Sunday, May 16, 2010

Berhibur 24 jam

KUALA LUMPUR: Sebilangan gadis yang gemar berhibur dari satu pusat hiburan ke pusat hiburan lain selama 24 jam pada hujung minggu sanggup menyerahkan maruah mereka semata-mata untuk mendapatkan keseronokan dengan meneguk minuman keras dan mengambil pil khayal atau lebih popular dengan gelaran pil lendir oleh pengunjung kelab malam.

Dengan menggoyang kepala tanpa henti diiringi muzik bingit, mereka ternyata tidak mempedulikan ajaran agama yang melarang perbuatan maksiat.


Wartawan Metro Ahad berjaya menjejaki tiga kaki kelab malam yang mengakui pernah berhibur lebih 24 jam dengan bantuan pil lendir. Ikuti pengakuan mereka: ZARINA, 27: “HIBURAN 24 jam bukan asing bagi saya kerana sudah melaluinya sejak tujuh tahun lalu. Dadah jenis pil juga sudah sebati. Saya sememangnya menggemari hiburan namun kerana tidak mahu mengeluarkan belanja sendiri, saya hanya menanti pelawaan daripada rakan lelaki.


Pengambilan dadah adalah perkara biasa. Biasanya, saya menerima pelawaan daripada rakan meskipun kenalan yang hanya dikenali dari kelab malam yang dikunjungi.


Saya juga sering diberi pil dan syabu sebelum minum minuman keras. Semua itu bertujuan memberi tenaga supaya kami boleh berparti daripada malam hingga ke malam esoknya tanpa penat.

Malah, tidak kurang juga yang mengajak saya melakukan hubungan seks, lebih-lebih lagi ketika masing-masing dalam keadaan ‘high’. Dalam keadaan di bawah pengaruh dadah dan arak, semua itu menjadi perkara biasa.


Bagaimanapun, hubungan seks yang dilakukan bersama pasangan menjadi perkara terakhir dilakukan. Bagi saya, berparti dan menari adalah agenda utama sebelum mengadakan hubungan seks.


Biasanya, saya akan mengunjungi sebuah kelab malam di sekitar ibu kota. Selepas ditutup pada jam 3 pagi, saya menuju pusat hiburan di sekitar Sunway yang beroperasi sehingga 8 pagi.


Tidak cukup dengan itu, saya dan pasangan serta rakan lain akan menyambung keseronokan itu di bilik hotel. Ia seolah-olah pesta buat kami sebelum masing-masing kepenatan.” NABILA, 29: “KESERONOKAN tidak hanya setakat di ibu kota, malah saya turut mencari hiburan di luar negara. Di sana, saya bukan setakat berhibur di pusat hiburan tetapi turut bebas berpesta di tepi pantai hingga keesokan hari.


Pesta yang dianjurkan di luar negara lebih meriah, malah keseronokan yang dicapai lebih memuaskan daripada pusat hiburan di sini.


Di luar negara, kami dapat berhibur di kelab malam dan berpesta di pantai tanpa perlu rasa takut. Dalam masa sama, keadaan di sana seakan-akan membuat kami bebas melakukan apa saja, termasuk mengambil dadah ketika menari.


Jika di sini, saya hanya mengunjungi beberapa pusat hiburan yang dibuka hingga lewat pagi. Sukar untuk mencari premis yang dibuka 24 jam. Walaupun ada, saya tidak berani mengambil risiko.

Ada masanya, saya juga berpindah dari satu pusat hiburan ke pusat hiburan lain. Ini kerana saya ingin menyambung keseronokan itu apabila premis lain ditutup awal.


Saya pernah tidur dua hari berturut-turut akibat kepenatan selepas menghabiskan tenaga di pusat hiburan lebih 24 jam. Tubuh berasa sakit tetapi tetap melakukannya lagi apabila ada peluang kerana ketagih dengan keseronokan berhibur.


Bagaimanapun, ia cerita dulu. Kini saya tidak lagi terbabit dengan gejala sosial dan menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya,” katanya yang berasal dari Selayang, Kuala Lumpur.” KHAIRI, 26: “SAYA mula menjejak kaki ke pusat hiburan sejak berumur 20 tahun ketika mula berjauhan dengan keluarga di Johor Bahru kerana menyambung pelajaran di ibu kota. Saya kini menjadi jemu dengan berhibur di satu tempat saja.


Sebab itu saya mula mencari pusat hiburan yang dibuka hingga keesokan hari. Untuk mendapatkan tenaga, saya berjinak-jinak dengan dadah jenis pil seperti Ecstacy dan Eramin 5.


Setiap kali ada kelapangan, saya akan berhibur di satu pusat hiburan sebelum bertukar ke tempat lain hingga mencecah lima tempat dalam tempoh 24 jam.


Selain berhibur, saya mencari keseronokan seks dengan mana-mana wanita yang ditemui di pusat hiburan. Saya akui, dadah dan air kencing syaitan adalah umpan terbaik untuk mendapatkan nikmat seks.


Sebahagian besar wanita tidak mahu mengeluarkan wang saku sendiri untuk membeli arak atau pil khayal terbabit, sebaliknya menanti pelawaan lelaki.


Saya sering menggunakan umpan itu, malah tidak kurang juga segelintir wanita yang datang mengenalkan diri kepada saya apabila melihat pelbagai minuman keras terhidang di atas meja,” katanya.


Tidak cukup dengan itu, ada juga yang meminta pil khayal untuk meningkatkan lagi keseronokan. Namun, selepas berada dalam keadaan ‘high’, mereka menawarkan tubuh sebagai ganjaran.


Dadah terbabit tidak sukar diperoleh kerana ramai menjualnya di dalam pusat hiburan. Bagi kaki kelab malam, mereka mengenali siapa penjual di kelab itu. Jadi, tidak sukar untuk memperolehnya walaupun kadangkala ia dijual dengan harga mahal.


Kerana itu saya gemar ‘melompat’ dari satu pusat hiburan ke pusat hiburan lain walaupun ia mengambil masa seharian kerana selain berhibur, dapat juga memuaskan nafsu.” >Trend remaja buru keseronokan membimbangkan KUALA LUMPUR: Ghairah menikmati keseronokan di pusat hiburan melebihi 24 jam dan sanggup menggadai maruah diri untuk mendapatkan pil khayal adalah sesuatu yang sungguh menggerunkan.


Gejala tidak sihat ini menjadi petanda betapa remaja hari ini kian lemas dengan aktiviti yang tidak bermoral.


Perunding motivasi, Profesor Madya Md Izuddin Ali, berkata mungkin setakat ini ia hanya terjadi di bandar besar, tetapi tidak mustahil boleh berjangkit ke kawasan pinggiran jika tidak dibendung segera.


“Ada remaja pernah memaklumkan kepada saya, mereka terbabit dalam kegiatan tidak bermoral di pusat hiburan dan mahu mengubah tabiat buruk terbabit.


“Kerana itu saya katakan pola mencari keseronokan di pusat hiburan kini di tahap membimbangkan kerana ada yang tidak setakat minum minuman keras, malah mengambil bahan terlarang lain,” katanya.


Menurut beliau, ada pula yang sanggup menggadai tubuh untuk berseronok dan ia sebenarnya bukan saja mendatangkan keburukan ketika itu, malah untuk masa depan individu berkaitan.


Katanya, remaja atau pengunjung yang sanggup berhibur melebihi 24 jam di pusat hiburan sepatutnya bermuhasabah diri memikirkan apa sebenarnya yang mereka cari dalam hidup.


“Kita boleh tuding jari pada pemilik pusat hiburan kerana menyediakan pelbagai hiburan melampau, tetapi dalam masa sama kita juga perlu salahkan diri sendiri jika terbuai dengan keseronokan sementara di sana.


“Setiap individu perlu memikirkan masa depan dan tidak mensia-siakannya dengan merosakkan diri sendiri. Jika sudah berhibur 24 jam, bagaimana dengan komitmen kerja, pelajaran dan sebagainya,” katanya.


Beliau turut menasihatkan ibu bapa atau keluarga supaya jangan mudah melepaskan anak masing-masing hingga ada yang tidak pulang ke rumah dengan alasan mereka sudah dewasa atau tahu apa yang dilakukan.


Ini kerana ibu bapa serta keluarga punya peranan penting dalam membentuk, mengawal atau membuat keputusan apa yang baik untuk anak.


“Jangan beri kebebasan penuh pada anak remaja. Jika tidak dikawal, mereka mungkin menyalahgunakannya. Sentiasa kawal atau awasi yang mereka lakukan.


“Selain itu, remaja perlu ada jati diri yang kuat. Dalami agama dan dekatkan diri dengan perkara kebaikan kerana jika kita hanyut, sukar untuk kembali ke pangkal jalan,” katanya.


Pihak berkuasa juga digesa menggandakan usaha membanteras kegiatan pusat hiburan haram kerana jika dibiarkan, tidak mustahil lebih ramai lagi remaja yang bakal binasa.


Sementara itu, Pensyarah Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Profesor Madya Dr Sapora Sipon, berkata dalam teori psikologi, prinsip keseronokan dalam tubuh manusia menyebabkan seseorang itu mahukan perasaan terbabit pada bila-bila masa.


“Tidak mustahil bagi mana-mana individu untuk melakukannya hingga melampaui tempoh 24 jam kerana prinsip keseronokan terbabit menguasai dirinya.


“Kerana itu mereka sanggup melakukan apa saja hatta menggadai maruah diri sendiri. Mungkin ada yang sedar perkara itu salah tetapi tetap tidak kisah asalkan keseronokan yang dihajati tercapai,” katanya.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Berhibur24jam/myMA/myArticle

Ibu dakwa rangka ditemui milik anak

MACHANG: “Saya yakin rangka yang ditemui itu adalah anak saya berdasarkan kad pengenalan diri yang ditemui bersamanya,” dakwa Nik Zah Kundur, 49, ibu kepada Ahmad Hafizudin Suhaimi, 27, yang dilaporkan hilang sejak 19 November lalu.

Berikutan penemuan itu, Nik Zah bersama suaminya yang hanya ingin dikenali sebagai Suhaimi bergegas ke tempat kejadian untuk mengetahui status rangka berkenaan berikutan kehilangan anaknya kira-kira enam bulan lalu.


Nik Zah berkata, meskipun rangka itu disyaki milik anaknya, namun dia menyerahkan kepada polis untuk melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas rangka terbabit.


Dia yang masih terkejut dengan penemuan berkenaan bagaimanapun enggan mengulas berhubung perkara itu berikutan tidak mahu mengganggu siasatan polis.


Seorang penduduk kampung yang enggan namanya disiarkan berkata, sebelum penemuan rangka terbabit, anak lelakinya mencari seekor anak kucing peliharaan mereka di luar pagar rumah.

Katanya, ketika mencari haiwan peliharaan itu, anaknya terdengar bunyi suara kucing dari arah parit sedalam satu meter.


“Ketika turun hendak mengambilnya, anak saya terkejut apabila menemui rangka, tulang dan tengkorak manusia di dalam parit berkenaan, menyebabkan dia bergegas naik sebelum terus memaklumkan kepada saya.


“Terkejut dengan berita itu, saya terus bergegas ke kawasan berkenaan bagi meninjau keadaan sebenar sebelum menghubungi polis berhubung penemuan itu,” katanya yang turut enggan mengulas lanjut perkara itu.


Akhbar pada 14 Januari lalu melaporkan, Ahmad Hafizudin yang juga penyelia projek dikatakan keluar menaiki keretanya pada 19 November lalu dengan membawa sejumlah wang RM22,000 untuk bayaran kepada pekerja.


Dia dikatakan pergi ke tapak projek di Labok, Machang, kira-kira jam 1 tengah hari, namun dilaporkan hilang oleh keluarganya sebelum seorang penduduk kampung menemui kereta miliknya jenis Proton Wira di kawasan semak berhampiran Kampung Bukit Belah pada 16 Disember lalu.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim, ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak boleh mengulas lanjut berhubung perkara itu sehingga keputusan DNA daripada Jabatan Patalogi diketahui.


“Rangka, tengkorak dan tulang-tulang memang ditemui dalam parit berkenaan namun belum dapat disahkan mayat ditemui itu adakah milik lelaki yang dilaporkan hilang oleh satu keluarga baru-baru ini.

“Rangka manusia itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk tindakan,” katanya.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibudakwarangkaditemuimilikanak/myMA/myArticle

Aksi panas pengkid, lesbian

KUALA LUMPUR: Hanya selepas dua minggu akhbar ini membongkar pesta ‘jilat dan lekat’ khusus untuk pengkid dan lesbian, satu lagi pesta dengan pelbagai aksi yang lebih panas dikesan diraikan golongan berkenaan di sebuah pusat hiburan di sini, awal pagi semalam.
Menjijikkan apabila penganjur bukan saja membenarkan pelbagai aksi bebas seperti bercumbuan, berpeluk dan menari dengan aksi ghairah, tetapi turut mengadakan pertandingan ‘drag king’ khusus untuk pengkid.


Golongan wanita yang berperwatakan lelaki itu tanpa segan silu menari di atas pentas dan menari dengan gaya berahi bertujuan memperlihatkan mereka juga mampu menari seperti lelaki dan tidak kurang juga yang cuba menggoda pengunjung yang melihat mereka.


Pada 2 Mei lalu, akhbar ini melaporkan mengenai penganjuran pesta pengkid dan lesbian yang menyediakan permainan ‘jilat dan lekat’ di sebuah pusat hiburan.


Pelbagai aksi berahi disajikan golongan berkenaan yang tanpa segan silu menjilat pasangan masing-masing di tengkuk, dada serta bawah pusat sambil melentok-lentok seksi.


Wartawan Metro Ahad menghadiri pesta awal pagi semalam selepas mendapat aduan orang ramai dan mendapati promosi mengenainya dibuat secara terbuka menggunakan laman sosial Facebook di Internet.


Namun berbeza dengan pesta sebelum ini, pintu masuk pusat hiburan itu dikawal ketat.


Hanya lesbian dan pengkid serta individu yang membuat tempahan untuk menyertainya dibenarkan masuk.


Pesta terbabit bermula kira-kira jam 10 malam kelmarin dan acara kemuncaknya ialah aksi peragaan dan tarian pengkid yang dimulakan kira-kira jam 12.30 malam hingga 1.30 pagi.

Apabila pengkid yang mengambil bahagian mula ligat menari dengan pelbagai aksi menjijikkan, kira-kira 150 hingga 200 pengunjung turut memberi sorakan gemuruh.


Begitupun, usaha wartawan untuk merakam aksi panas berkenaan menemui jalan buntu apabila pihak penganjur mengambil langkah berhati-hati serta mengarahkan lampu disuramkan.


Tinjauan wartawan juga mendapati beberapa katil dihiasi cadar berwarna merah ditempatkan di ruang tertentu.


Beberapa pasangan dilihat mengambil kesempatan bercumbu-cumbuan dan melakukan aksi ghairah di atas katil itu diiringi muzik.


Menariknya, kali ini pesta itu mendapat khidmat ‘minah saleh’ selaku pengacaranya. Malah, tidak kurang juga segelintir pasangan lesbian dari negara luar didapati berhibur yang rata-ratanya dihadiri remaja Melayu.


Bagaimanapun, kemeriahan pesta itu terganggu seketika apabila sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi melakukan pemeriksaan mengejut.


Menurut sumber, polis bertindak atas aduan orang ramai yang marah menerima jemputan daripada e-mel dan laman sosial.


“Orang ramai mungkin jelik dengan jemputan yang diterima mereka menerusi laman web sosial dan e-mel. Namun kami hanya melakukan pemantauan dan melihat kesalahan daripada segi undang-undang.


“Kami juga tidak mempunyai kuasa untuk menangkap atau menyekat golongan ini berpesta. “Mungkin lebih baik masyarakat membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi membanteras gejala songsang berkenaan,” katanya.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Aksipanaspengkid_lesbian/Article

Thursday, May 13, 2010

Piala Thomas: Malaysia mara ke separuh akhir

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Denmark 3-2 pada
perlawanan suku akhir Kejohanan Piala Thomas di Stadium Putra malam ini.
Lee Chong Wei mn Peter Hoeg Gade 21-17, 21-17.


Koo Kien Keat/Tan Boon Heong mn Carsten Mogensen/Mathias Boe 21-17, 21-19.


Wong Choong Hann tewas kepada Jan O Jorgensen 20-22, 21-16, 18-21. Mohd Zakry Abdul Latif/Hoon Thien How tewas kepada Lars Paaske/Jonas Rasmussen 26-24, 12-21, 19-21.


Hafiz Hashim mn Joachim Persson (DEN) 21-12, 21-10



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PialaThomas_Malaysiamarakeseparuhakhir/Article

Wednesday, May 12, 2010

Bayi PLKN

PAPAR: Tangisan bayi pada awal pagi yang mengundang ketakutan di kalangan pelatih kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Ovai di sini, terjawab apabila menemui bayi lelaki yang baru dilahirkan rakan mereka di dalam tandas pusat berkenaan, awal pagi semalam.
Bayi yang masih berdarah dan bertali pusat itu ditemui sekumpulan pelatih yang menyiasat arah tangisan berkenaan sebelum mengesan bunyi itu datang dari bilik air.


Sebaik memasuki tandas, kumpulan pelatih berkenaan terkejut melihat rakan mereka dalam keadaan tidak bermaya memegang bayi sebelum menghubungi pihak pengurusan memaklumkan perkara itu.


Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Nik Zaidi Nik Zakaria mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.


“Pelatih berasal dari Keningau berusia 18 tahun itu melahirkan bayi di dalam tandas kem berkenaan sebelum ditemui pelatih lain yang curiga mendengar bunyi tangisan bayi di kawasan berkenaan.


“Ibu muda bersama bayinya itu dibawa ke Hospital Papar untuk pemeriksaan lanjut dan kini dilaporkan stabil,” katanya.


Katanya, bayi lelaki cukup sifat seberat 2.63 kilogram itu juga stabil dan sedang dirawat di hospital sama.


“Siasatan awal polis mendapati pelatih itu pernah menjalin hubungan rapat dengan lelaki dipercayai kekasih yang menetap di kampungnya di Keningau.


“Ketika mendaftarkan diri di pusat latihan itu pada Mac lalu, pelatih berkenaan dipercayai sudah berbadan dua,” katanya.

Katanya, pelatih itu bijak menyembunyikan kehamilannya sehingga tidak disedari jurulatih dan rakan pelatih lain.


“Semua jurulatih mengaku tidak menyedari mengenai perkara itu sepanjang dua bulan pelatih berkenaan menjalani latihan di kem itu.


“Polis kini sedang mengesan seorang lelaki berusia 20 tahun yang boleh membantu siasatan,” katanya.


Sementara itu, Nik Zaidi turut mengingatkan pihak pengurusan PLKN melakukan pemeriksaan lebih teliti terhadap pelatihnya.


“Saya mencadangkan pihak kem PLKN melakukan ujian kehamilan ke atas semua pelatih yang bakal memasuki pusat ini pada masa akan datang.


“Langkah ini bertujuan mengelak kes seperti ini berulang selain perkara tidak diingini berlaku,” katanya.


Katanya, pihak bertanggungjawab perlu menjadi kejadian itu sebagai pengajaran dan iktibar.


"Apa akan terjadi dan bertanggungjawab jika pelatih bersalin ketika sedang mengadakan latihan lasak seperti memanjat dan sebagainya.


"Kita tidak mahu berlaku sesuatu buruk berlaku yang boleh menyebabkan nyawa pelatih dan bayi dikandungnya terancam," katanya.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BayiPLKN/Article

Tuesday, May 11, 2010

Iklan pasangan songsang

KUALA LUMPUR: Jijik dan menakutkan apabila semakin ramai gay atau golongan homoseksual remaja tempatan tidak segan silu mengiklankan diri masing-masing bagi memperoleh ‘nikmat seks gila’ dengan menyalahgunakan laman web sosial terutama Facebook.
Difahamkan golongan songsang terbabit seolah-olah mendapat ruang kebebasan untuk mencari pasangan melalui beberapa alamat termasuk Persatuan Gay Malaysia Kebangsaan, Malaysian Gay dan Gay African In Malaysia. Berdasarkan siasatan, beberapa lelaki homoseksual di kalangan remaja dan lelaki tempatan tidak segan meletakkan nombor telefon bimbit dengan harapan ada individu sejenis lain berminat menghubungi mereka, sekali gus menjalin hubungan cinta terlarang.


Selain mengiklankan percuma nombor telefon menerusi laman Facebook, kebanyakan pelawat laman web berkenaan turut meletakkan wajah masing-masing bagi menarik perhatian ‘pasangan’ lain.


Pada masa sama pelbagai kata-kata berahi dan permintaan tidak senonoh turut dimasukkan ke dalam profil diri dalam laman web berkenaan, antaranya ‘saya mahu yang tua sahaja’, ‘siapa mahukan bonxxx sila hubungi 019******’, ‘saya mahukan hubungan serius...sila hubungi 013*****’ dan ‘Ingin lihat anu saya’.


Laman web sosial berkenaan yang mempunyai pautan laman web lain mendapat sambutan menggalakkan terutama di kalangan remaja tempatan. Tinjauan lanjut turut mendapati pelbagai tajuk khas menjadi perbincangan pengunjung laman web berkenaan antaranya pesta seks malam, kumpulan gay KL, pelancongan gay ke Pulau Redang, gay universiti dan pelbagai isu lain yang menjadi topik hangat gay dari seluruh pelusuk negara.


Lebih mengejutkan apabila pihak bertanggungjawab turut menghasilkan logo khas kumpulan Gay Malaysia terbabit dengan menyalahgunakan lambang jata negara yang disertakan pelbagai warna menyamai bendera.


Bagi membuktikan sama ada laman web terbabit disalah guna untuk tujuan mencari pasangan seks sejenis, wartawan Harian Metro menyamar ‘peminat kaum sejenis’ sebelum menghubungi beberapa pengunjung tetap laman web terbabit, semalam.


Wartawan menghantar SMS kepada nombor telefon pemilik dikenali sebagai Hans dengan bertanya sama ada dia berminat untuk membuat temujanji sebelum disusuli aktiviti seks.


Umpan SMS itu mendapat maklum balas segera apabila gay terbabit membalas dan bertanya umur serta lokasi wartawan.

Tanpa segan silu dia menghubungi wartawan sambil memberitahu kebosanan dan mencari rakan yang dapat dijadikan tempat bermanja.


Agak memeranjatkan apabila Hans terus mengajak wartawan melancong ke Pulau Redang sambil mendakwa semua perbelanjaan akan ditanggungnya.


Mengulas perkara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan Malaysia (Sidim), Mohamed Hanafiah Abdul Malek, meminta golongan bernafsu songsang itu supaya bertaubat segera kerana apa yang dilakukan mereka itu lebih teruk daripada haiwan.


“Kita manusia ciptaan Allah, malah haiwan pun tidak melakukan hubungan sejenis, kenapa mahu jadi lebih teruk daripada binatang?” katanya yang dihubungi, semalam.


Beliau berkata, keberanian mereka membuat pengakuan di Internet itu bukan perkara baru, malah jumlah lelaki yang meminati kaum sejenis terbabit ramai.


“Banyak sebab golongan ini boleh wujud, malah di Sidim kami merawat puluhan pelatih untuk kembali ke jalan yang benar selepas terjebak kegiatan homoseksual,” katanya.


“Saya menyeru mereka supaya bertaubat kerana apa yang dilakukan mereka itu dosa besar,” katanya.




source: http://www.hmetro.com.my/articles/Iklanpasangansongsang/Article

Sabit lekat di kepala

KUALA LUMPUR: Mengerikan apabila kepala seorang buruh hampir terbelah dua selepas sebilah sabit tajam ‘melekat’ di belakang tempurungnya sejurus ditetak seorang lelaki yang menyerangnya dari belakang.
Lelaki itu dipercayai bertindak ganas kerana tidak puas hati teguran mangsa supaya jangan duduk di atas bangku konkrit yang baru dibina berikutan bimbang ia runtuh akibat simen belum kering sepenuhnya.


Namun, teguran itu bertukar tragedi berdarah apabila mangsa ditetak di kepala manakala rakannya hampir putus jari selepas diserang hendap suspek yang bersenjatakan sabit. Mangsa, Abdul Rahman Surni, 49, berkata ketika kejadian jam 2.15 petang semalam, dia bersama seorang rakan membina bangku daripada simen di taman permainan kanak-kanak berhampiran Lorong Raja Muda Musa, Kampung Baru di sini.


Menurutnya, sebaik menyiapkan bangku berkenaan, seorang lelaki tidak dikenali muncul dan cuba duduk di atas bangku konkrit yang masih basah.


“Saya terkejut dengan tindakan lelaki terbabit sebelum menegurnya supaya tidak duduk di bangku itu kerana dibimbangi ia akan roboh.


“Nasihat saya itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan lelaki terbabit yang naik angin dan meluahkan kata-kata kesat,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, lelaki berbadan kurus berusia 20-an itu kemudian pergi dari situ dalam keadaan tidak puas hati.


“Namun, saya tidak menyangka dia datang semula beberapa minit kemudian dengan membawa sabit. Lelaki itu terus menyerang rakan saya dengan melibas sabit berkenaan.


“Rakan saya terpaksa menggunakan tangan untuk menahan tetakan terbabit hingga menyebabkan jari hantunya terkoyak. Sejurus selepas itu, suspek melarikan diri,” katanya.

Berikutan itu, dia yang ketakutan segera mengemaskan perkakas kerjanya untuk meninggalkan kawasan berkenaan.


“Namun, ketika saya tergesa-gesa meninggalkan lokasi kejadian, dia tiba-tiba muncul dari arah belakang lalu menetak sabit dibawanya sekuat hati ke arah kepala saya.


“Kejadian itu menyebabkan darah memancut keluar dari kepala sehingga membasahi muka saya. Saya ketika itu amat takut dan hanya mampu menjerit meminta tolong rang ramai berikutan bimbang dibunuh suspek yang mengamuk,” katanya.


Menurutnya, jeritan itu menyebabkan lelaki terbabit terkejut sebelum lari meninggalkannya.


“Saya tak pasti apa yang berlaku, tapi orang awam yang berada berhampiran menghubungi polis sebelum polis bergegas ke tempat kejadian.


“Saya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum diberikan rawatan kecemasan dan menerima 15 jahitan di kepala. Rakan saya pula menerima lima jahitan di tangan,” katanya yang sudah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.


Menurutnya, dia yang tinggal di Paya Jaras, Sungai Buloh, dekat sini, terpaksa berehat beberapa hari untuk memulihkan kecederaan.


Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang tukang masak terkejut apabila dua penjenayah tiba-tiba menyergah dan mengheretnya ke dalam belukar berhampiran sebelum merompak.


Difahamkan, serangan mengejut itu menyebabkan muka mangsa bengkak manakala matanya berdarah akibat ditumbuk suspek dipercayai geng samun tempatan. Mangsa yang kerugian wang tunai RM250, MyKad dan pelbagai barang berharga lain membuat laporan di balai polis berhampiran.


Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 10.25 malam kelmarin, mangsa berjalan bersendirian berhampiran lorong di Jalan Davis di sini, selepas habis bekerja. Menurutnya, dua lelaki tidak dikenali mendakap dan memegang tangan mangsa yang ketika itu terpinga-pinga.


“Suspek mengheret mangsa ke dalam semak berhampiran sebelum menumbuk dan memukulnya. Mangsa cuba mempertahankan diri, namun tidak berdaya selepas ditumbuk bertubi-tubi di muka.


“Seorang daripada suspek meraba tubuh mangsa sebelum merampas dompet,” katanya.


Menurutnya, suspek kemudian melarikan diri meninggalkan mangsa berseorangan.


“Mangsa yang berusia 46 tahun keluar dari semak sebelum terserempak kereta peronda polis yang melalui kawasan terbabit,” katanya.


Difahamkan, serangan mengejut itu menyebabkan muka mangsa bengkak manakala matanya berdarah akibat ditumbuk suspek dipercayai geng samun tempatan.


Mangsa yang kerugian wang tunai RM250, MyKad dan pelbagai barang berharga lain membuat laporan di balai polis berhampiran.


source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sabitlekatdikepala/Article