Tuesday, April 27, 2010

Tukang urut lari bogel

KLANG: Memalukan apabila seorang tukang urut wanita warga asing yang sedang memadu asmara dengan pelanggannya di sebuah spa di bandar ini, bertindak melarikan diri dalam keadaan bogel sebelum diberkas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, di sini, kelmarin.

Dalam operasi bermula kira-kira jam 10 malam dan berakhir tiga jam kemudian itu, polis menahan lima wanita Indonesia dipercayai terbabit dalam aktiviti tidak bermoral manakala dua lagi sempat melarikan diri.


Siasatan polis mendapati spa terbabit mempunyai lesen sah untuk menjalankan perniagaan rumah urut, bagaimanapun pemilik terbabit dipercayai menyediakan khidmat seks kepada pelanggannya sekali gus menyebabkan mereka mampu meraih pendapatan lumayan selain mendapat permintaan menggalakkan daripada pelanggan.


Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, pusat spa terbabit sudah dua kali diserbu pihak berkuasa, namun pengusahanya tetap berdegil dengan menjalankan aktiviti tidak bermoral.


“Ketika pemeriksaan dibuat, kelima-lima wanita berusia lingkungan 20-an gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri dan kita percayai mereka tidak mempunyai dokumen sah.


“Semua mereka kemudian dibawa ke IPD untuk tindakan lanjut. Kami juga akan mengambil tindakan ke atas pemiliknya yang didapati terbabit dalam aktiviti tidak bermoral,” katanya di sini, semalam.


Difahamkan, harga ditawarkan untuk khidmat urutan adalah RM100 manakala caj tambahan berjumlah RM50 dikenakan ke atas pelanggan bagi menyentuh beberapa bahagian tubuh tukang urut warga asing itu.


Turut ditemui ketika serbuan itu, kondom yang belum dan sudah diguna bertaburan di atas lantai.


Ketika serbuan, terdapat tujuh tukang urut berada di dalam bilik masing-masing bersama pelanggan, bagaimanapun sebaik menyedari premis mereka diserbu, mereka bergegas melarikan diri.

Lima daripadanya diberkas sebelum polis mengarahkan mereka supaya menutup tubuh bogel dengan tuala.


Mohamad berkata, turut ditahan dalam seruan itu seorang pelanggan, bagaimanapun dia dibebaskan sejurus keterangannya direkodkan.


source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tukangurutlaribogel/Article

No comments: