Monday, May 31, 2010

Buru kekasih

PETALING JAYA: Polis mengesan teman lelaki remaja perempuan yang dikaitkan dengan kes penemuan mayat bayi yang ditanam berhampiran Stesen Komuter Padang Jawa, dekat sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata polis sudah mengenal pasti identiti lelaki terbabit yang berusia 30-an dan percaya dia kini bersembunyi di sekitar Lembah Klang.


“Kami mengesan teman lelaki remaja itu yang bekerja sebagai operator sebuah kilang bagi membantu siasatan mengenai kejadian terbabit,” katanya selepas merasmikan pertandingan amal menembak anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Lapang Sasar Subang di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mayat bayi lelaki berkenaan ditemui seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad yang kemudian melaporkan kewujudan sebuah kubur kecil di kawasan terbabit.


Hasil pemeriksaan ke atas kubur itu, polis menemui mayat bayi berkenaan yang dibalut dengan kain lampin dan dipercayai baru dilahirkan.


Ekoran kes itu, pada Jumaat lalu polis mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun dan kakaknya berusia 24 tahun kerana disyaki terbabit menanam bayi berkenaan.


Khalid berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian. — Bernama





source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Burukekasih/Article

No comments: