Monday, April 19, 2010

Mencari Ketenangan lagu terakhir

JIKA 2 April lalu, industri hiburan tanah air kehilangan pelawak berbakat besar, Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau Din Beramboi, 43, akibat demam denggi berdarah. Sabtu lalu, pada jam 6.15 petang, vokalis kumpulan Spin, Achik, 28, pula menyahut panggilan Ilahi.

BELASUNGKAWA ACHIK SPIN ( 1 Julai 1982 - 17 April 2010)

Tanpa sebarang sakit, Achik atau nama sebenarnya, Abdillah Murad Md Shari meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Kilometer 14.7, Lebuh Raya Kajang-Seremban Sdn Bhd (Lekas) selepas menjayakan rakaman Program Gah 1 di Angkasapuri, RTM.

Dalam kejadian itu, Allahyarham tidak berseorangan kerana sepupunya, Salihin Md Salleh, 29, turut menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima berkenaan. Mereka terbabit dalam kemalangan ngeri itu sewaktu perjalanan pulang dari Angkasapuri ke rumahnya di Seremban 2.

Kereta dinaiki mereka berdua terbabas dan merempuh tiang papan tanda sebelum terbakar sebaik melepasi kawasan Rawat dan Rehat (R&R) dekat susur keluar ke Pajam.

Achik meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan. Mayatnya dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat.

Mula terbabit dalam bidang nyanyian pada 1999, Achik dan kumpulan Spin muncul dengan album Roda-Roda Rindu. Malah, Achik juga sering berduet dengan rakan sekampungnya dari Felda Sendayan iaitu penyanyi Siti Nordiana Mohd Alias atau Nana.

Hubungan akrab kedua-duanya mereka pernah mencetuskan gosip percintaan. Namun Achik dan Nana, 26, akhirnya tidak ke jenjang pelamin, sebaliknya bertemu jodoh dengan pasangan masing-masing.

Achik memilih Rosezaitul Suriani Wati Maarof atau Tasha pada 2005 dan dikurnia tiga anak perempuan.

Apapun, anak sulung pasangan ini, Puteri Rania meninggal dunia pada 2007 ketika berusia dua bulan kerana demam panas dan masalah usus. Selepas berkahwin, selain menyanyi Achik turut terbabit dalam bidang perniagaan produk kesihatan untuk jaminan masa depan keluarganya.

Pada 2008, ketika sesi fotografi untuk mempromosi lagu duetnya bersama Nana, Tragedi Cinta yang dimuatkan dalam album Terbaik Eddie Hamid, Rindu... Nya, arwah memberitahu dia ada mengendalikan dua syarikat.

Syarikat miliknya, Spirespin Industries Sdn Bhd beroperasi di Johor Bahru dan Nak Enterprise pula di Seremban. Malah, Achik juga memaklumkan dia dan keluarga menetap di Seremban untuk memudahkan pengurusan perniagaan yang diusahakan.

Ditambah lagi, kontraknya bersama Fantasia Music City (FMC) berakhir pada Mei 2008 walaupun syarikat rakaman itu masih berhutang empat album dengan Spin. Melalui syarikatnya, arwah berniaga ubat darah tinggi, kencing manis dan kanser diberi nama Burak.

Biarpun sibuk berniaga, cinta Achik kepada bidang nyanyian tidak pernah padam. Achik terus aktif menyanyi hingga ke akhir hayatnya malah program terakhirnya adalah Gah 1 di Angkasapuri, kelmarin.

Secara kebetulan, arwah seakan-akan tahu beliau akan pergi buat selama-lamanya apabila mendendangkan lagu terakhirnya, Mencari Ketenangan.

Sepanjang menjadi rakan duet kepada Nana, pasangan yang pernah mengabadikan kisah percintaan mereka dalam buku autobiografi berjudul Pelangi Jiwa beberapa tahun lalu. Mereka sangat dikenali dengan lagu ceria, Paling Comel pada 2003 dan lagu Irama Malaysia, Benang Emas (2005).

Selain itu, Allahyarham Achik turut mengembangkan karier seninya dalam bidang lakonan dengan membintangi beberapa telefilem serta filem seperti Diari Romeo. Malah Achik turut dicalonkan dalam kategori Bintang Harapan Lelaki pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-17.

Kini, hanya lagu-lagu yang pernah didendangkan Achik menjadi kenangan dan pengubat rindu keluarga mahupun peminatnya.

Allahyarham selamat dikebumikan selepas Zuhur semalam di tanah perkuburan Islam, Makam Haji Mohd Said, Ampangan, Negeri Sembilan. Semoga roh Allahyarham Achik ditempatkan di sisi golongan beriman. Amin.


source: http://www.hmetro.com.my/articles/MencariKetenanganlaguterakhir/Article

No comments: