Wednesday, April 21, 2010

Penyamar dicekup

IPOH: Lagaknya seperti pegawai khas di pejabat kerajaan negeri, malah dia bertindak menjadi perantara orang ramai untuk mendapatkan bantuan dan sokongan daripada Menteri Besar, termasuk mengenakan caj tertentu bagi perkhidmatan ditawarkan.

Lebih berani, dia sanggup mengaburi mata orang ramai menggunakan kad nama tertera gambar Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan logo pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) termasuk alamat pejabat berkenaan. Selepas lebih sebulan menyamar sebagai salah seorang ‘pegawai’ di pejabat MB, lelaki berusia 34 tahun berasal dari Kampung Kepayang dicekup kira-kira jam 10.45 pagi semalam selepas cuba memasuki pejabat MB untuk mencari mangsa seterusnya.


Pegawai Khas MB, Azhar Ahmad, berkata suspek yang mempunyai dua anak itu sering dilihat memasuki pejabat MB terutama pada Selasa, Khamis dan Jumaat selain membawa beberapa orang awam bersamanya bagi tujuan memohon surat sokongan dan bantuan.


Beliau berkata, pada mulanya, pihaknya tidak mengesyaki suspek sebelum perbuatannya mula dihidu anggota keselamatan SUK yang mendakwa lelaki berkenaan mengaburi orang awam menyamar sebagai seorang pegawai di pejabat MB.


“Sebaik diperiksa, lelaki berkenaan ditahan beberapa anggota keselamatan SUK kerana didapati menyamar sebagai seorang pegawai di pejabat MB sebelum suspek dibawa ke balai polis.


“Kami tidak menyangka dia (suspek) sanggup membuat penyamaran dan menipu orang awam dengan berlagak sebagai pegawai MB,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam.


Katanya, perbuatan itu bukan saja menimbulkan keraguan kepada orang awam, malah menjejaskan imej MB memandangkan tindakan suspek mengenakan caj tertentu bagi perkhidmatan ditawarkannya.


Sementara itu, pegawai keselamatan SUK, Samsol Azman Azam Mazari, 42, berkata, pihaknya mengesan kehadiran suspek Jumaat lalu selepas diminta Pejabat MB mengawasi seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai di pejabat berkenaan.


“Bagaimanapun, suspek gagal dikesan pada hari berkenaan hingga dia muncul semula pada hari ini (semalam). Ketika tiba di kaunter pelawat, lelaki berkenaan menyamar sebagai kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk memasuki pejabat SUK kononnya mahu menghantar kelengkapan landskap ke dewan bankuet.

“Sangsi dengan identiti suspek, kami menahan suspek dan mendapati dia menyamar sebagai salah seorang pegawai MB berdasarkan kad nama palsu yang ditunjukkannya,” katanya.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima kes berkenaan dan pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk menyiasat motif di sebalik penyamaran dilakukan.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penyamardicekup/Article

No comments: