Sunday, May 16, 2010

Bagaikan sesat dalam gelanggang sendiri

KRONOLOGI diarinya tidak cukup dicoret atas selembar kertas. Perit getir perjuangannya tidak mampu digambar imaginasi kerana ia jauh lebih dramatik. Namun segala dugaan dan halangan yang cuba membunuh semangatnya jelas menjadi kekuatan untuk terus berdiri.
Entah bagaimana bibirnya pantas menyusun bicara, lenggok katanya kemas meskipun ia membongkar seribu satu kisah silamnya saat membina nama. Julung kalinya berkongsi cerita, ternyata Noor Hasliyah Abu Hasan puas selepas meluahkan segala-galanya.


Kelibatnya kini sering menyentuh perhatian media, sekali gus memberi tempias publisiti buatnya. Sapaan komersial buatnya sebagai Alyah sudah kuat dan gah sehebat semangatnya.


“Perjalanan saya terlalu jauh dan panjang untuk diceritakan. Namun jika dilihat secara mendalam, apa yang saya lalui sepanjang 10 tahun ini adalah sebuah penerokaan yang dahsyat. Pelik juga bila fikirkan nasib diri, masakan tidak, cubalah pintu keluar mana sekalipun, saya bagaikan sesat dalam gelanggang sendiri.


“Bayangkanlah, saya curi-curi menyanyi selama ini kerana arwah ayah tidak menggalakkan saya menjadi penyanyi. “Justeru, saya tinggalkan kampung halaman untuk tinggal bersama kakak di Kuala Lumpur supaya pergerakan saya lebih bebas dalam mengintai peluang menyanyi.


“Saya bekerja di sebuah kedai kamera di Terminal 3, Subang ketika itu. Selepas menyandang juara Bintang HMI, saya ditawarkan untuk merakam album, namun terbengkalai begitu saja. Lantaran itu saya bekerja di Baskin Robbins, Wangsa Maju untuk menampung hidup.


“Saya terus menghubungi semua syarikat rakaman lain yang berminat untuk bekerjasama dengan saya hingga satu daripadanya menerima saya.


“Namun rezeki masih tidak menyebelahi saya. Lagu saya tidak dirangka dengan betul hingga ia ketinggalan jauh tanpa promosi dan publisiti. Kesannya, saya kembali bekerja di sebuah kedai cenderahati di Eastern Mall,” katanya.


Penyanyi yang berani tampil dengan imej tersendiri ini tidak pernah rasa malu untuk kembali bekerja meskipun status selebriti mula melekat padanya ketika itu. Jelasnya, status itu tidak membawa makna jika perutnya kebuluran.

Dia mencuba nasib dalam One In A Million (OIAM) dan Gang Starz. Namun itu bukan rezekinya. Kemudian Cat Farish mengajak menyertai Fabulous Cats tetapi masalah kesihatannya membantutkan hasrat.


“Rasa bagai hendak menjerit pun ada sebab apa saja yang saya usahakan masih tidak menampakkan hasil,” katanya.


Episod putus tunang menambah lagi sendu di hati. Bagaimanapun, Alyah akur jodohnya tiada dengan duda anak satu, Tengku Irvan Bahran.


Satu frasa yang merentas fikiran saat melihat kesungguhan gadis ini, Alyah seorang yang tabah dan sentiasa mengejar apa yang diimpikan. Putus asa atau berundur tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya.


“Biarlah apa yang orang nak kata, yang penting saya kenal diri saya dan saya percaya akan apa yang saya lakukan. Jujurnya, segala halangan selama ini adalah pengalaman indah yang mematangkan saya,” katanya.


Terpacul juga persoalan, ada mungkin kepayahan dirinya menongkah segala halangan disebabkan tanpa restu daripada arwah ayahnya, bingkas wanita yang juga ibu kepada dua anak angkatnya, Muhammad Alif, 4, dan Naziatul Afikah, setahun tiga bulan, mencelah: “Ayah mana tidak sayangkan anaknya. Walaupun dia tidak pernah menunjukkan ekspresi menyokong, jauh di sanubarinya pasti dia berbangga dengan kesungguhan saya. Saya percaya arwah seorang yang memahami dan hanya melihat saya dari jauh.” Rezeki buatnya mula menyinar saat bertemu komposer terkenal, Ajai dua tahun lalu. Laluan buatnya makin mudah apabila lagu Tak Mungkin Kerna Sayang melambungkan namanya kembali.


Merenung keseluruhan plot penceritaan gadis ini jelas menggambarkan dirinya yang sentiasa ingin maju dan enggan menyerah kalah dalam mengukuhkan kerjaya seninya.



source: http://www.hmetro.com.my/articles/Bagaikansesatdalamgelanggangsendiri/Article

No comments: