Saturday, May 22, 2010

Cuba sembelih ibu saudara

BAGAN SERAI: Cubaan seorang lelaki menyembelih ibu saudaranya menggunakan pisau pemotong daging, dipatahkan selepas polis menembak lengan kanan lelaki berkenaan selepas usaha memujuknya selama 45 minit buntu meskipun dia bertindak lebih agresif.
Tembakan itu dilepaskan anggota polis selepas usaha memujuk suspek supaya menyerah diri dan melepaskan mangsa menemui kegagalan.


Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam di sebuah rumah di Jalan Siakap itu, lelaki berusia 28 tahun ditembak di lengan kanannya selepas cuba mencederakan ibu saudaranya.


Mangsa, K Tanalatchimy, 55, sebelum itu mengalami mimpi ngeri apabila lengan kirinya dikelar suspek, ditetak di tangan kanan dan kepala serta muka mangsa dicederakan sebelum suspek memegang rambut mangsa dengan mengheretnya ke serata rumah.


Ketua Polis Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan, berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.30 tengah hari dan sepasukan enam pegawai diketuai Ketua Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Superintendan Zaidi A Rahman bergegas ke premis berkenaan.


“Ketika polis sampai, tangan kiri suspek dilihat memegang rambut mangsa dalam keadaan duduk manakala tangan kanannya memegang parang.


“Ahli keluarga dan orang ramai berada di luar rumah membantu polis memujuk suspek menyerah diri dan melepaskan mangsa, tetapi dia menjadi lebih agresif sehingga mengeluarkan kata-kata mencabar polis, ‘kalau mahu tembak, tembaklah’,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.


Mat Fauzi berkata, polis terus berusaha memujuk suspek berulang kali, tetapi tidak dihiraukan dan apabila suspek bertambah agresif dengan cuba menetak leher mangsa kira-kira jam 1.15 petang, polis menembak lengan kanannya menyebabkan pisau itu terlepas dari genggaman.


Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar sebelum ahli keluarganya memindahkannya ke hospital swasta, Hospital Columbia Asia di Taiping untuk menerima rawatan.

Katanya, suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 477 Kanun Keseksaan kerana memadamkan wasiat keluarga dibawa ke Hospital Parit Buntar sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.


“Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan,” katanya.




source: http://www.hmetro.com.my/articles/Cubasembelihibusaudara1/Article

No comments: