Tuesday, May 18, 2010

Ziana beralih kepada Mohd

SEBELUM ini, penyanyi dangdut Mas Idayu pernah membuat kejutan apabila menghentikan protegenya, Mohd Shabini Ibrahim, 25, (Shaq) daripada membuat persembahan pada konsert pengenalan Mentor 4.
Mas dikatakan bertindak demikian kerana tidak mahu Syak menyeksa dirinya dan meneruskan persembahan dalam keadaan sakit tekak sekali gus mempengaruhi nyanyian secara keseluruhan.


Nampaknya drama Mentor musim baru tidak terhenti setakat itu saja apabila giliran Ziana Zain pula membuat kejutan dengan menggugurkan Ketty Natalia Rasul, 23, sebagai protegenya.


Pengumuman itu dibuat penyanyi Madah Berhelah ini menerusi siaran langsung Mentor 4 membabitkan kumpulan B yang dipancarkan dari Dewan Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ahad jam 9 malam kelmarin. Ziana berkata, dia terpaksa mengambil keputusan itu kerana Thalia baginya belum bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menempuh cabaran sebagai penyanyi.


"Dia tidak menarik diri sebaliknya saya yang mengambil keputusan ini. Bagaimanapun, ia bukan keputusan saya seorang, tetapi hasil perbincangan bersama Thalia sendiri termasuk pihak produksi.


"Thalia bagi saya peserta punya rupa dan bakat cuma dia belum bersedia mental serta fizikal selain sering menghadapi masalah kesihatan.


"Ramai anggap bidang nyanyian ini mudah tapi tidak sebenarnya. Penyanyi bukan sekadar menyanyi ia adalah satu pekerjaan yang harus dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab. "Saya melihat Thalia belum ada persediaan ke arah itu. Mungkin dia masih budak dan disebabkan itu kurang fokus terhadap kerjaya ini," jelas Ziana.


Ziana sempat ditanya bagaimana reaksi Thalia mendengar hal itu dan penyanyi bernada tinggi ini mengakui bekas protegenya itu amat terkejut.


"Memang dia terkejut tapi saya terpaksa mengambil keputusan ini untuk kebaikan Thalia termasuk semua pihak. Saya mendoakan yang terbaik buat Thalia dan berharap ini bukanlah pengakhiran karier nyanyiannya. "Dengan pakej yang di miliki Thalia, mana tahu dia akan menerima tawaran daripada syarikat rakaman. Mungkin juga dua tiga tahun akan datang selepas dia mengutip segala pengalaman menjadikan dirinya lebih matang sekali gus sebagai penyanyi yang berjaya," katanya.

Kekosongan Thalia kini digantikan Mohd Izwan Mohd Nor (Mohd), 22, yang sebelum ini menghadiri uji bakat Mentor untuk menjadi protege Mas Idayu. Mohd juga tiga peserta terbaik pilihan Mas Idayu.


"Walaupun perlu mencari pengganti dalam tempoh 48 jam, saya berpuas hati dengan kualiti bakat yang ada pada Mohd. Dia ada karisma tersendiri apabila berada di atas pentas.


"Suaranya bagus dan paling penting saya nampak dia seorang yang ada keinginan dalam bidang ini. Ciri-ciri ini perlu untuk menjadi protege.


"Misalnya dalam persembahan malam ini, walaupun masih dalam keadaan terkejut diserap masuk ke Mentor, dia tetap berjaya memberikan aksi persembahan yang mantap.


"Saya sangat berpuas hati malah berpendapat untuk persembahan seperti itu bagi peserta yang dipilih pada saat-saat akhir, sesuatu yang sudah cukup membanggakan," katanya.


Menyingkap persembahan konsert pertama bagi kumpulan B, Mohd beraksi solo menerusi lagu Sampai Syurga yang dipopularkan Faizal Tahir manakala Senja Nan Merah secara duet bersama Ziana. Sementara itu, Adi Hamiz Johar, 23, (Adi) protege Dayang Nurfaizah menyampaikan lagu dipopularkan oleh Aizat, Lagu Kita sebelum menyampai berduet dengan Dayang menerusi lagu Meri Jaan dan Nakal.


Sementara Haimie Napsun, 19, (Ayim), protege Mus May pula membawakan lagu Making Love Out of Nothing At All termasuk berduet dengan mentornya melalui lagu Dari Kacama & Dalam Kembara.


Sebelum konsert itu berlabuh, Ayim akhirnya diumumkan sebagai peserta yang mendapat undian tertinggi daripada juri profesional, Aidit Alfian dan Ad Samad dengan perolehan 38 markah sekali gus mendahului Mohd dengan 30 markah serta Adi (32).



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ZianaberalihkepadaMohd/Article

No comments: