Tuesday, May 11, 2010

Anak saya mangsa korban pemujaan, bukan mati lemas

GEORGETOWN: “Anak saya dikorbankan untuk upacara pemujaan bukannya mati lemas,” dakwa bapa kepada mangsa dipercayai dibunuh dengan kejam di Kuala Kangsar, Perak, Manzor Hussain Shah Wilayah Shah, 61.
Beliau berkata, arwah anaknya, Shah Farin Manzor Hussain Shah, 23, dipercayai mangsa korban untuk upacara pemujaan yang bertentangan dengan syariat Islam.


Menurutnya, dia mahu menuntut keadilan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kematian anak lelakinya yang juga anak keempat daripada lima beradik itu kerana wujud percanggahan maklumat mengenai punca kematian arwah.


“Pada 8 April lalu, arwah ke Kampung Batang Kulim, Kuala Kangsar bersama rakannya menghadiri majlis tahlil di rumah gurunya, pengamal perubatan tradisional. “Pada mulanya, saya tidak mengesyaki apa-apa tetapi ketika arwah di sana, anak saya, Shah Rizak, 20, yang tinggal di Batu Maung menerima panggilan daripada rakan arwah memaklumkan Shah Farin hilang di hutan ketika bersiap menghadiri kenduri,” katanya pada sidang media di Pengkalan Nelayan Sungai Pinang.


Katanya, Shah Farin mengajak dua rakannya ke kawasan hutan, tetapi rakannya menolak dan arwah seorang diri ke hutan tidak pulang ke rumah dan disyaki hilang. Manzor berkata, isterinya dimaklumkan Shah Farin mati lemas dan untuk mengetahui perkara sebenar, mereka sekeluarga ke Kuala Kangsar pada 9 April lalu.


Katanya, rakan arwah anaknya ketika ditemui menceritakan mengenai kejadian berkenaan yang bercanggah antara satu sama lain.


“Usaha mencari Shah Farin dimulakan pada 10 April dengan bantuan sepasukan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela), polis, pasukan bomba dan penyelamat dan Unit Anjing Pengesan Polis (K9) serta beberapa ahli keluarga sebelum arwah ditemui dalam sungai,” katanya.




source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anaksayamangsakorbanpemujaan_bukanmatilemas/Article

No comments: