Sunday, April 18, 2010

'Usah singkap kisah lama Zaid'

PAS menganggap calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim, sudah berubah selepas pulang menunaikan ibadat haji tahun lalu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi, ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah laman blog yang menyifatkan Zaid sebagai peminum arak tegar, beliau berkata, sebagai umat Islam, beliau hanya mempercayai perkara itu selepas mendengar dari mulut tertuduh sendiri.

“Saya tak baca blog, sebagai orang Islam kita perlu menerima daripada orang berkenaan bukannya blog, dia (Zaid) baru balik (menunaikan) haji, dia pergi haji, Insya-Allah perubahan selepas dia pergi haji,” katanya di pusat penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor di sini, semalam.

Ditanya adakah Pas sudah menghalalkan tindakan Zaid sebelum ini yang ingin menyaman kerajaan Pas Kelantan kerana mahu melaksanakan hudud, beliau berkata, perkara itu sudah ber-akhir dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga sudah menarik balik samannya.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, pula berkata parti lawan tidak boleh menggunakan isu yang ditimbulkan sesetengah laman blog bagi menyerang Zaid dan menyifatkan calon PKR berkenaan sudah berubah.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, menyifatkan apa yang berlaku terhadap Zaid sebelum ini adalah sejarah dan tidak perlu diungkit.

credit: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UsahsingkapkisahlamaZaid_/Article/

Spurs tewaskan Chelsea, buka saingan buru juara liga

LONDON: Tottenham Hotspur membuka pintu persaingan kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila menumpaskan pendahulu liga, Chelsea 2-1. dalam pertemuan penuh dramatik, awal pagi tadi.

Gol kemenangan Spurs diperoleh menerusi Jermain Defoe dan Gareth Bale manakala Chelsea menerusi Frank Lampard. Kemenangan itu menyaksikan Chelsea kini hanya dipisahkan satu mata dengan pesaing terdekat, Manchester United dengan kedua-duanya masih mempunyai tiga perlawanan berbaki.

Untuk menjadikan keadaan lebih buruk kepada pasukan pelawat, Chelsea bukan saja pulang dengan tangan kosong malah kaptennya, John Terry dibuang padang selepas mendapat dua kad kuning di White Hart Lane.

Bagaimanapun, pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti memberitahu ESPN: “Kejuaraan liga masih dalam tangan kami dan kami tidak sepatutnya bimbang.

"Kami hanya perlu memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya menentang Stoke.
“Kami bermain baik tetapi nyata pemain Tottenham lebih menyinar lagi," kata pengurus dari Itali itu.

Kemenangan Tottenham itu nyata memberi penawar kepada skuad bimbingan Redknapp itu yang minggu lalu gagal melangkah ke final Piala FA selepas tewas mengejut kepada Portsmouth.

Spurs kini melonjak ke tempat keempat, meninggalkan Manchester City dengan dua mata.

“Anak buah saya melakukan keajaiban. Selepas kecewa Ahad lalu, kini kami memperoleh tiga mata berguna untuk kami beraksi di Liga Juara-Juara Eropah musim depan," kata Redknapp. - AFP

credit: http://www.bharian.com.my/bharian/articles
/SpurstewaskanChelsea_bukasainganburujuaraliga/Article

Pakej video lucah

KUALA LUMPUR: Beli telefon bimbit buatan China, dapat pakej video lucah tempatan. Itu trend terbaru segelintir peniaga telefon bimbit tamak yang sanggup berbuat apa saja demi melariskan jualan mereka.

Pembimbing Landas, Kamaruddin Kassim, berkata hasil siasatan mendapati peniaga telefon bimbit buatan China atau popular dengan panggilan ‘China Mobile’ bersaing antara satu sama lain dan untuk melariskan jualan, mereka turut menawarkan pakej video lucah tempatan sebagai tarikan kepada pelanggan.


“Ada kawalan harga terhadap telefon bimbit jenis ini (telefon bimbit buatan China). Sebagai contoh, telefon model A968 yang mempunyai lambang Sony Vaio, harga paling rendah yang boleh diberi hanya RM300.


“Disebabkan kawalan harga itu, peniaga perlu memikirkan kaedah bagaimana untuk melariskan jualan mereka. Sebab itu ada yang menawarkan pakej telefon berserta video lucah tempatan,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Realiti Gejala Sosial Remaja: Memperkasa Tugas Pendakwah pada Program Kursus Perkaderan Pendakwah anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).


Program dirasmikan Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Dakwah Jawi, Baharudin Idris.

Menurut Kamaruddin, peniaga telefon bimbit terbabit bagaimanapun tidak menawarkan pakej berkenaan secara melulu, sebaliknya hanya memilih golongan muda yang terpengaruh dengan tawaran terbabit.


“Yang kelihatan tidak berminat, peniaga hanya menawarkan lagu dan nada dering sebagai ganti. Mereka tahu apa dilakukan itu salah di sisi undang-undang.


“Begitupun, hasil tinjauan kami mendapati kebanyakan pembeli menerima tawaran diberi (pakej video lucah tempatan). Peniaga yang menawarkan video paling banyak, paling menarik dan paling baru menjadi tumpuan pembeli,” katanya.


Kamaruddin yang juga Koordinator Urusetia Menangani Gejala Sosial (Unggas) berkata, trend berkenaan kini menjadi satu industri kecil dan semakin membimbangkan.


“Tidak keterlaluan dikatakan, penyebaran video lucah di telefon bimbit antara penyumbang kepada masalah pembuangan bayi di kalangan generasi muda kita.


“Berbanding cakera padat video (VCD) atau cakera video digital (DVD), dengan menggunakan telefon bimbit, video lucah yang dimuat turun boleh ditonton secara tersembunyi tidak kira di mana sekalipun tanpa diketahui sesiapa, sekali gus menimbulkan perasaan ingin cuba melakukan seperti yang dilihat,” katanya.


Menurutnya, berdasarkan pengalaman mendekati pasangan muda mudi yang berdua-duaan, kebanyakan mereka menyimpan video lucah di telefon bimbit.

“Bukan saja lelaki, wanita juga simpan video lucah di telefon bimbit,” katanya.



credit: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pakejvideolucah/myMA/myArticle

Lambaian akhir

MASJID TANAH: “Kami sempat melihat mangsa yang tersepit di dalam kereta Proton Saga melambai meminta bantuan tapi tak berkata apa-apa sebelum api marak secara tiba-tiba,” kata seorang anggota Bomba dan Penyelamat yang cuba menyelamatkan mangsa kemalangan ngeri meragut tiga nyawa di Jalan Baru Solok Duku, Tanjung Bidara, di sini, pagi semalam.

Pasukan bomba yang bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan 15 anggota dan dua jentera serta sebuah motosikal bertungkus-lumus untuk mengeluarkan mangsa, Che Ku Mohd Hakimi Chik Wan, 33, yang tersepit.


Namun api yang marak menyebabkan Che Ku Mohd Hakimi maut di tempat kejadian dengan kesan terbakar hampir 70 peratus tubuhnya.


Dua lagi mangsa yang terbunuh itu ialah Syed Al-Amin Abdul Jalil, 25, yang memandu kereta Perodua Viva dan isterinya, Rohana Hassan, 23. Bapa tiri Rohana, Jaidal Ibrahim, 30-an, parah dan kini dirawat di Hospital Kem Terendak manakala anak sulungnya, Siti Syaria Waldina, 10 bulan terselamat.


Dalam kemalangan kira-kira jam 6.50 pagi, Che Ku Mohd Hakimi dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Ayer Hitam Darat, Tanjung Bidara selepas membeli barangan keperluan untuk kedai runcit bapa mentuanya di pasar awam Masjid Tanah, manakala Syed Al-Amin bersama keluarga dan rakannya itu dari arah Port Dickson menuju ke pusat bandar.


Che Ku Mohd Hakimi yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Kuala Linggi meninggalkan seorang balu, Norashikin Wahid, 31, yang juga guru di Sekolah Rendah Pengkalan Balak dan dua anak, Che Ku Wafiq Shahmi berusia tiga tahun dan Che Ku Syafi, 10 bulan.


Syed Al Amin pula pekerja kontrak di sebuah syarikat di Alor Gajah dan menetap di Sungai Udang.


Menurut ibu saudara Che Ku Mohd Hakimi, Azizah Md Yassin, 54, dia diberitahu mengenai kemalangan itu oleh seorang jiran selepas resah menunggu kerana anak saudaranya lewat pulang berbanding biasa.


“Selalunya ipar dia yang pergi ke pasar awam di Masjid Tanah tapi entah kenapa pagi ini (semalam) dia beriya-iya hendak pergi seorang diri, menyebabkan saya rasa pelik. Saya juga sedikit terkilan sebab dia baru saja buat kenduri doa selamat minggu lalu kerana berpindah ke rumah baru,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka apabila puluhan ahli keluarga kedua-dua mangsa terbabit menunggu bedah siasat dilakukan. Norashikin yang sebak dan mendukung anak bongsunya enggan ditemubual.


Sementara itu, bapa tiri Syed Al Amin, Habil Mohammad, 65, berkata arwah anak tirinya bersama isteri dan cucunya dalam perjalanan balik menziarahi keluarga mentuanya di Port Dickson.


“Baru petang semalam (kelmarin) saya berbual dengan arwah dan dia beritahu hendak melawat keluarga mentua di Port Dickson memandangkan dia kini bercuti,” katanya.


Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid, berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca akibat kecuaian satu daripada kenderaan terbabit.

Katanya, polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan, termasuk dakwaan saksi bahawa kereta Proton Saga dari arah pasar Masjid Tanah dikatakan cuba membuat pusingan U di satu jalan lurus mendaki bukit sebelum dirempuh oleh kereta Perodua Viva.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


credit: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lambaianakhir/Article

Ibu hamil dibunuh

KUALA LUMPUR: Seorang ibu yang mengandung dibunuh dan dipijak sehingga janinnya berusia 12 minggu terkeluar dalam kejadian di kawasan rekreasi Taman Tasik Perdana, di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman, berkata berdasarkan maklumat, mangsa dijerut dengan sapu tangan yang dipintal dan dimasukkan kayu.


“Polis turut menemui kesan pijak pada perut mangsa dan mungkin ini menyebabkan janin berkenaan terkeluar,” katanya.


Menurut beliau, mangsa dipercayai wanita berbangsa India melalui manik subang yang ditemui terlekat di kolar bajunya.


Katanya, mangsa berusia lingkungan 30-an dan dipercayai mati antara lima hingga enam hari lalu berdasarkan keadaannya yang berulat.

“Dia memakai jam jenama Omega dan bajunya pula sudah reput. Fizikalnya berambut ikal serta panjang. Selain itu, polis menemui topi keledar bersebelahan mayat.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya selepas merasmikan Program Kempen Derma Darah Peringkat Polis Kuala Lumpur Sempena Peringatan Hari Polis ke-203, di sini, semalam.


Untuk pengecaman, individu berkaitan diminta ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Dalam kes berasingan, Muhammad Sabtu mengatakan, dua penjenayah ditahan selepas gagal dalam cubaan menyamun seorang lelaki warga Indonesia di Jalan Hishamuddin, di sini.


Menurut beliau, kedua-dua penjenayah terbabit ditahan MPV polis sejurus menerima maklumat berkaitan kejadian.


“Mangsa cedera di perut selepas ditikam penjenayah dalam cubaan itu. Seorang penjenayah pula patah kaki selepas terjatuh ke dalam parit ketika cuba melarikan diri.


“Penjenayah ketiga pula meloloskan diri dan kini diburu. Polis menemui senjata tajam di tempat kejadian dipercayai digunakan suspek. Mangsa dirawat di HKL dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Berkaitan kes pelakon, Khaireyll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 32, yang memfailkan writ permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi, 8 April lalu, Muhammad Sabtu mengatakan, biar undang-undang menentukan keputusan berkenaan.


“Polis akan membiarkan undang-undang menentukan perkara berkenaan dan selepas itu baru kita boleh mengeluarkan kenyataan. Buat masa sekarang, biar ia ditentukan oleh mahkamah,” katanya.


Melalui permohonan itu, Benjy selaku pemohon menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden. Ia difailkan menerusi peguamnya, Amer Hamzah Arshad.


credit: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibuhamildibunuh/myMA/myArticle

Godaan pak hitam

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang sudah bercucu bukan saja lebur lebih RM600,000, malah tergamak mengheret suaminya yang menghidap penyakit angin ahmar ke mahkamah untuk menuntut cerai selepas menjadi angau dek panahan cinta palsu playboy warga Afrika.

Menceritakan kisahnya ketika ditemui baru-baru ini, kata Sofea, dia mula menyedari diperdayakan apabila wang simpanan serta tabungan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah lebih RM600,000 hangus begitu saja.


“Sebelum itu, apabila mengetahui dia ditahan pihak berkuasa, saya masih menghubunginya dan menyediakan tiket penerbangan untuk dia pulang ke Nigeria pada Mei tahun lalu.


“Namun hati saya menjadi tidak keruan sepanjang dia pulang, menyebabkan saya membuat kerja gila apabila sanggup menaiki penerbangan selama 14 jam untuk ke negara terbabit semata-mata untuk bertemu lelaki berusia 42 tahun itu,” katanya.


Sebaik tiba di negara itu, dia terkejut apabila mendapati lelaki itu yang dikenali sebagai Fareed hidup mewah dengan memiliki pelbagai aset seperti perniagaan, ladang ternakan ikan, beberapa unit pangsapuri yang disewakan serta banglo mewah.

“Dia mengaku semua harta diperoleh hasil kegiatan jahat dengan memperdayakan wanita bukan saja di Malaysia, malah beberapa negara lain.


“Setiap kali dihantar pulang oleh pihak berkuasa tempatan, dia mencari lokasi baru untuk dikunjungi semata-mata mengikis wanita malang lain sebagai cara mudah mencari kekayaan,” katanya yang masih tidak boleh melupakan teman lelakinya.


Bagaimanapun, menurut Sofea, lelaki terbabit masih menghubunginya menggunakan SMS bagi meminta bantuan kewangan menggunakan pelbagai alasan di samping berjanji akan mengahwininya.


“Ketika dia di negara ini, saya sedar pada masa sama saya ‘dimadukan’ dengan wanita tempatan lain, namun tidak mampu meninggalkannya.


“Walaupun pernah diserang teman wanitanya yang lain kerana didakwa merampas Fareed, saya tidak peduli, malah sanggup berjanji sehidup semati dengannya,” katanya.


Menceritakan kisah pertemuan mereka dua tahun lalu, Sofea berkata, dia diperkenalkan kepada Fareed oleh rakannya yang turut menjalin hubungan dengan lelaki Afrika.


“Di awal perkenalan, Fareed sering menyediakan makanan dan saya dihidangkan makanan negara asalnya iaitu pisang bakar dan herba. Bermula daripada situ, saya menjadi gila bayang seolah-olah angau walaupun pada mata kasarnya Fareed bukan kacak.

“Keadaan saya seolah-olah lembu dicucuk hidung. Apa saja permintaannya, termasuk menyewakan sebuah kondominium untuknya, saya turutkan walaupun keadaan kewangan saya tidak menentu,” katanya yang kini menjalani rawatan perubatan tradisional kerana percaya terkena ‘ubat guna-guna’ Fareed.


Dia mendakwa pada mulanya tidak pernah menyimpan perasaan pada Fareed, namun sikap romantik dan penyayang lelaki itu menyebabkan dia ‘cair’.


“Jika bersamanya, hidup saya terasa indah dek termakan janji manisnya, apatah lagi saya yang bergelar nenek dipanggil dengan panggilan manja seperti ‘sweetheart’, ‘baby’ dan ‘princess’. Semua itu menyebabkan saya lupa diri serta suami yang sakit.


“Tiba-tiba saja saya berubah sikap daripada seorang yang cermat kepada pemboros gara-gara mengikut kehendak gilanya hingga licin semua wang simpanan dan tabungan KWSP hasil titik peluh bekerja selama 30 tahun,” katanya.


Menyifatkan hidupnya kini semakin terumbang ambing serta hilang pedoman, Sofea kesal kerana tindakan bodohnya juga menyebabkan keluarganya kini berpecah belah, apatah lagi anak kini tidak mempercayainya.


Lebih menyedihkan, katanya, ketika anak meminta bantuan, Sofea yang sebelumnya ibu penyayang tidak menghiraukan mereka, sebaliknya lebih mengutamakan Fareed.


Ketika ditemui, Sofea turut menunjukkan SMS kiriman Fareed yang penuh kata-kata manis, antaranya: “Good nyte my sweetheart, thank 4 all the love and kindness... i believe u darling. i want to live the rest of my life with u. Baby, u r my pride.. i want to join u as as soon as possible. Sleep well and dream of me, your poor lonely husband.


(Selamat malam kekasih hatiku. Terima kasih di atas kasih sayang dan kebaikanmu. Aku percaya padamu sayang. Aku akan menghabiskan sisa hidupku bersamamu. Sayangku, engkau kebanggaanku dan aku berjanji untuk bersamamu secepat mungkin. Tidurlah dengan lena dan mimpikan diriku, suamimu yang lemah dan kesepian).


Sofea kini percaya kebanyakan warga Afrika yang menjalin hubungan dengan wanita tempatan mempunyai niat terselindung sama ada mahu mengikis harta mereka, sekadar memuaskan nafsu atau menjadi alat bagi melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang.


Bagi memudahkan menjerat mangsa, mereka dipercayai menyiasat latar belakang seseorang itu, terutama wanita berusia dan bekerjaya sepertinya yang dahagakan perhatian lelaki bagi memudahkan menjalankan misi menipu serta mengikis harta mereka.


credit: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Godaanpakhitam/myMA/myArticle

Wanita gagal serah borang pencalonan

KUALA KUBU BHARU: Seorang wanita dan suaminya mencetuskan kekecohan di perkarangan tempat penamaan calon iaitu Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini, apabila mendakwa dianiaya sehingga gagal menyerahkan borang pencalonan untuk pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Dakwanya, pada jam 9 pagi, dia bersama suami dan dua rakan sampai di pintu pagar dewan itu tetapi tidak dibenarkan masuk oleh polis kerana tiada pas Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan diajukan pelbagai soalan.

“Selepas memberi penjelasan dan sampai di perkarangan dewan kira-kira 9.40 pagi, kami tidak dibenarkan masuk ke dewan kerana pegawai bertugas menyatakan tempoh penyerahan borang calon ditutup jam 9 pagi.

“Bagaimanapun, tepat jam 10 pagi SPR membuat pengumuman pencalonan ditutup. Sudah pasti ini kes aniaya. Mereka minta kami tunjuk pas SPR tapi kami membawa borang calon? “Apa lagi yang mereka mahu kerana nama saya dan semua maklumat ada pada borang itu. Kami sungguh kecewa dan kami yakin mampu memiliki 6,000 undi tetapi kini undi itu untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya.

Anuradha mendakwa mereka berpaling arah untuk menyokong PKR.


credit: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wanitagagalserahborangpencalonan/myMA/myArticle