka yang masih muda. Tiada 'permainan' dan usikan manja antara setiausaha dan bos. Meskipun ia agak klise, itulah antara intipati utama pada setiap persembahan Minggu Setiausaha.


Agnes yang cantik dan petah berkata-kata menjelaskan, sejak awal dia dan pihak pengurusannya sudah memberitahu kepada penganjur iaitu Hotel Quality, corak persembahannya. "Sejak awal saya beritahu penganjur konsep persembahan saya bagaimana iaitu lebih bertenaga, rancak dan saya tidak akan memakai gaun petang ketika membuat persembahan. Pihak pengurusan sudah jelaskan pada mereka inilah konsep persembahan saya.


"Saya tidak perlu merubah apa-apa sebab inilah cara saya dan saya menonjolkan corak persembahan daripada sisi lain yang belum pernah mereka lihat sebelum ini.


"Saya juga puas hati dengan persembahan hari ini dan rasanya tiada terkurang di mana-mana. Penonton juga sporting, mereka menari dan menyanyi bersama saya walaupun datang dengan pakaian agak formal dengan kasut tumit tinggi. Saya juga tidak berdiri di pentas saja, sebaliknya pergi ke meja penonton untuk lebih dekat dengan mereka. "Pada mulanya mereka agak malu tetapi apabila diajak menari bersama, mereka seolah-olah menjadi orang lain yang saya lihat mahu bergembira dengan saya," katanya. Kali ini Agnes juga tidak membawa bandnya sendiri dari Jakarta. Jelasnya, tiada bezanya menyanyi menggunakan band sendiri ataupun band di Malaysia kerana beberapa minggu sebelum turun ke Kuala Lumpur, dia sudah mengirimkan segala bahan kepada band di sini menerusi e-mel. "Sebaik saya tiba dari Jakarta kelmarin, kami terus berlatih hingga jam 11 malam dan ternyata kami serasi. Saya puas hati dengan kerja mereka," katanya.


Sambutan Minggu Setiausaha itu diadakan dua hari, 28 dan 29 April dan dalam persembahan selama sejam itu, Agnes menyampaikan dua lagunya yang popular di sini, Teruskanlah dan Matahariku. Turut dipersembahkan, Nodai Aku Lagi, Tak Jadi Milikmu serta rangkaian lagu popular Michael Jackson, Smooth Criminal dan Beat It. Sepanjang persembahan itu, Agnes menyanyi terus-menerus dan tidak berganti baju.


Tiada satu pun lagu dari negara ini yang dinyanyikan. Berbeza dengan penyanyi kita yang suka menyelitkan lagu Indonesia dalam persembahan mereka. Barangkali jika artis tempatan membuat persembahan di sana, pasti separuh yang disampaikan lagu Indonesia kerana mahu mengambil hati penonton mereka. Renung-renungkanlah perkara ini. Agnes yang begitu terkenal di negaranya juga pernah dianugerahkan Artis Terbaik Asia di Korea selama dua tahun berturut-turut (2008 dan 2009). Dia juga berpeluang menyanyi pada majlis anugerah itu.

"Kali pertama (2008) diundang menyanyi pada majlis itu, saya beritahu pada penari saya, biarlah kita menjadi peserta underdog kerana mereka belum kenal siapa Agnes Monica. Saya juga belum pernah menyanyi depan orang Korea dan Jepun. "Apabila saya muncul di pentas, mereka bertepuk tangan biasa saja sebagai tanda hormat tetapi selepas habis menyanyi, barulah tepukannya gemuruh sekali hingga diberi 'standing ovation'. Baru mereka tahu persembahan saya macam mana. "Tahun berikutnya mereka tidak sabar menanti kemunculan saya di pentas. Ia adalah berkaitan peluang dan kesediaan untuk melakukan yang terbaik. Saya bersyukur kerana sepanjang menceburi bidang seni, keluarga sangat menyokong," katanya yang juga berlakon sinetron. Agnes kali terakhir muncul dengan album Sacredly Agnezious tahun lalu memberitahu, kerjaya seninya tetap diseimbangkan dengan pendidikan. Ketika ini, Agnes bergelar penuntut secara online di University Oregon Centre, Amerika Syarikat dan sentiasa mendapat keputusan peperiksaan cemerlang.



source: http://www.hmetro.com.my/articles/AdatakkenadenganAgnes/Article

No comments: