Tuesday, May 11, 2010

Sabit lekat di kepala

KUALA LUMPUR: Mengerikan apabila kepala seorang buruh hampir terbelah dua selepas sebilah sabit tajam ‘melekat’ di belakang tempurungnya sejurus ditetak seorang lelaki yang menyerangnya dari belakang.
Lelaki itu dipercayai bertindak ganas kerana tidak puas hati teguran mangsa supaya jangan duduk di atas bangku konkrit yang baru dibina berikutan bimbang ia runtuh akibat simen belum kering sepenuhnya.


Namun, teguran itu bertukar tragedi berdarah apabila mangsa ditetak di kepala manakala rakannya hampir putus jari selepas diserang hendap suspek yang bersenjatakan sabit. Mangsa, Abdul Rahman Surni, 49, berkata ketika kejadian jam 2.15 petang semalam, dia bersama seorang rakan membina bangku daripada simen di taman permainan kanak-kanak berhampiran Lorong Raja Muda Musa, Kampung Baru di sini.


Menurutnya, sebaik menyiapkan bangku berkenaan, seorang lelaki tidak dikenali muncul dan cuba duduk di atas bangku konkrit yang masih basah.


“Saya terkejut dengan tindakan lelaki terbabit sebelum menegurnya supaya tidak duduk di bangku itu kerana dibimbangi ia akan roboh.


“Nasihat saya itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan lelaki terbabit yang naik angin dan meluahkan kata-kata kesat,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, lelaki berbadan kurus berusia 20-an itu kemudian pergi dari situ dalam keadaan tidak puas hati.


“Namun, saya tidak menyangka dia datang semula beberapa minit kemudian dengan membawa sabit. Lelaki itu terus menyerang rakan saya dengan melibas sabit berkenaan.


“Rakan saya terpaksa menggunakan tangan untuk menahan tetakan terbabit hingga menyebabkan jari hantunya terkoyak. Sejurus selepas itu, suspek melarikan diri,” katanya.

Berikutan itu, dia yang ketakutan segera mengemaskan perkakas kerjanya untuk meninggalkan kawasan berkenaan.


“Namun, ketika saya tergesa-gesa meninggalkan lokasi kejadian, dia tiba-tiba muncul dari arah belakang lalu menetak sabit dibawanya sekuat hati ke arah kepala saya.


“Kejadian itu menyebabkan darah memancut keluar dari kepala sehingga membasahi muka saya. Saya ketika itu amat takut dan hanya mampu menjerit meminta tolong rang ramai berikutan bimbang dibunuh suspek yang mengamuk,” katanya.


Menurutnya, jeritan itu menyebabkan lelaki terbabit terkejut sebelum lari meninggalkannya.


“Saya tak pasti apa yang berlaku, tapi orang awam yang berada berhampiran menghubungi polis sebelum polis bergegas ke tempat kejadian.


“Saya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum diberikan rawatan kecemasan dan menerima 15 jahitan di kepala. Rakan saya pula menerima lima jahitan di tangan,” katanya yang sudah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.


Menurutnya, dia yang tinggal di Paya Jaras, Sungai Buloh, dekat sini, terpaksa berehat beberapa hari untuk memulihkan kecederaan.


Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang tukang masak terkejut apabila dua penjenayah tiba-tiba menyergah dan mengheretnya ke dalam belukar berhampiran sebelum merompak.


Difahamkan, serangan mengejut itu menyebabkan muka mangsa bengkak manakala matanya berdarah akibat ditumbuk suspek dipercayai geng samun tempatan. Mangsa yang kerugian wang tunai RM250, MyKad dan pelbagai barang berharga lain membuat laporan di balai polis berhampiran.


Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 10.25 malam kelmarin, mangsa berjalan bersendirian berhampiran lorong di Jalan Davis di sini, selepas habis bekerja. Menurutnya, dua lelaki tidak dikenali mendakap dan memegang tangan mangsa yang ketika itu terpinga-pinga.


“Suspek mengheret mangsa ke dalam semak berhampiran sebelum menumbuk dan memukulnya. Mangsa cuba mempertahankan diri, namun tidak berdaya selepas ditumbuk bertubi-tubi di muka.


“Seorang daripada suspek meraba tubuh mangsa sebelum merampas dompet,” katanya.


Menurutnya, suspek kemudian melarikan diri meninggalkan mangsa berseorangan.


“Mangsa yang berusia 46 tahun keluar dari semak sebelum terserempak kereta peronda polis yang melalui kawasan terbabit,” katanya.


Difahamkan, serangan mengejut itu menyebabkan muka mangsa bengkak manakala matanya berdarah akibat ditumbuk suspek dipercayai geng samun tempatan.


Mangsa yang kerugian wang tunai RM250, MyKad dan pelbagai barang berharga lain membuat laporan di balai polis berhampiran.


source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sabitlekatdikepala/Article

No comments: