Sunday, May 16, 2010

Ibu dakwa rangka ditemui milik anak

MACHANG: “Saya yakin rangka yang ditemui itu adalah anak saya berdasarkan kad pengenalan diri yang ditemui bersamanya,” dakwa Nik Zah Kundur, 49, ibu kepada Ahmad Hafizudin Suhaimi, 27, yang dilaporkan hilang sejak 19 November lalu.

Berikutan penemuan itu, Nik Zah bersama suaminya yang hanya ingin dikenali sebagai Suhaimi bergegas ke tempat kejadian untuk mengetahui status rangka berkenaan berikutan kehilangan anaknya kira-kira enam bulan lalu.


Nik Zah berkata, meskipun rangka itu disyaki milik anaknya, namun dia menyerahkan kepada polis untuk melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas rangka terbabit.


Dia yang masih terkejut dengan penemuan berkenaan bagaimanapun enggan mengulas berhubung perkara itu berikutan tidak mahu mengganggu siasatan polis.


Seorang penduduk kampung yang enggan namanya disiarkan berkata, sebelum penemuan rangka terbabit, anak lelakinya mencari seekor anak kucing peliharaan mereka di luar pagar rumah.

Katanya, ketika mencari haiwan peliharaan itu, anaknya terdengar bunyi suara kucing dari arah parit sedalam satu meter.


“Ketika turun hendak mengambilnya, anak saya terkejut apabila menemui rangka, tulang dan tengkorak manusia di dalam parit berkenaan, menyebabkan dia bergegas naik sebelum terus memaklumkan kepada saya.


“Terkejut dengan berita itu, saya terus bergegas ke kawasan berkenaan bagi meninjau keadaan sebenar sebelum menghubungi polis berhubung penemuan itu,” katanya yang turut enggan mengulas lanjut perkara itu.


Akhbar pada 14 Januari lalu melaporkan, Ahmad Hafizudin yang juga penyelia projek dikatakan keluar menaiki keretanya pada 19 November lalu dengan membawa sejumlah wang RM22,000 untuk bayaran kepada pekerja.


Dia dikatakan pergi ke tapak projek di Labok, Machang, kira-kira jam 1 tengah hari, namun dilaporkan hilang oleh keluarganya sebelum seorang penduduk kampung menemui kereta miliknya jenis Proton Wira di kawasan semak berhampiran Kampung Bukit Belah pada 16 Disember lalu.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim, ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak boleh mengulas lanjut berhubung perkara itu sehingga keputusan DNA daripada Jabatan Patalogi diketahui.


“Rangka, tengkorak dan tulang-tulang memang ditemui dalam parit berkenaan namun belum dapat disahkan mayat ditemui itu adakah milik lelaki yang dilaporkan hilang oleh satu keluarga baru-baru ini.

“Rangka manusia itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk tindakan,” katanya.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibudakwarangkaditemuimilikanak/myMA/myArticle

No comments: