Tuesday, May 11, 2010

Ibu mana? Tan rindu ibu

JOHOR BAHRU: “Pak cik, ibu mana? Ibu kat mana sekarang, Tan rindukan ibu,” itu kata-kata sering diajukan Nazrul Haikal Azhar atau nama panggilannya, Tan, 6, selepas menerima rawatan akibat kemalangan yang meragut nyawa ibu bapa dan adiknya, kandungan berusia lapan bulan di Kilometer 81.5 Jalan Johor Bahru-Mersing, kira-kira 1.5 kilometer dari Felcra Sungai Ara, dekat Kota Tinggi, Jumaat lalu.
Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah nenek, mak cik dan sepupunya ketika Proton Wira yang mereka naiki bertembung sebuah Mercedes Benz sebelum berpusing beberapa kali dan terjunam ke dalam gaung sedalam tiga meter di kawasan berhampiran.


Tidak sampai hati melihat anak saudaranya terlalu sedih, bapa saudara kanak-kanak berkenaan, Ismail Norzaini, 16, hanya menjawab emaknya ada di hospital lain sebab menjaga adik baru.


“Kami tak sampai hati dan buntu bagaimana mahu memberitahu kepada Tan ibu bapanya sudah meninggal dunia. Hingga kini perkara itu masih dirahsiakan kerana risau akan mengganggu emosinya kerana dia manja dengan arwah ibunya. “Alasan yang boleh kami berikan ketika dia bertanyakan orang kesayangannya itu ialah ibunya masuk hospital jauh kerana terpaksa jaga adik ‘perempuan’ yang baru lahir dan akan datang melawatnya.


“Dia juga gembira kerana menyangka akan bertemu adik perempuan yang baru lahir. Setiap kali bertanyakan hal itu saya hampir menitiskan air mata dan menguatkan semangat kerana sedih dengan nasibnya,” katanya.


Menceritakan semula kemalangan berkenaan, kanak-kanak itu berkata, dia melihat kenderaan dipandu bapanya dilanggar sebuah kenderaan dari arah bertentangan. “Ini kereta ‘Tan’, kereta pak cik tu ada kat depan, kereta Tan nak elak, tapi kereta pak cik tu langgar kereta Tan, kami pun terbalik,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, petang semalam. Akibat kejadian itu, Ismail berkata, tulang lutut anak saudaranya patah dan terpaksa menjalani pembedahan untuk memasukkan besi secepat mungkin.


“Dijangka pembedahan itu dijalankan minggu ini, namun saya masih menunggu maklumat lanjut doktor.


“Kos pembedahan termasuk besi berjumlah lebih RM1,700. Tapi saya bersyukur kerana Unit Kebajikan HSI membantu menguruskan hal itu kerana saya tidak mempunyai wang untuk membiayainya,” katanya.


Sementara itu, Mohd Fadzeley Aziz, 28, suami Nadatul Isma Md Isa@Ramli, 25, berkata isterinya seakan-akan trauma selepas kemalangan berkenaan yang turut meragut nyawa anak mereka, Putri Alya Batisha, setahun apabila sering meracau pada waktu malam.

“Ketika tidur semalam, dia menyebut nama anak kami yang manja dengan panggilan ‘Lia’ atau ‘Adik’. Melihat keadaannya saya cuba menenangkannya. “Usaha lain ialah dengan mengambil air serta membacakan ayat suci al-Quran sebelum menyapukan pada mukanya sebelum dia boleh tidur lena hingga pagi tanpa gangguan,” katanya.


Mohd Fadzeley yang kehilangan anak tunggalnya berkata, dia dan isteri reda dengan kehilangan puteri mereka itu dan menerimanya dengan hati terbuka.


Isma yang patah lengan kanan akibat kejadian itu dijangka menjalani pembedahan untuk memasukkan besi hari ini.


Dia yang dirawat bersebelahan Nazrul dilaporkan dalam keadaan stabil.


Menceritakan semula peristiwa hitam itu, Fadzeley berkata, ketika kejadian isterinya baru menyusukan anak mereka sebelum melihat kenderaan dari arah bersebelahan melanggar kenderaan dinaiki mereka.


“Dia yang pengsan hanya sedar selepas berasa sakit ketika tangannya dijahit. Selepas terjaga dia bertanyakan anak kami. Bagi mengelakkan dia daripada trauma, saya mengatakan anak kami selamat, tapi dia yang tidak sedap hati mula mendesak diberitahu hal sebenar. “Kerana tidak sampai hati, saya meminta doktor memaklumkan hal kematian anak kami padanya,” katanya.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibumana_Tanrinduibu/Article

No comments: