Wednesday, April 21, 2010

Penyamar dicekup

IPOH: Lagaknya seperti pegawai khas di pejabat kerajaan negeri, malah dia bertindak menjadi perantara orang ramai untuk mendapatkan bantuan dan sokongan daripada Menteri Besar, termasuk mengenakan caj tertentu bagi perkhidmatan ditawarkan.

Lebih berani, dia sanggup mengaburi mata orang ramai menggunakan kad nama tertera gambar Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan logo pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) termasuk alamat pejabat berkenaan. Selepas lebih sebulan menyamar sebagai salah seorang ‘pegawai’ di pejabat MB, lelaki berusia 34 tahun berasal dari Kampung Kepayang dicekup kira-kira jam 10.45 pagi semalam selepas cuba memasuki pejabat MB untuk mencari mangsa seterusnya.


Pegawai Khas MB, Azhar Ahmad, berkata suspek yang mempunyai dua anak itu sering dilihat memasuki pejabat MB terutama pada Selasa, Khamis dan Jumaat selain membawa beberapa orang awam bersamanya bagi tujuan memohon surat sokongan dan bantuan.


Beliau berkata, pada mulanya, pihaknya tidak mengesyaki suspek sebelum perbuatannya mula dihidu anggota keselamatan SUK yang mendakwa lelaki berkenaan mengaburi orang awam menyamar sebagai seorang pegawai di pejabat MB.


“Sebaik diperiksa, lelaki berkenaan ditahan beberapa anggota keselamatan SUK kerana didapati menyamar sebagai seorang pegawai di pejabat MB sebelum suspek dibawa ke balai polis.


“Kami tidak menyangka dia (suspek) sanggup membuat penyamaran dan menipu orang awam dengan berlagak sebagai pegawai MB,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam.


Katanya, perbuatan itu bukan saja menimbulkan keraguan kepada orang awam, malah menjejaskan imej MB memandangkan tindakan suspek mengenakan caj tertentu bagi perkhidmatan ditawarkannya.


Sementara itu, pegawai keselamatan SUK, Samsol Azman Azam Mazari, 42, berkata, pihaknya mengesan kehadiran suspek Jumaat lalu selepas diminta Pejabat MB mengawasi seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai di pejabat berkenaan.


“Bagaimanapun, suspek gagal dikesan pada hari berkenaan hingga dia muncul semula pada hari ini (semalam). Ketika tiba di kaunter pelawat, lelaki berkenaan menyamar sebagai kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk memasuki pejabat SUK kononnya mahu menghantar kelengkapan landskap ke dewan bankuet.

“Sangsi dengan identiti suspek, kami menahan suspek dan mendapati dia menyamar sebagai salah seorang pegawai MB berdasarkan kad nama palsu yang ditunjukkannya,” katanya.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima kes berkenaan dan pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk menyiasat motif di sebalik penyamaran dilakukan.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penyamardicekup/Article

Tuesday, April 20, 2010

Perkosa gadis nahas

TELUK INTAN: Seorang remaja perempuan bukan saja menderita kesakitan apabila tangan kirinya patah akibat kemalangan tetapi menjadi mangsa rogol seorang lelaki kejam yang sebelum itu menyembur sesuatu ke mukanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi semalam, mangsa berusia 19 tahun yang menunggang motosikal bersama rakannya berusia lingkungan 40-an, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Jalan Pasir Pedamar di Kampung Pasir Pedamar, dekat sini.


Bagaimanapun, sebaik tiba di sebuah sekolah rendah di Jalan Pasar, mangsa menyedari seorang lelaki berbadan sasa mengekori motosikal yang ditunggangnya menyebabkan mangsa bertindak memecut motosikalnya.


Suspek kemudian memintas motosikal ditunggang mangsa sebelum menyembur sesuatu ke arah muka mangsa menyebabkan dia hilang kawasan sebelum terbabas dan jatuh ke tepi jalan.


Timbalan Ketua Polis Hilir Perak, Superintendan Mohd Zaki Harun, berkata mangsa yang juga anak bongsu daripada lima beradik, dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai bekerja sebagai pembantu ibunya di sebuah kedai makan.


“Kemalangan itu menyebabkan mangsa patah tangan kiri dan luka di paha kiri, manakala rakannya cedera ringan di badan dan kaki,” katanya.


Menurutnya, mangsa yang meraung kesakitan, kemudian dihampiri suspek yang bukannya cuba menolong sebaliknya bertindak meraba bahagian sulit mangsa.


Katanya, suspek turut mengugut akan mencederakan mangsa dengan topi keledar jika dia cuba melawan.


“Suspek yang tidak mengendahkan jeritan kesakitan mangsa bertindak mengangkat dan membawanya menunggang motosikal ke sebuah tandas awam tidak jauh dari tempat kejadian.

“Sebaik membawa masuk mangsa ke dalam tandas, suspek merogolnya dan melarikan diri selepas kejadian itu,” katanya.


Mohd Zaki berkata, mangsa kemudian berjalan pulang ke rumahnya dalam keadaan kesakitan sebelum memberitahu kejadian itu kepada ibunya yang sebelum itu dimaklumkan mengenai kemalangan menimpa anak bongsunya itu oleh rakan mangsa yang turut cedera.


Mohd Zaki berkata, ibu mangsa kemudian membawanya ke Balai Polis Teluk Intan untuk membuat laporan mengenai kejadian itu sebelum mangsa dan rakannya dihantar ke Hospital Teluk Intan (HTI) bagi menerima rawatan.


source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Perkosagadisnahas/Article

Tekan hingga keluar susu

KUALA LUMPUR: Tindakan yang boleh dianggap melampau apabila ‘jutawan Lubnan’ sanggup menekan payudara isterinya sehingga mengeluarkan susu bagi membolehkan anak sulungnya disusukan mengikut waktu yang dia tetapkan.

Perkara itu dimaklumkan Sofia Shauket, 61, yang juga ibu kepada plaintif, Farinnie Mohd Farid, 24, di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, atas permohonan anaknya membubarkan perkahwinan dengan Elie Yousseff Najem, 50.


Menurutnya, sepanjang perkahwinan iaitu dari 6 Oktober 2005 sehingga Farinnie berjaya melarikan diri pada 27 Ogos 2007, anaknya itu tidak pernah gembira, sering menangis selain dipukul, diludah serta dikurung oleh Elie di dalam rumah.


“Farinnie tidak dibenarkan berjumpa ahli keluarganya. Setiap hari dia hanya dimaki hamun, malah selepas bersalin anak sulung, Farinnie tidak boleh menyusukan anaknya sesuka hati tetapi hanya pada waktu dibenarkan Elie.


“Saya ditunjukkan sendiri Farinnie keadaan payudara yang bengkak akibat ditekan. Saya tahu keadaan ini kerana duduk sebulan ketika dia berada dalam pantang. Walaupun saya sendiri hampir dipukul, saya bertahan kerana bimbangkan anak saya,” katanya ketika menjawab soalan peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan.


Sofia berkata, walaupun ketika itu mereka tinggal serumah tetapi dia tidak dibenarkan berjumpa Farinnie yang sering dikurung dalam bilik, malah dia tidak dibenarkan bercakap menggunakan bahasa Melayu.


“Saya sendiri pernah melihat Elie menolak Farinnie ke dinding yang ketika itu masih dalam pantang apabila tidak berpuas hati dengan anak saya itu. Dia pernah meludah, tarik rambut dan pelbagai deraan lagi. Jika saya masuk campur, Farinnie akan kena lebih teruk lagi.


“Pernah berlaku saya cuba leraikan pergaduhan mereka, Elie menghalau saya keluar, bagaimanapun, saya enggan. Elie juga pernah cuba membunuh saya dengan parang panjang tetapi mengenangkan Farinnie baru bersalin saya bertahan,” katanya.


Menurutnya, Elie juga pernah cuba mencabul kehormatan pembantu rumah mereka yang dikenali sebagai ‘Juju’ dan menafikan apabila disoal oleh Farinnie selain pernah cuba mengambil kesempatan terhadap rakan kepada adik iparnya.


“Juju hanya bertahan bekerja selama seminggu, dia tidak tahan dengan gangguan Elie. Menurut Juju, Elie meminta supaya diurut dengan menggunakan minyak di bahagian kemaluan dan menyuruh pembantu rumah itu mencukur bulunya. “Malah, Elie dikatakan meminta Juju tidak mengunci pintu bagi memudahkan dia masuk ke biliknya. Elie juga pernah mengajak kawan kepada adik ipar saya dengan alasan untuk pergi ke kedai, sebaliknya, dia dibawa ke tempat gelap serta digoda,” katanya.


Dalam keterangannya, Sofia berkata, Elie juga pernah menghantar SMS kepadanya pada 13 Jun 2009 yang mengatakan bahawa dia sudah tidak lagi menganut agama Islam serta sudah melangsungkan perkahwinan dengan seorang wanita beragama Kristian.


Turut hadir memberi keterangan adalah abang kepada Farinnie iaitu Faizal Mohd Farid, 31, yang memberitahu mahkamah bahawa adiknya itu sejak berkahwin mengalami penderaan dari segi mental dan fizikal.


“Layanan yang diberikan kepada Farinnie adalah lebih teruk dari orang gaji. Seingat saya, Farinnie pernah ceritakan bahawa jika Elie tidak tidur, dia tidak boleh tidur begitu juga ketika makan. Dia (Farinnie) perlu melayan suaminya.


“Adik saya juga tidak dibenarkan solat serta dipaksa memakai lambang salib. Dia juga dipaksa makan di khalayak ramai ketika Ramadan. Farinnie juga pernah dicekik, dipukul dan ditarik rambut, saya sendiri pernah melihat kesan lebam itu,” katanya.


Menurutnya lagi, selepas tidak tinggal bersama, dia dan ahli keluarga yang lain menyara kehidupan Farinnie malah wanita itu juga sudah mula bekerja sejak 2009.


Hakim Mamat Haizan Salleh menetapkan 29 April ini untuk keputusan.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tekanhinggakeluarsusu/Article

Anne di ambang perpisahan

KUALA LUMPUR: Rumah tangga hampir lima tahun yang dibina dramatis terkenal, Nasriah Ngasri atau Anne, 26, dan suaminya, Abdul Wafi Hassan, 29, kini di ambang perpisahan. Segala yang berlaku dalam hubungan pasangan ini akan berakhir di mahkamah tidak lama lagi.
Namun, apa punca sebenarnya tidak diketahui. Malah, Anne yang dihubungi Harian Metro semalam enggan berbicara lanjut mengenainya kerana semua sudah diserahkan kepada mahkamah. Katanya, biarlah mahkamah saja yang memutuskan keputusannya.


“Memang benar apa yang diperkatakan mengenai perkara itu (berkaitan rumah tangga). Tetapi, saya minta maaf kerana tidak boleh memberi sebarang komen sehingga mahkamah membuat keputusan. “Saya memang tak boleh cakap apa-apa,” katanya. Ditambah lagi, kini Anne juga sibuk menjayakan drama 26 episod, Lagenda Budak Setan untuk Astro sejak dua bulan lalu.


Anne berkahwin dengan Wafi pada 26 Mei 2006 pada usia 22 tahun dan dikurniakan dua anak. Kes pengesahan lafaz cerai pasangan berkenaan akan didengar di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 19 Mei depan.


source: http://www.hmetro.com.my/articles/Annediambangperpisahan/Article

Ceria sebelum maut

"RIAK wajahnya memang gembira sakan dan kemesraan pun nampak lain. Kalau sebelum ini, dia hanya berbual tetapi ketika sesi latihan bermula, Achik dilihat gembira tak terhingga. Arwah bukan saja berbual tetapi ada kalanya menyanyi dan berlawak.

"Melihatkan reaksi dirinya, timbul juga tanda tanya mengapa Achik gembira sangat hari itu (Sabtu lalu). Bahkan, kelakuan peliknya turut diakui Pengurus Promosi FMC, Amy yang ada sama ketika itu dan kami semua tak tahu apa punca sebenarnya.

"Malah, sewaktu membuat promo untuk Gah 1, saya meminta arwah dan Nana bercakap dalam dialek Negeri Sembilan. Ini kerana, saya melihat Achik bergurau dan menyanyi tak henti-henti dalam bahasa Negeri Sembilan, jadi elok juga dibuat promo.

"Justeru, terkejut juga saya apabila mendapat panggilan telefon memaklumkan Achik kemalangan dan maut. Memang tak sangka keceriaan dan kegembiraan berlebihan arwah dua jam sebelum kejadian adalah kenangan akhir yang ditinggalkan," kata Penerbit Gah 1, Serena Mohd Salleh.

Menurut Sarena, ia kerjasama kali ketiganya bersama arwah. Kali pertama, Achik diundang bersama Nana ketika program diadakan di Kuala Lipis, Pahang. Manakala, kali kedua ketika Ramadan lalu dan ketika itu Achik muncul secara solo.

Gah 1 yang dulunya dikenali sebagai Hits 1, disiarkan secara langsung dari Angkasapuri menerusi TV2 pada Sabtu, jam 4 petang. Dalam program carta lagu popular terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu, Achik dan Nana menjadi tamu undangan menyampaikan lagu duet mereka, Cari Ketenangan ciptaan Ajai.

Achik atau nama sebenar, Abdillah Murad Md Shari, maut dalam kemalangan di Kilometer 14.7 Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd (Lekas), jam 6.15 petang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Seremban 2, Negeri Sembilan selepas selesai program itu.

Achik meninggalkan balu, HM Rosezaitul Suraini Wati Maarof, 29, atau Tasha dan dua anak perempuan, Putri Nursafiyaa, 2 dan Putri Nursumayya, 11 bulan.

Bagi pemain gitar kumpulan Spin, Wan Mohd Zuhairi Wan Mohd Zain atau Ayie, perubahan sikap pelik Achik sudah ditunjukkan arwah kira-kira sebulan lalu.
Kata pemuda berusia 27 tahun ini, arwah menghubunginya banyak kali.

"Lebih 10 kali arwah hubungi saya setiap hari. Maklumlah, waktu bekerja saya memang sibuk dan tak dapatlah hendak menjawab panggilannya. Tetapi, selagi saya tak jawab, dia akan telefon sehingga dapat dan hanya mahu bertanya khabar.

"Malah, arwah juga mahu bertemu dengan saya. Saya yang bertugas di Jabatan Penerangan sekarang amat sibuk untuk kempen pilihan raya Hulu Selangor tidak lama lagi. Jadi, susahlah untuk berjumpa dan arwah tetap hubungi saya.

"Petang sebelum kemalangan yang menimpanya, Achik menghubungi saya pada jam 5.15 petang. Dia tanya saya sibuk dan kalau ada masa lapang, dia mahu berjumpa. Namun, saya kata padanya sekarang memang tak boleh dan tiada masa.

"Kalau mahu jumpa, selepas kempen pilihan raya Hulu Selangor selesai. Apapun, saya terkejut apabila sejam kemudian, satu panggilan diterima memaklumkan Achik maut dalam nahas kereta. Susah saya nak percaya kerana baru sangat kami berbual," katanya.

Ayie berkata, tiga minggu lalu dia bertemu Achik. Malah, ujarnya dia bertanya kepada Achik kenapa selalu telefon, ada hal penting untuk dibincangkan.

Bagaimanapun, Achik hanya tunduk berdiam diri dan tak memberikan sebarang jawapan.

Menurutnya, memang pelik tingkah laku Achik ketika itu. Namun, Ayie beranggapan mungkin tiada apa-apa sebenarnya. Apapun, Tuhan lebih menyayanginya apabila Achik meninggalkan keluarga dan rakannya dalam sekelip mata.

Achik menyertai Spin yang ditubuhkan pada 1998 di bawah syarikat rakaman Fantasia Music City (FMC) dan menghasilkan empat album, Roda-roda Rindu, Litar Asmara, Spin 3 - Demi dan Keranamu.

Achik juga dikenali bersama pasangan duetnya, Siti Nordiana Alias atau Nana dan popular dengan lagu Paling Comel daripada album Istimewa Untukmu pada 2003 diikuti album Benang Emas (2005).

Selain lagu duet terbaru dengan Nana, Cari Ketenangan, Achik juga muncul dengan single terbaru bersama Spin, Engkau Yang Ku Cinta.

Komposer lagu Mengusung Rindu yang menaikkan nama Spin dalam album pertama mereka, Roda-Roda Rindu, Eddie Hamid pula berkata, dia terkejut mendapat berita mengenai kematian Achik. Ini kerana, arwah selalu juga berhubung dengannya.

"Walaupun kami sudah lama tak bekerjasama tetapi Achik tak pernah lupa kepada saya. Arwah selalu hubungi saya bertanya khabar dan kami berbual banyak perkara. Bagi saya, Achik ialah orang yang baik, mesra, ikut kata dan tak melawan.

"Sepanjang bekerja bersama, dia memberi komitmen yang baik dan tak membantah.
Apa saja yang disuruh, dia buat. Kalau OK pada saya sebagai komposer, OK jugalah dia. Jadi, saya macam tak percaya dia meninggal dunia pada usia masih muda," katanya.

Eddie berkata, terlalu cepat dia pergi namun, itulah suratan takdirnya.
Menurut Eddie, dia mendapat tahu mengenai kematian Achik pada jam 8 malam Sabtu lalu.

Jelasnya, ketika itu dia sibuk di studio menjalani penggambaran untuk muka depan kulit albumnya.


source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ceriasebelummaut/Article

Nikah berwali kakak

KUALA LUMPUR: Bimbang dengan status perkahwinannya, seorang wanita memfailkan permohonan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, untuk memfarakkan pernikahannya selepas mengaku menggunakan kakak kandungnya sebagai wali atas alasan tidak arif hukum syarak dalam Islam.


Nurul Farhana Azrin Jamas Abdullah, 30, yang berasal dari Sarawak, berkata dia juga tidak memaklumkan kepada suaminya, Ahmad Salim Moideen, 30, berhubung perkara itu kerana diugut akan dibuang keluarga oleh kakaknya itu supaya tidak membocorkan rahsia bahawa dia seorang wanita.


“Saya benarkan dia (kakak kandung) menjadi wali kerana tidak arif dan baru memeluk Islam pada 1997. Perkahwinan saya yang pertama juga diwalikan kakak sulung saya itu. Perkahwinan kali kedua dengan suami sekarang berlaku pada 17 April 2004.


“Semuanya kakak saya yang uruskan. Perkahwinan kedua saya dinikahkan jurunikah di sebuah masjid di Pantai Dalam, bagaimanapun saya tidak ingat namanya,” katanya ketika menjawab soalan Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamed Zain.


Menurutnya, dia kini tidak tahu di mana kakaknya itu berada kerana sudah menghilangkan diri selepas Ahmad Salim berang apabila mengetahui perkahwinan mereka diwalikan seorang wanita.


Sementara itu, Ahmad Salim berkata, ketika bernikah dengan Nurul Farhana dia percaya sepenuhnya dengan penampilan dan suara kakak iparnya yang dikenali sebagai Nawi a/k Ilai yang didakwa sudah memeluk Islam ketika itu sebagai lelaki.


“Penampilan dan suaranya macam lelaki, jika saya tahu dia wanita, saya tidak akan teruskan kerana ia membabitkan hukum dan menjadi masalah. Saya datang ke mahkamah untuk menyelesaikan masalah ini dan sanggup berpisah dengan isteri buat sementara waktu.


“Pada hari pernikahan saya mula was-was apabila melihat nombor kad pengenalan kakak, bagaimanapun jurunikah meneruskan pernikahan. Hanya selepas 2008, baru saya mendapat maklumat sebenar abang itu sebenarnya wanita,” katanya.


Menurutnya, pada tahun itu dia pulang ke kampung mentuanya di Sarawak dan selepas disiasat dia mendapati benar lelaki yang sebelum ini disangka sebagai abang ipar adalah wanita.

“Saya minta maaf terpaksa bercakap kasar di mahkamah, tetapi pada tahun itu saya mengejar wanita terbabit dengan membawa parang sehingga sanggup membogelkan dia bagi memastikan dia wanita. “Saya kecewa kerana sudah buat majlis dengan cara yang betul iaitu berjumpa imam dan bernikah di masjid, tetapi pernikahan saya tidak sah,” katanya yang dikurniakan dua cahaya mata hasil perkahwinan itu.


Hakim Syarie Mohd Yunus dalam keputusannya memerintahkan kes itu dijalankan secara perbicaraan penuh dan meminta supaya kedua-dua pihak mencari imam masjid yang menikahkan mereka bagi memberi keterangan.


Mahkamah menetapkan 15 Jun ini untuk perbicaraan.



source: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Nikahberwalikakak/Article

Monday, April 19, 2010

Mencari Ketenangan lagu terakhir

JIKA 2 April lalu, industri hiburan tanah air kehilangan pelawak berbakat besar, Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau Din Beramboi, 43, akibat demam denggi berdarah. Sabtu lalu, pada jam 6.15 petang, vokalis kumpulan Spin, Achik, 28, pula menyahut panggilan Ilahi.

BELASUNGKAWA ACHIK SPIN ( 1 Julai 1982 - 17 April 2010)

Tanpa sebarang sakit, Achik atau nama sebenarnya, Abdillah Murad Md Shari meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Kilometer 14.7, Lebuh Raya Kajang-Seremban Sdn Bhd (Lekas) selepas menjayakan rakaman Program Gah 1 di Angkasapuri, RTM.

Dalam kejadian itu, Allahyarham tidak berseorangan kerana sepupunya, Salihin Md Salleh, 29, turut menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima berkenaan. Mereka terbabit dalam kemalangan ngeri itu sewaktu perjalanan pulang dari Angkasapuri ke rumahnya di Seremban 2.

Kereta dinaiki mereka berdua terbabas dan merempuh tiang papan tanda sebelum terbakar sebaik melepasi kawasan Rawat dan Rehat (R&R) dekat susur keluar ke Pajam.

Achik meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan. Mayatnya dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat.

Mula terbabit dalam bidang nyanyian pada 1999, Achik dan kumpulan Spin muncul dengan album Roda-Roda Rindu. Malah, Achik juga sering berduet dengan rakan sekampungnya dari Felda Sendayan iaitu penyanyi Siti Nordiana Mohd Alias atau Nana.

Hubungan akrab kedua-duanya mereka pernah mencetuskan gosip percintaan. Namun Achik dan Nana, 26, akhirnya tidak ke jenjang pelamin, sebaliknya bertemu jodoh dengan pasangan masing-masing.

Achik memilih Rosezaitul Suriani Wati Maarof atau Tasha pada 2005 dan dikurnia tiga anak perempuan.

Apapun, anak sulung pasangan ini, Puteri Rania meninggal dunia pada 2007 ketika berusia dua bulan kerana demam panas dan masalah usus. Selepas berkahwin, selain menyanyi Achik turut terbabit dalam bidang perniagaan produk kesihatan untuk jaminan masa depan keluarganya.

Pada 2008, ketika sesi fotografi untuk mempromosi lagu duetnya bersama Nana, Tragedi Cinta yang dimuatkan dalam album Terbaik Eddie Hamid, Rindu... Nya, arwah memberitahu dia ada mengendalikan dua syarikat.

Syarikat miliknya, Spirespin Industries Sdn Bhd beroperasi di Johor Bahru dan Nak Enterprise pula di Seremban. Malah, Achik juga memaklumkan dia dan keluarga menetap di Seremban untuk memudahkan pengurusan perniagaan yang diusahakan.

Ditambah lagi, kontraknya bersama Fantasia Music City (FMC) berakhir pada Mei 2008 walaupun syarikat rakaman itu masih berhutang empat album dengan Spin. Melalui syarikatnya, arwah berniaga ubat darah tinggi, kencing manis dan kanser diberi nama Burak.

Biarpun sibuk berniaga, cinta Achik kepada bidang nyanyian tidak pernah padam. Achik terus aktif menyanyi hingga ke akhir hayatnya malah program terakhirnya adalah Gah 1 di Angkasapuri, kelmarin.

Secara kebetulan, arwah seakan-akan tahu beliau akan pergi buat selama-lamanya apabila mendendangkan lagu terakhirnya, Mencari Ketenangan.

Sepanjang menjadi rakan duet kepada Nana, pasangan yang pernah mengabadikan kisah percintaan mereka dalam buku autobiografi berjudul Pelangi Jiwa beberapa tahun lalu. Mereka sangat dikenali dengan lagu ceria, Paling Comel pada 2003 dan lagu Irama Malaysia, Benang Emas (2005).

Selain itu, Allahyarham Achik turut mengembangkan karier seninya dalam bidang lakonan dengan membintangi beberapa telefilem serta filem seperti Diari Romeo. Malah Achik turut dicalonkan dalam kategori Bintang Harapan Lelaki pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-17.

Kini, hanya lagu-lagu yang pernah didendangkan Achik menjadi kenangan dan pengubat rindu keluarga mahupun peminatnya.

Allahyarham selamat dikebumikan selepas Zuhur semalam di tanah perkuburan Islam, Makam Haji Mohd Said, Ampangan, Negeri Sembilan. Semoga roh Allahyarham Achik ditempatkan di sisi golongan beriman. Amin.


source: http://www.hmetro.com.my/articles/MencariKetenanganlaguterakhir/Article