Thursday, April 22, 2010

Penternak ayam mati dibakar

JITRA: Seorang penternak ayam bukan saja dibunuh, malah dibakar hingga rentung oleh pekerjanya sendiri yang dipercayai berang kerana tidak dibayar gaji sejak beberapa bulan lalu dalam kejadian di Kampung SC, Jalan Kampung Pochan, Changlun dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, Tan Ah Yee, 64, ditemui rentung dalam keadaan tertiarap dalam sebuah bilik di rumah satu tingkat miliknya.


Sebelum kejadian, Jabatan Bomba dan Penyelamat Jitra menerima laporan daripada seorang rakan mangsa mengenai kebakaran di kampung itu pada jam 9.55 malam.


Difahamkan, ketika anggota bomba terbabit mengawal kebakaran, tiba-tiba muncul seorang lelaki berusia 24 tahun mendakwa mangsa disamun tiga lelaki di rumahnya sebelum dibunuh dan dibakar dalam rumah berkenaan.


Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin, berkata siasatan polis mendapati lelaki terbabit cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan memberikan keterangan meragukan.


“Suspek mendakwa, mangsa disamun tiga lelaki yang turut mencederakannya di luar rumah sebelum mengheret mangsa ke dalam bilik rumahnya.


“Suspek turut mendakwa penyamun membakar rumah itu hingga mangsa rentung.


“Bagaimanapun, selepas anggota polis menyoal siasat berkali-kali, suspek memberi keterangan meragukan dan kita terpaksa menahannya untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Beliau berkata, selaras senapang patah ditemui berhampiran mayat mangsa.

“Siasatan mendapati suspek marah kerana majikannya dipercayai tidak membayar gaji.


“Kami akan menunggu laporan lengkap forensik sama ada mangsa ditembak atau sebaliknya. “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jitra untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya,” katanya.


Sawaludin berkata, suspek direman tujuh hari mulai semalam untuk siasatan lanjut.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Jitra, Mohamad Darus, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran itu melalui seorang rakan mangsa yang datang sendiri ke balai berkenaan pada jam 9.55 malam kelmarin.


“Sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian dan apabila sampai api sedang marak. Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 11.25 malam,” katanya.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penternakayammatidibakar/Article

No comments: